Tuesday, July 18, 2017

Hotel RM330j Di UK - SPRM Ambil Tiga Kotak Dokumen Felda Investment Corporation


Selepas hampir lapan jam, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengambil tiga  kotak dokumen dari pejabat Felda Investment Corporation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel empat  bintang di United Kingdom.

Pasukan penyiasat SPRM itu beredar dari premis FIC di Balai Felda, Jalan Gurney kira-kira jam 5.45 petang selepas tiba kira-kira jam 10.20 pagi semalam.

Menerusi kenyataan yang diedarkan kepada media, FIC akan memberikan kerjasama bagi membolehkan pihak berkuasa memperoleh maklumat dan menyiasat perkara berkenaan.

“FIC komited untuk menyokong usaha pihak-pihak yang berkaitan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, integriti dan etika amalan perniagaan sebagai ciri utama tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

SPRM sudah menyenaraikan beberapa saksi penting untuk hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC.

Menurut sumber dalaman, SPRM telah menyerahkan notis kehadiran itu kepada saksi-saksi berkenaan bagi membolehkan  pihak berkuasa itu mengambil keterangan mereka secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.


Sumber itu berkata pasukan penyiasat SPRM, terdiri daripada Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Perlucutan Harta juga telah hadir ke pejabat FIC di Jalan Gurney, di Kuala Lumpur, pada kira-kira 10.30 pagi bagi mendapatkan maklumat  serta menyampaikan notis berkaitan dan  segala prosedur itu selesai pada kira-kira 5.45 semalam.

"SPRM telah mengambil beberapa dokumen penting daripada pejabat FIC berhubung pembelian hotel empat bintang di London pada sekitar tahun 2013 dan 2015," kata sumber itu kepada Bernama.

Baru-baru ini SPRM menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan, individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian dan minyak dan gas.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Samad dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.

Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio keraian, selepas Felda membayar £98 juta (RM538 juta) untuk sebuah pangsapuri perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan maklumat yang diterima itu.

"Pasukan siasatan telah meneliti kesemua dokumen dan maklumat yang telah diperolehi ketika hadir ke pejabat FIC.

Saksi-saksi penting akan mula dipanggil esok untuk merakam percakapan bagi membolehkan pasukan penyiasat melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Baru-baru ini, SPRM dalam satu kenyataan berkata beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014 selepas SPRM menerima maklumat baharu berhubung kes itu.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC, yang merupakan entiti pelaburan yang diwujudkan FELDA pada 2013, didakwa membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015.

SPRM  pernah menyiasat kes ini pada Mei  2015 dan mendapati tiada sebarang salah laku dalam  pembelian itu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata pihaknya tidak mengetahui bukti baharu yang ditemui SPRM.

“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut,” katanya.


No comments: