Monday, May 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?





Isnin Mei 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

ANWAR didakwa akan mencetuskan empat hingga lima pilihan raya kecil menjelang pilihan raya umum ke-13.
PETALING JAYA: Di tengah-tengah tanggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'penggerak' beberapa pilihan raya kecil sejak Ogos lalu, penganalisis meramalkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan 'mencetuskan' antara empat hingga lima pilihan raya kecil lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.
Malah, penganalisis berpendapat bahawa penstrukturan semula kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diumumkan Isnin lalu, kemungkinan merupakan antara strategi parti itu khususnya Anwar bagi menghadapi siri pilihan raya kecil.

Malah, Anwar yang juga Penasihat PKR dipercayai sudah mengambil langkah untuk membuka laluan bagi empat hingga lima pilihan raya kecil selepas ini.

Pilihan raya kecil keenam membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bahagian Permatang Pauh, yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya, diadakan hujung bulan ini.

Menjelaskan perkara ini, Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Anwar telah membentuk satu kepimpinan baru yang akan menjadi penggerak utama PKR bagi menghadapi satu demi satu pilihan raya kecil yang telah pun dirancangnya.

"Anwar dah tentukan pilihan raya kecil ini... beliau sudah tentukan di mana, tentukan cara peperangannya dan tentukan hasil pilihan raya itu.

"Saya jangkakan sebelum pilihan raya umum ke-13, akan ada empat hingga lima pilihan raya kecil lagi yang sudah pun dirancang oleh Anwar.

"Bila melihat senarai kepimpinan baru parti itu, maka itulah jagoan-jagoan PKR yang akan digunakan Anwar untuk menjayakan strategi itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan penstrukturan jawatan dalam PKR yang dikatakan bertujuan untuk memperkemaskan jentera, menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah bagi memperbaiki kelemahan, menjana kekuatan parti serta meningkatkan khidmat kapada rakyat.

Antara perubahan yang dilakukan adalah mewujudkan pasukan petugas yang dianggotai oleh semua Naib Presiden, diketuai Azmin Ali bagi memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diberikan semula peranan penting, Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya pusat.
Sehubungan itu, Mustafa percaya Anwar hanya merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan yang beliau yakin boleh peroleh kemenangan selese terutama di kawasan-kawasan yang kini sudah sedia diterajui PKR.

"Anwar hanya rancang (pilihan raya kecil) di kawasan yang mana dia yakin akan peroleh kemenangan lebih 70 peratus.

"Kalau kurang daripada itu, dia tidak akan berani. Dia hanya menumpukan terhadap kawasan yang dipegang oleh PKR... DAP dan PAS tidak akan buat begitu (rancang pilihan raya kecil)," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan siri pilihan raya kecil itu nanti bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada perbicaraan kes liwatnya Julai ini.

Selain itu, Mustafa berkata, siri pilihan raya kecil itu juga bertujuan untuk memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah mengalami empat kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"Anwar sengaja mengalihkan tumpuan Najib daripada menumpukan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat kerana sibuk dengan politik.

"Najib telah pun dapat baca strategi Anwar ini dan sebab itu, beliau berkata, BN mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan," katanya.

STRATEGI ATASI MASALAH DALAMAN

Pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruq mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, PKR sememangnya perlu kepada perubahan struktur dalaman parti memandangkan masalah yang dihadapi mereka.

"Pergeseran kumpulan tertentu dalam PKR telah menjejaskan imej parti dan pergeseran itulah yang membawa krisis dalaman contohnya isu (bekas ADUN Penanti) Mohammad Fairus (Khairuddin) yang mana ada kumpulan dalam PKR sendiri yang tidak berpuas hati dengan pencapaian beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

"Dalam politik ini, memang ada yang berkhidmat kepada parti secara sukarela tetapi ada juga yang mahu mendapatkan sesuatu habuan termasuk jawatan," katanya.

Jelas beliau, terdapat beberapa golongan dalam PKR yang mempunyai aliran yang berbeza sehingga membawa kepada ketidaksepakatan dalam parti itu.

"Mungkin dengan penstrukturan semula parti itu, hal ini dapat diatasi dan sedikit sebanyak akan memperkukuhkan lagi parti.

"Kesannya mungkin kita dapat lihat dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan jika ada pertandingan," katanya.

PKR TIDAK MANTAP

Sementara itu, pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perubahan itu wajar dilakukan memandangkan struktur PKR pada masa ini tidak begitu mantap.

"Masa pilihan raya umum 8 Mac lalu, PKR tidaklah kuat sangat. Mereka hanya letak calon bertanding untuk menang, bukan untuk memantapkan pentadbiran parti," katanya.
Ahmad Atory berkata, mengikut kajiannya, terdapat banyak bahagian PKR yang hanya mempunyai Ketua Bahagian tanpa ada struktur organisasi yang tersusun.

"Bahagian ada tapi hanya mempunyai ketua, sementara ahli-ahli yang lain tidak tentu hala.
"Selain itu, ada juga bahagian yang masih belum mempunyai cawangan.

"Kemungkinan dengan struktur yang baru ini, mereka boleh merancang struktur parti yang lebih mantap termasuk mendaftar cawangan-cawangan kerana kalau cawangan tidak berdaftar, bagaimana mereka mahu mengadakan mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, perubahan PKR itu adalah sejajar dengan perubahan kepimpinan Umno yang baru sahaja berlaku MAc lalu.

"Umno sudah bertukar (kepimpinan), jadi PKR pun perlu lakukannya. Pada Jun ini, PAS juga akan membuat perubahan kepimpinan dalam pemilihannya.

"Semua ini adalah satu persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti kerana semua parti pastinya 'bernafsu besar' untuk memenangi pilihan raya itu," katanya.

Thursday, April 23, 2009

(hambali1.blogspot.com)

Ada pemimpin UMNO negeri Terengganu dah tak lalu makan tengah hari.

Malam nanti tidak tahulah, sama ada boleh telan air atau tidak. Tekak semakin kering.
Kalau ada air nira pun mungkin dah tak manis. Mungkin dah jadi masam dan benar-benar jadi tuak.

Khabarnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang basah seluar dalam. Terkencing sendiri sebab ‘yang dituduh bukan orangnya yang melakukan sms berkenaan”.

Ada yang dah mabuk-mabuk macam makan ubi gadung. Sebab itu Datuk Ahmad Said kata, kita kena buat penyelidikan mengenai ubi gadung. Jangan hentam makan begitu sahaja.

Tidak sia-sialah peruntukkan lebih RM2 juta kepada Universiti Darul Iman menjalankan penyelidikan. Tahun ini sahaja RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

Sekurang-kurangnya Menteri Besar yang disebut sebagai ‘Cap Ayam’ oleh ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah, tetap ada juga kesedaran untuk memajukan tanaman dan kemungkinan mewujudkan industri kecil di Terengganu.

Apabila polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di Kuala Lumpur kelmarin berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu, ia membuktikan siasatan akan membuka jalan kepada individu lebih terkenal.

Lelaki berkenaan di katakan bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat swasta (betulkah syarikat swasta?).

Perkara mengenai penahanan ini diumumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, pada sidang media di Balai Polis Wakaf Tapai, sebentar tadi.
Ini permulaan. ‘Game polis” tidak akan terhenti setakat ini sahaja.

Banyak lagi kejadian akan menyusul.

Jelas tuduhan terhadap pegawai kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda.
Mungkin ketika ini Wan Ahmad sudah boleh memikir-mikir untuk saman orang yang buat tuduhan, termasuk blog-blog yang menyebarkan fitnah dengan nilai mencecah RM100 juta?

Lepas ini bila ADUN dan pemimpin UMNO tertentu dah terkencing-kencing, Wan Ahmad akan will have the laugh laugh!

16 SEPT : ANWAR 'JUAL' NAMA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN SULTAN

AGENDADAILY

Menjelang 16 September tahun lalu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim bikin gimik nak tawan Putrajaya menerusi pintu belakang pelbagai desas-desus timbul mengenai nama-nama sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dikatakan telah ditemui secara sulit oleh Ketua Pembangkang itu.

Namun belum ada seorang pun di kalangan mereka yang tampil untuk membuat pendedahan mengenai modus operandi Anwar dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dikenali sebagai ‘Pelan 16 September’ yang tak menjadi itu.

Petang Ahad 19 April, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang baru-baru ini memenangi jawatan Majlis Tertinggi UMNO menceritakan bagaimana Anwar berusaha memujuknya termasuk mendakwa empat Sultan termasuk Yang di-Pertuan Agong menyokongnya.

Dr. Puad menceritakannya pada kira-kira 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan sekitar Hulu Kelang yang hadir dalam perjumpaan sembang petang di Kelab Darul Ehsan, dekat Kuala Lumpur.

Katanya, beliau mulanya dihubungi menerusi telefon oleh contactman Anwar yakni Dr Rahim Ghaus.

Dr. Rahim diketahui adalah orang kanan Anwar yang kini menetap di Melbourne, Australia tapi sering berulang alik ke Malaysia. Bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang ini melarikan diri ke luar negara semasa kemuncak reformasi 1998 dan kini berkhidmat dengan sebuah cawangan bank Timur Tengah di bandaraya itu.

Menariknya, Dr. Puad cuba dipancing pada 20 September iaitu empat hari melepasi dateline 16 September.

Ini jelas menunjukkan Anwar masih menaruh harapan dan terus cuba nasib sekalipun tarikh asal impiannya itu sudah berlalu.

Pendedahan Dr. Puad di majlis itu ditulis oleh Datuk Fuad Hassan,bekas ahli Dewan Undangan Negeri BN Hulu Kelang dalam laman blognya di alamat: http://www.dakwat-kertas.blogspot.com/


Berikut ialah tulisan penuh Datuk Fuad di bawah tajuk “Rahsia godaan Anwar”

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta beberapa ahli parlimen Barisan Nasional menandatangani surat untuk memberikan persetujuan kepada beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam pada 16 September 2008 yang lalu. Surat tersebut ditujukan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong.

Demikian didedahkan oleh ahli parlimen Batu Pahat yang terpilih sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi dalam program Sembang petang “UMNO Dalam cabaran” anjuran UMNO Bahagian Gombak di Dewan Cempaka, Kelab Darul Ehsan petang tadi (19 April 2009) mulai jam 2.45 petang.

Menurut Dr. Puad, beliau telah menerima panggilan telefon daripada rakan Anwar Ibrahim, Dr. Abdul Rahim Ghaus, seorang ahli perniagaan pada 20 September jam 2 pagi tahun lalu yang menyatakan beliau ingin berjumpa dan berbincang mengenai pembentukan kerajaan pembangkang yang baru.

Dr. Puad bersetuju berjumpa dengan Dr. Abd Rahim yang kemudiannya merayu dan menunjukkan surat yang ditujukan kepada SPB Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan persetujuan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan telah hilang sokongan.

Untuk meyakinkan lagi, Dr. Abdul Rahim telah menelefon Anwar Ibrahim untuk bercakap dan meyakinkan beliau. Menurut Dr. Puad, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa “ Pak Lah is no longer in command..”

Beliau merayu agar Dr. Puad menandatangani surat tersebut tanpa perlu keluar daripada Barisan Nasional. Anwar berjanji akan merahsiakan tandatangan beliau. Ia hanyalah untuk tatapan SPB Yang Di Pertuan Agong, tambahnya lagi.

“I need more Malay MPs like you ”, tambah Anwar lagi. “ And we already have enough numbers to form new government ,” kata Anwar cuba meyakinkan lagi.

Anwar cuba meyakinkan Dr. Puad dengan menyatakan bahawa empat Sultan telah menyatakan sokongan, termasuk SPB Yang Di Pertuan Agong.

Dr. Puad secara fizikalnya terketar-ketar. Beliau hanya baru beberapa bulan menjadi ahli parlimen tiba-tiba menerima ujian yang begini besar. Menurutnya, beliau terketar-ketar kerana takut terpengaruh dan lantas tanpa sedar menandatangani surat tersebut, jelasnya lagi.

Beliau cuba menguatkan pendirian dengan bertanya Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu. Ini kerana beliau bimbang Pakatan Rakyat tidak lagi menjuarai kepentingan bangsa Melayu dan Islam lantaran ingin menjaga perasaan DAP dan pengundi Cina.

Menurut Dr. Puad, Anwar menyatakan kepadanya kepentingan bangsa Melayu akan dijaga dan beliau pernah menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana kes tanah di Selangor.

Tetapi Kata Dr. Puad, banyak kes di Parlimen seperti serangan terhadap menghalang Murtad / keluar Islam yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Bukit Mertajam dari DAP tidakpun dipertahankan oleh ahli-ahli parlimen PAS mahupun PKR. Hanya pemimpin UMNO yang berbuat demikian. Apa yang diharapkan kepada mereka untuk berbuat demikian, tegasnya lagi.

“UMNO yang telah menggubal perlembagaan yang membuat ketetapan dimana keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar di mahkamah sivil,” tambah Dr. Puad dengan bersemangat.

Berbalik kepada perbualan telepon Anwar-Dr.Puad, lantaran debaran yang demikian kuat, Dr. Puad meminta tempoh kepada Anwar untuk beliau menunaikan solat istiqarah bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah swt.

Beliau menyampaikan berita tersebut kepada isterinya untuk berbuat demikian dan melakukan solat istiqarah mendapatkan restu Allah. Keesokannya beliau menerima telepon lagi daripada Dr. Rahim Ghaus.

Dr. Puad menjawab bahawa setelah beliau melakukan istiqarah, beliau telah mendapat mimpi yang menyatakan, “Kalau saya sign surat persetujuan tersebut bermakna saya telah menjual negara..”, kata Puad disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hadirin yang hadir.

“Kalau saya sign , saya akan dihalau oleh Sultan dari negeri Johor yang merupakan tempat UMNO dinobatkan”, tegas beliau lagi.

“Saya memegang jawatan ini bukan untuk diri saya, tetapi untuk bangsa dan agama dan saya berharap saya akan istiqamah dengan perjuangan ini,” tambah Dr. Puad mengakhiri ucapannya dengan soalan-soalan yang bertalu-talu dari hadirin.

Anwar mengenali Dr. Puad kerana beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik pada tahun 80 an dahulu. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada prinsip perjuangan agama dan bangsa. Pendekatannya sudah tentu berbeda dengan ahli-ahli parlimen yang lain.

Umum mengetahui bagaimana Anwar telah mengarahkan wakil-wakil rakyat PKR berkejaran ke Taiwan untuk memujuk ahli parlimen BN menandatangai surat persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 pada 16 September 2008 yang lalu.

Dengan kehendak Allah, Perak yang jatuh ke tangan Barisan Nasional.
Hampir 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan Hulu Kelang hadir dalam perjumpaan tersebut.- fuhas.