Friday, May 29, 2009

JANGAN AGUNGKAN PENJENAYAH KEJAM

Diperturunkan perturunkan dua pendapat disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini 29 Mei 2009.
Ia membabitkan keganasan Chen Peng dan apa sebenarnya perjuangannya.

Pendapat pertama oleh PUTRA HEIGHTS USJ bertasjuk: “Jangan agungkan Chin Peng” dan pendapat kedua oleh SHARUDIN ABDULLAH, Bandar Baru Bangi,Selangor bertajuk “Chin Peng Pengganas Kejam’.

Baca dan renungkan.

“JANGAN AGUNGKAN CHIN PENG”

SEBAGAI salah seorang wartawan Malaysia yang dihantar membuat liputan Majlis Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1 Disember 1989 di Hatyai Thailand, antara soalan yang saya masih ingat saya ajukan kepada Chin Peng ialah:

"Apakah saudara masih seorang Marxist-Leninist?" Chin Peng dengan wajah yang hampir-hampir tersenyum menoleh ke arah saya dan menjawab: ''Ya."
Chin Peng menambah: ''Kami hanya meletakkan senjata bukan membubarkan PKM ataupun fahaman komunisme.''
Itulah kata-kata Chin Peng yang tidak dapat saya lupakan sepanjang karier saya sebagai seorang wartawan yang berpeluang untuk membaca kisah hidupnya dalam buku sejarah, dan kemudian ditakdirkan juga berpeluang menatap wajah dan bersua muka dengannya secara berdepan pada sidang akhbar bersejarah itu 20 tahun lalu.
Atas alasan itu jugalah mengapa Chin Peng dan anggota PKM yang lain tidak dapat memenuhi salah satu daripada empat kerangka Perjanjian Damai tersebut kerana keengganan mereka untuk kembali dan melalui proses 'pemutihan' di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terlebih dahulu.

Sebabnya ialah seperti yang dilafazkan oleh Chin Peng, dia masih seorang berfahaman Marxist-Leninist. Chin Peng sanggup melepaskan perjuangan bersenjata ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak bersedia untuk menggugurkan fahaman yang dianutinya sejak sekian lama itu.

Marxism-Leninism secara 'basahannya' membawa maksud Bolshevism atau ringkasnya komunisme. Hakikatnya ialah sehingga Chin Peng membuat pengakuan terbuka bahawa dia tidak lagi mendokong fahaman tersebut, maka Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menerima semula kepulangan Setiausaha Agung PKM itu ke tanah air.

Malah jika sekalipun Chin Peng membuat pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang komunis, Chin Peng tidak boleh terlepas daripada melalui proses ditahan di bawah ISA.

Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjalani kehidupan bebas keluar masuk ke kedai kopi dan menghadiri forum itu dan ini serta menganjurkan majlis itu dan ini atas nama apa sekalipun.

Ini kerana kesan tindakan seperti itu akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terbanyak, apatah lagi kepada keluarga mangsa keganasan komunis yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan perajurit dan masyarakat awam tetapi juga masyarakat Melayu, Cina dan India serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kehadirannya semula di kalangan kita hanya akan membuka luka yang berdarah. Chin Peng sendiri harus menerima takdir yang tertulis ke atasnya kerana itulah jalan yang dia pilih. Dan betapa keengganannya menerima Perjanjian Damai di Baling pada tahun 1955 telah menjurus ke arah pertumpahan darah yang bukannya sedikit di kalangan perajurit kita dan juga masyarakat awam yang lain.

Generasi baru yang tidak melalui kesengsaraan kehilangan ahli keluarga kerana terkorban ditembak atau diserang hendap komunis, cuba menulis semula sejarah tanah air dengan mengagungkan anggota PKM dan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan negara melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku. Mereka perlu berasa malu dan menghentikan tindak-tanduk mereka itu.

Sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia yang menolak komunisme dan ahli keluarga para perajurit kita yang terkorban mempertahankan negara ini daripada ancaman subversif wajib bangun menyuarakan penolakan mereka terhadap gagasan membenarkan kepulangan Chin Peng.

Dalam konteks ini, saya memuji kenyataan berterus terang Naib Presiden Gerakan Malaysia, Mejar (K) Huan Cheng Guan bahawa saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, supaya Kerajaan Malaysia membenarkan kepulangan Chin Peng mestilah ditentang atas nama para perajurit tanah air yang terkorban kerana mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman PKM.

Saya mengenali Mejar (K) Huan secara peribadi. Hakikat bahawa bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga adalah bekas seorang anggota TUDM memperlihatkan betapa semangat patriotismenya yang menebal dan sensitivitinya sebagai seorang perajurit tulen.

Rakyat dan seluruh negara patut mendengar suara bekas perajurit negara seperti Mejar Huan, Kanang anak Langkau, Onjinin Christopher Jopinol, Amid Abdul Rahman dan ramai lagi yang mengorbankan diri mereka untuk mempertahankan negara dan juga untuk kesejahteraan kita semua daripada mendengar suara minoriti yang mendesak sebaliknya.


CHIN PENG PENGGANAS KEJAM

Saya sekadar ingin berkongsi polemik yang nampak kecil tetapi besar di mata rakyat biasa seperti saya. Isu membawa Chin Peng balik ke negara ini sebagaimana yang disarankan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan, baru-baru ini, adalah satu lagi bentuk dan sikap tidak bertanggungjawab rakyat yang melupakan sejarah negara yang didiaminya.

Sebenarnya, kalau bercerita mengenai komunis ini, masih segar rasanya peristiwa jiran saya di kampung yang putus kedua belah kakinya akibat penangan jerangkap samar. Pilu benar melihat jiran yang sebelumnya aktif, akhirnya terpaksa menjalani kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) lantaran perbuatan komunis durjana.

Komunis pada masa itu menjadi duri dalam daging negara. Tidak siapa menafikannya kecuali mereka yang bersimpati.

Di sekolah, guru kita mengajar mengenai kekejaman pengganas, mengenai Chin Peng dan gerila komunis yang dipimpinnya. Wujud rasa benci yang meluap-luap tatkala guru menerangkan bab demi bab mengenai komunis. Sejak sekian lama komunis ditunjuk sebagai anasir yang paling dibenci oleh semua rakyat di mana-mana.

Terlalu banyak jiwa yang melayang akibat perbuatan subversif komunis. Kasihan, ada di antara mangsanya yang hidup merana sepanjang hayat. Isteri terpaksa bergelut dengan kehidupan tanpa suami manakala anak-anak terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah berstatus 'anak yatim'. Dan, jika diputar kembali mesin masa, imbasilah kepada peristiwa hitam Bukit Kepong yang sungguh menyayat dan memilukan itu.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan supaya menayangkan kembali filem-filem genre patriotik seperti Bukit Kepong agar ditonton oleh generasi terkini Malaysia daripada semua peringkat keturunan.
Diharap nanti akan terbit rasa kesedaran terhadap kesan kemusnahan oleh pengganas komunis yang di ketuai Chin Peng pada masa lalu. Segarkan kembali semangat patriotisme yang telah semakin terhakis.

Seperkara lagi, saya menyeru kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meningkatkan pemeriksaan dan penelitian ke kedai-kedai buku ternama yang sejak sekian lama giat menjual buku-buku berunsur komunis. Lihat juga ke Central Market, Jalan Petaling dan Bukit Bintang yang begitu luar biasa aktifnya menjual baju-T yang memaparkan wajah Chin Peng atau pun simbol perjuangan mereka 'Bintang Tiga'.

Janganlah sampai anak-anak kita pula memakainya ketika bersolat Jumaat atau menghadiri majlis-majlis bercorak patriotisme!

Saya memohon kepada semua pihak agar tidak lagi membangkitkan isu untuk membawa Chin Peng masuk ke negara ini. Bagi saya dia adalah perosak dan pemusnah keharmonian negara yang kekal terpahat di jiwa rakyat di negara ini.

Dan, kalau kita terlupa, renunglah kembali siapa dalang di sebalik peristiwa 13 Mei 1969. Sedarlah bahawa Chin Peng bukan wira tetapi pengganas kejam yang telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah keharmonian bangsa Malaysia. Kepada pihak-pihak yang berwajib, pastikan Chin Peng tidak kembali.

No comments: