Selepas hampir lapan jam, pegawai Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengambil tiga kotak dokumen dari pejabat Felda Investment
Corporation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di United Kingdom.
Pasukan penyiasat SPRM itu beredar dari premis FIC di
Balai Felda, Jalan Gurney kira-kira jam 5.45 petang selepas tiba kira-kira jam
10.20 pagi semalam.
Menerusi kenyataan yang diedarkan kepada media, FIC akan
memberikan kerjasama bagi membolehkan pihak berkuasa memperoleh maklumat dan
menyiasat perkara berkenaan.
“FIC komited untuk menyokong usaha pihak-pihak yang berkaitan
bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, integriti dan etika amalan
perniagaan sebagai ciri utama tadbir urus korporat yang baik,” katanya.
SPRM sudah menyenaraikan beberapa saksi penting untuk
hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel
empat bintang di Kensington, London oleh FIC.
Menurut sumber dalaman, SPRM telah menyerahkan notis
kehadiran itu kepada saksi-saksi berkenaan bagi membolehkan pihak
berkuasa itu mengambil keterangan mereka secepat mungkin bagi melengkapkan
siasatan berhubung kes berkenaan.
Sumber itu berkata pasukan penyiasat SPRM, terdiri
daripada Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Perlucutan Harta juga telah hadir
ke pejabat FIC di Jalan Gurney, di Kuala Lumpur, pada kira-kira 10.30 pagi bagi mendapatkan maklumat serta menyampaikan notis berkaitan dan
segala prosedur itu selesai pada kira-kira 5.45 semalam.
"SPRM telah mengambil beberapa dokumen penting
daripada pejabat FIC berhubung pembelian hotel empat bintang di London pada
sekitar tahun 2013 dan 2015," kata sumber itu kepada Bernama.
Baru-baru ini SPRM menyatakan beberapa individu akan
dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang
bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.
Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai
telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal
sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
Kenyataan itu menjelaskan, individu-individu berkenaan
merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel
tersebut antara 2013 hingga 2015.
Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah,
keraian dan minyak dan gas.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di
Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Samad dilaporkan
berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada
“langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat
“memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.
Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio
keraian, selepas Felda membayar £98 juta (RM538 juta) untuk sebuah pangsapuri
perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki
ketika dihubungi Bernama mengesahkan maklumat yang diterima itu.
"Pasukan siasatan telah meneliti kesemua dokumen dan
maklumat yang telah diperolehi ketika hadir ke pejabat FIC.
Saksi-saksi penting akan mula dipanggil esok untuk
merakam percakapan bagi membolehkan pasukan penyiasat melengkapkan kertas
siasatan," katanya.
Baru-baru ini, SPRM dalam satu kenyataan berkata beberapa
individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel
empat bintang bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014 selepas SPRM
menerima maklumat baharu berhubung kes itu.
Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC, yang
merupakan entiti pelaburan yang diwujudkan FELDA pada 2013, didakwa membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi
daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan
ringgit.
Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan
merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel
tersebut antara 2013 hingga 2015.
SPRM pernah menyiasat kes ini pada Mei 2015
dan mendapati tiada sebarang salah laku dalam pembelian itu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata pihaknya tidak
mengetahui bukti baharu yang ditemui SPRM.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM
dalam siasatan kes tersebut,” katanya.