Wednesday, July 5, 2017

Radar 'Hilang' - SPRM Ambil Keterangan Enam Individu, Mungkin Soal Lebih Ramai


Enam individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata enam individu terbabit adalah kakitangan Jabatan Polis Bantuan dan pegawai kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 37 dan 48 tahun itu hadir di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 11 pagi semalam (4 Julai 2017).

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM berkata mereka juga dalam proses meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperolehi daripada pihak pelabuhan berhubung kejadian tersebut.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Malah, katanya SPRM kini dalam proses mengenalpasti sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam insiden tersebut.

"Kita (SPRM) akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini," tegas beliau.

Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil jika perlu bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

Kelmarin, SPRM berkata pihaknya akan menghantar pasukan penyiasat ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor berhubung dakwaan ‘kehilangan’ sebuah kontena yang dikatakan mengandungi peralatan sistem radar tentera berteknologi tinggi di pelabuhan itu baru-baru ini.

SPRM dalam satu kenyataan media berkata pegawai penyiasatnya akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut SPRM, pasukan penyiasat akan menilai maklumat-maklumat yang diperolehi untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

"SPRM juga telah menerima aduan berhubung perkara itu dan akan mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.
"Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar itu,” kata SPRM.

SPRM berkata siasatannya hanya akan tertumpu kepada sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam siasatan oleh polis.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan kontena yang tiba dari Australia membawa peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di pelabuhan berkenaan.

Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang terbabit sepatutnya di hantar ke Belanda melalui pelabuhan itu, namun, ia tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan barangan itu ditahan.

Laporan turut menyebut bahawa  radar tentera yang didakwa hilang dari PTP itu sebenarnya sudah dikesan.


Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata radar berkenaan sudah sampai ke destitasi sepatutnya iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

"Siasatan yang dijalankan JKDM sebenarnya menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah akta Pemerdagangan Strategik 2010," katanya dalam kenyataan,

Terdahulu, akhbar The Star melaporkan sistem peralatan radar tentera bernilai jutaan ringgit yang dalam transit ke Belanda dilaporkan hilang.

Menurut laporan tersebut barangan dari Australia itu ditahan JKDM sementara menunggu dokumen yang diperlukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


Menurut laporan akhbar itu, semua peralatan ketenteraan yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan permit khas daripada MITI.

Susulan itu, insiden berkenaan mendapat perhatian ramai, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan bagi menyiasat kes berkenaan.

No comments: