Malaysia-Instinct.com (4 Jun 2009)
Oleh Lebah Kota
Bayangkan jika kejadian bumbung runtuh melibatkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu berlaku ketika ada sebarang acara sukan atau aktiviti lain sedang berlangsung.
Tidakkah negara mungkin menyaksikan kematian yang mencecah ribuan orang. Mungkin menjadi tragedi yang terbesar dalam sejarah negara ini.
Kini, selepas kejadian itu berlaku, maka bermulalah episod tuding menuding jari melibatkan banyak pihak. Satu amalan yang biasa di negara ini.
Apa yang paling memeranjatkan, dalam espisod ini, terbongkarlah juga bahawa kecacatan dalam pembinaan struktur bumbung stadium berkenaan sudah dikesan semasa
Sukan Malaysia (Sukma) berlangsung tahun lalu.
Bayangkan yang merasmikan sukan itu adalah yang Dipertuan Agong sendiri dan baginda telah dibenarkan berada di bawah struktur bumbung yang merbahaya ketika majlis perasmian berlangsung!
Gila ke apa orang-orang yang terbabit dalam penyelengaraan dan pengendalian stadium tersebut. Tuanku Agung telah diletakkan dalam situasi yang merbahaya seperti itu.
Kerajaan Negeri Terengganu pula cuba menjadi hero dengan mengatakan JKR lambat bertindak memperbaiki kerosakkan berkenaan. Kononnya aduan telah dibuat kepada pihak itu.
JKR negeri pula tampil membuat kenyataan tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai keretakan stadium, struktur bumbung senget atau masalah lain di bangunan itu daripada mana-mana pihak. Kenyataan itu dibuat oleh Pengarah JKR Terengganu, Rosly Zainal.
Maka bermulalah episod bangau oh bangau.
Paling menyakitkan hati ialah kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Senator Datuk Roslan Awang Chik yang mengatakan "Memang ada sedikit tidak elok pada struktur bumbungnya," (Utusan Malaysia 4 Jun- Muka: 9).
Bumbung stadium itu runtuh dan kerosakkan stadium mencecah 50 peratus, Roslan boleh kata memang ada sedikit tidak elok. Sedikitkah itu?
Soalnya kalau benda itu sudah dikesan, maka stadium itu sepatutnya sudah ditutup terus awal lagi.
Ini tidak, hendak tunggu dulu Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam yang sepatutnya bermula hari ini hingga 13 Jun ini berakhir baru hendak mulakan kerja-kerja pembaikkan.
Apa punya sikap jenis ini? Mengambil risiko atas nyawa orang lain.
Seperti yang Lebah Kota nyatakan awal tadi, jika bumbung itu runtuh semasa pesta itu berlangsung macam mana?
Kepada kerajaan yang ada hari ini, jangan buat main. Kalau berlaku tragedi melibatkan nyawa, maka Barisan Nasional (BN) boleh cakap bye-bye sajalah pada pilihan raya umum akan datang.
Tiada maaf bagi mu.
Projek Kompleks Sukan Gong Badak ini semua dalam kategori projek ekspres yang diwujudkan di negeri itu. Dan pihak-pihak yang mengaut keuntungan luar biasa adalah kaum-kaum kroni Perdana Menteri sebelum ini.
Sepatutnya mereka semua ini diseret ke muka pengadilan dan diberikan sekeras-keras hukuman.
Memang adakalanya kerajaan ingin membantu kontraktor Melayu untuk berjaya, Namun kalau inilah kualiti kerja kontraktor Melayu, elok dasar itu difikirkan kembali.
Kita bercakap soal nyawa di sini, bukan soal wang ringgit semata-mata.
Mungkin Tuhan masih merahmati semua dengan menjadikan bumbung berkenaan runtuh beberapa hari sebelum pesta sukan berkenaan.
Ada pengajaran yang perlu kita ambil dari apa yang berlaku.
Penulis amat berharap agar tidak ada usaha untuk melindungi mana-mana pihak dalam kejadian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu.
Heret semua yang terbabit tanpa mengira kedudukan mereka. Jangan ada sebarang pilih kasih dalam isu ini.
Inilah masanya gagasan rakyat diutamakan itu dipertontonkan.
Walaupun tidak ada nyawa yang melayang, namun kejadian itu harus dijadikan pengajaran untuk semua.
No comments:
Post a Comment