Oleh: mycronichead (6 Jun 2009)
“Salah satu faktor yang menyumbang kepada kes-kes murtad dan gerakan-gerakan liberalisme adalah apabila umat Islam dihidangkan dengan salah faham terhadap sesuatu hukum atau syariat yang termaktub didalam Islam. Pihak orientalis barat atau yang seangkatan dengannya, memutartbelitkan syariat dan menghidangkannya dengan ’trademark’ yang negatif kepada umat islam.
Diantara isu yang disalahertikan adalah syariat talak. Mereka yang membenci Islam mengatakan Islam tidak meraikan institusi perkahwinan kerana Islam telah memperuntukan talak didalam syariat. Perlu diingatkan disini, segala syariat Islam adalah sentiasa positif dan ia mengandungi hikmah kerana ia adalah agama yang terbaik.
“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam”
Syariat Islam meraikan fitrah manusia. Talak tidak perlu dipandang sebagai sesuatu yang negatif. Sehingga ada pepatah yang berkata “Apabila talak dijatuhkan, maka bergegarlah arasy Allah”. Apa kaitan antara hubungan manusia dan kekuasaan Allah. Sesunggah Allah tidah berkehendak kepada kita. DIA tidak akan terjejas sedikit pun walaupun semua umat Islam tidak bersyukur padaNYA.
Islam menyarankan umatnya agar menggauli isteri dengan baik ataupun menceraikannya dengan baik. Betapa indahnya Islam. Semuanya dikehendaki dalam keadaan baik. Adakah perkahwinan perlu dipertahankan apabila si suami selalu memukul si isteri? Lantas menceraikan isteri dengan cara yang baik adalah solusi yang paling bijak.
Indahnya Islam, ia telah menyediakan langkah-langkah awal untuk menghindarkan gejala keruntuhan institusi perkahwinan. Ini mwnjadikan bukti bahawa Islam benar-benar meraikan dan menjaga perkahwinan, bukannya ingin meruntuhkan institusi tersebut. Antara langkah-langkah itu salah satunya adalah cara-cara atau petunjuk dalam pemilihan calon isteri.
“Wanita itu dinikahi kerana 4 perkara iaitu kerana kecantikan, harta, nasab(keturunan) dan agama. Pilihlah yang agama kerana itu lebih memberi untung.” - Mafhum hadis.
1. Ada orang yang salah dalam menafsirkan hadis ini. Mereka mengatakan adalah suruhan agama untuk memilih isteri kerana kecantikan, harta, nasab dan agama. Sebenarnya hadis ini merujuk kepada fitrah atau kebiasaan wanita itu dikahwini kerana 4 perkara tersbut. Dan Nabi meyarankan kita agar mementingkan faktor agama.
Betapa indahnya Islam. Ia meraikan fitrah manusia dan ia tahu apa yang terbaik untuk manusia. Umum tahu bahawa manusia sukakan sesuatu yang cantik. Tetapi kecantikan adalah sesuatu yang nisbi (subjektif). Contohnya, perempuan yang berkulit putih tak semestinya cantik. Cantik bergantung kepada kesesuaian mata individu dalam menafsirkannya.
Agama pula adalah seuatu yang tetap. Kita boleh membezakan antara wanita yang solehah dengan yang tidak solehah. Dalam konteks ini, walaupun ayah kita lebih tahu mengenai agama, tetapi jangan kita minta dia mencari jodoh untuk kita. Berbeza mata kita dengan mata ayah. Mungkin pada mata ayah janda pun boleh. Ayah mungkin mencari calon berdasarkan faktor agama, tetapi Islam juga meraikan fitrah manusia yang suka kepada yang cantik. Lebih elok biar kita yang mencari sendiri. Sesuai dengan kita.
Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ialah penakrifan agama itu. Agama adalah cara hidup. Maka ia diukur secara syumul. Kita jangan menyempitkan takrifan agama itu. Contohnya ramai remaja atau pelajar-pelajar universiti yang memberi takrifan agama yang sempit dalam pemilihan calon isteri. Rata-ratanya bersepakat bahawa calon isteri yang mempunyai pegangan agama yang elok adalah calon yang bertudung bulat. Sebenarnya apakah beza diantara tudung bulat dan tudung tiga segi jika kedua-duanya menutup aurat?
Disini penting untuk sesuatu penilaian itu dibuat berdasarkan ilmu (agama) dan bukannya kepada tangkapan atau penafsiran semata-mata. Perlu diingatkan bahawa ilmu mengatasi fikrah!
Contohnya ramai yang menganggap cuti pada hari Jumaat adalah tanda islamik. Padahal tidak ada nas pun yang menyatakan demikian. Bahkan kita diseru bertebaran diatas muka bumi setelah selesai solat jumaat. Yang salah pada hari Jumaat adalah apabila tidak menunaikan solat! Jual beli sebelum dan selepas solat, kedua-duanya tidak salah.
Fikrah ataupun tafsiran semata-mata adalah hanya menumpu kapada sesuatu yang idealistik. Walhal syariat Islam itu adalah seuatu yang realistik. Sebab itu dikatakan Islam memang meraikan fitrah manusia.
“Lihat kepada wanita itu kerana itu boleh membuatkan kamu rasa lebih mesra (kasih)” - Mafhum hadis
2. Didalam islam lelaki itu perlu melihat kepada wanita yang ingin dikahwininya. Fenomena salah faham yang berlaku di Malaysia, ialah si ibu akan menyuruh anak perempuannya menghantar minuman atau hidangan kemudian disuruhnya anak perempuan itu cepat-cepat masuk semula. Kesian kepada si teruna, dia belum sempat untuk memandang kepada bakal isterinya itu.
Sebenarnya dibolehkan kepada lelaki itu untuk meminta izin untuk berborak-borak dengan bakal isterinya itu. Ia dikatakan proses untuk memahami. Namun janganlah dibawa keluar dari rumah, cukuplah sekadar dirumah wanita itu.
“Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redha akhlak dan agamanya, maka kahwinkan dia dengan anak kamu” - Mafhum hadis
3. Jika diteliti hadis diatas, kemudian dibandingkan dengan fenomena yang berlaku didalam masyarakat kita, adakah ada persamaan atau perbezaan?
Yang jelasnya apabila ada lelaki hendak datang masuk meminang, kedua ibubapa perempuan akan bertanya beberapa soalan cepumas, antaranya:
- Kamu ni kerja apa?
- Berapa gaji kamu?
Mungkin bentuk soalan yang ditanya berlainan, tetapi maksudnya jelas sama seperti soalan diatas. Tan Sri P. Ramlee telah menyedari hal ini dari dulu lagi, maka wujudnya karakter Tok Wan Ahmad Albab.
Apa yang ingin disampaikan disini ialah redha kedua ibu bapa didalam pemilihan calon itu perlu. Dan Islam telah menyediakan cara-cara kepada kedua ibubapa mengenai pemilihan calon itu yakni baik akhlak dan elok agamanya.
4. Disyaratkan persetujuan perempuan sebelum perkahwinan itu boleh dijalankan.
Apabila isu ini diutarakan kita akan teringat kepada cerita tradisi orang Pakistan. Tradisi jumud mereka ialah si bapa boleh menentukan siapa jodoh untuk anaknya. Mereka ini mungkin salah memahami konsep Wali Mujbir didalam Islam. Lantas pihak-pihak yang membenci Islam akan mengambil peluang ini untuk mengutuk dengan mengatakan tidak ada keadilan didalam Islam.
Didalam mazhab Syafiee ada mengenai wali Mujbir. Ia ada. Tetapi ia adalah untuk bapa yang soleh yang bimbangkan anak perempuannya (mungkin teruk dari segi akhlak), dan bapa ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun dalam perkahwinan anaknya itu. Maka bapa itu boleh menjadi Wali Mujbir kerana dia ingin menyelamatkan anak perempuannya itu.
Fenomena yang tidak sihat yang berlaku ialah si bapa mengatakan bahwa dia telah berjanji untuk menikahkan anak perempuannya itu dengan si folan bin si folan. Persoalannya disini ialah apa kuasa si bapa untuk membuat janji itu? Tidak ada! Islam tidak meraikan fenomena ini. Ia jelas tidak adil.
“Redha perempuan adalah dengan diam” - Mafhum hadis
Indahnya syariat. Ia begitu menjaga keadilan. Sehingga para fuqaha membuat perbincangan jika si perempuan itu menangis apabila diajukan tentang persoalan menerima pinangan. Diikutkan didalam mazhab Syafiee sehingga dikatakan jika air mata itu sejuk, itu tanda setuju. Jika panas adalah sebaliknya. Kesimpulannya, agama meraikan fitrah. Salah satu fitrah itu adalah hubungan lelaki dan perempuan. Maka diturunkan syariat perkahwinan.
Dalam islam syariat perkahwinan itu ada syariat talak. Talak tidak berfungsi sebagai pemusnah institusi perkahwinan itu tetapi talak adalah salah satu solusi yang disediakan. Suami disuruh samaada menggauli isterinya dengan baik ataupun menceraikannnya dengan baik.
Islam menjaga institusi perkahwinan. Lantaran itu ia telah menggariskan beberapa panduan sebelum perkahwinan yakni pemilihan calon.
Kriteria yang pertama adalah agama. Yang kedua ialah kecantikan pada mata masing-masing, disini terserlah keindahan islam dalam meraikan fitrah manusia yang sukakan kepada sesuatu yang cantik. Ketiga, mendapat redha dari orang-orang tua. Perlu diingatkan, perkahwninan itu mencantumkan dua buah keluarga maka redha orang-orang tua adalah perlu! Manakala yang keempat dan yang terakhir ialah persetujuan daripada wanita itu. Disini pula terserlah keadilan didalam Islam.
Subhanallah…Begitu sempurna syariat yang diturunkan oleh Allah kepada kita!"
No comments:
Post a Comment