Thursday, March 30, 2017

Penguat Kuasa JPJ, Imigresen, KPDNKK, Polis Serta 3 Orang Awam Didakwa

Penguatkuasa yang ditahan di Ipoh
Tiga belas anggota penguat kuasa melibatkan empat agensi penguatkuasaan dan tiga orang awam yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Tertuduh terdiri daripada lima penguatkuasa Imigresen, masing-masing dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), empat anggota polis serta tiga orang awam.

Lima daripada mereka yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar adalah dua penguat kuasa KPDNKK, seorang penguat kuasa JPJ dan dua orang awam.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Di IPOH, di Mahkamah Sesyen, mereka yang dituduh merupakan bekas pengarah Imigresen dan Ketua Unit Imigresen Negeri Perak, manakala di Mahkamah Sesyen Melaka, seorang polis berpangkat Sarjan telah dituduh. Kesemua tertuduh dituduh mengikut Sesyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.

Tertuduh pertama, Zulhairin Yahya, 45, ketika bertugas sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Perak didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan dekat Seri Manjung.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Nga melalui Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak, Zaidi Dali supaya tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Sementara itu, Zaidi, 49, didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Nga bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan yang sama, kira-kira pukul 9 malam, 5 November 2015.

Zaidi yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Perak juga didakwa memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM7,000 daripada Nga untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Zaidi diwakili peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim sementara Zulhairin diwakili Ahmad Zaidi Zainal.

Anggota polis ditahan di Johor
Di JOHOR, Mahkamah Sesyen Johor, tiga anggota polis dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.

Mereka  didakwa kerana  dikaitkan dengan rasuah sebanyak RM20,000.

Konstabel S. Logeshvaran, 31, Konstabel Rhomarino Rafie, 33, dan Inspektor Isa Ahmad, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsur.

Logeshvaran didakwa telah meminta RM2,000 daripada S. Ravi, 49, supaya tidak dikenakan tindakan terhadapnya kerana mengambil pekerja asing tanpa izin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Taman Nusa Perintis di Gelang Patah pada jam 2 petang, 12 Jun tahun lepas.

Logeshvaran juga didakwa telah menerima jumlah yang sama dari Ravi pada tarikh yang sama pada kira-kira pukul 4.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (A) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) dan Seksyen 17 (A) akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum  20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah dan Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan sebutan kes pada 8 Mei ini.

Di SHAH ALAM, DI Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, mereka yang dituduh adalah tiga penguat kuasa Imigresen dan seorang penguat kuasa JPJ dan seorang orang awam.

Mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


Kesemua penguat kuasa mengaku tidak bersalah dan telah meminta untuk dibicarakan manakala seorang orang awam di yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM5,000.

Wednesday, March 29, 2017

Pegawai RELA Jual Senapang Patah Curi Milik RELA Hingga RM3,000


Memperdagangkan senjata api boleh dikenakan hukuman mati.

Itu hukuman namun perbuatan anggota Jabatan SukaRELAwan Malaysia (RELA) menjual senjata api yang dicuri milik RELA sungguh memalukan.

Laba yang didapati tidaklah sebesar mana tetapi bahaya yang menanti, termasuk kehilangan nyawa dan harta, tidak boleh dikira dengan wang ringgit.

Siapa anggota RELA dan untuk apa ia ditubuhkan? Bukankah rakyat yang setia untuk pertahankan negara daripada jenayah?

Bagaimana jika senjata api itu jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab hasil perbuatan kakitangan RELA yang memang tidak bertanggungjawab?

Diliporkan, 26 senapang patah milik Jabatan SukaRELAwan Malaysia (RELA) Selama, Perak yang hilang dari stor RELA Wilayah Utara Bukit Selambau, Sungai Petani dijual antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap laras.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata hasil siasatan polis juga mendapati aktiviti penjualan senjata api yang didalangi seorang pegawai RELA dari Selama, Perak itu melibatkan kenalan pegawai terlibat daripada kalangan anggota RELA sendiri dan orang awam.

“Ia jual antara RM1,000 hingga RM3,000 (dan ia) sangat murah tetapi hukuman dia sangat berat.

Ini perlu pihak media perjelaskan kepada semua yang penjualan dan pemilikan senjata api tanpa lesen hukumannya berat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar semalam.
.
Asri berkata pihaknya kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memperdagangkan senjata api yang sabit kesalahan adalah hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 6 kali sebatan.

“Kita juga menyiasat 13 suspek lagi di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat (PLB) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang 6 kali serta seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru yang boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Asri berkata setakat ini polis masih lagi memburu suspek dan mengesan 12 laras senapang patah yang masih hilang.

“Kita sudah pun kenal pasti mereka ini di sekitar Perak dan kita seru mereka tampil dan menyerahkan senjata api tanpa lesen ini di balai polis berdekatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini 14 senapang patah milik RELA berjaya di rampas daripada 14 suspek berusia 29 hingga 56 tahun.

“Jika mengikut pecahan tangkapan, kita menahan 6 orang di sekitar Taiping, 6 lagi di sekitar Selama, 2 orang di sekitar Kerian, seorang di Gerik (Perak) manakala 2 suspek di Kuala Muda, Kedah.

“Kita juga merampas 300 butir peluru tabur jenis 12 bolt. Siasatan polis kini menjurus apa tujuan senjata api itu dimiliki sama ada berkait unsur militan atau tidak,” katanya.


Beliau berkata sehingga kini kesemua suspek masih direman untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah di daerah suspek ditangkap.

Monday, March 13, 2017

Polis Kesan Penyangak 'Rampas' Tanah Di Johor


Apa sudah jadi dengan Johor sekarang?

Ada sahaja kontroversi dan berita mengenai rasuah dan penipuan.

Malah, lebih memalukan, ada sahaja penjawat awam yang menggunakan kuasa mereka atau pejabat mereka bekerja untuk mendapatkan laba melalui jalan salah.

Hari ini dilaporkan, satu sindiket yang mempunyai hubungan kukuh dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dan 'orang dalam' telah mengenal pasti plot tanah terbiar milik warga asing di bandar Johor Bahru, sebelum 'menukar' status pemilikan dan menjualnya bagi mendapatkan untung besar.

Sindiket itu, yang telah beroperasi dalam tempoh tertentu, setakat ini telah menjual beberapa plot tanah milik rakyat Singapura dan Indonesia dengan nilai lebih dari RM15 juta.

Bagaimanapun, polis Johor dapat mengesan aktiviti mereka dan setakat ini telah menahan tiga suspek berusia 30-an dan 50-an, termasuk seorang bekas pembantu pentadbiran PTG di Nusajaya, dalam satu siri serbuan beberapa hari lepas.

Sumber berkata, bekas pegawai itu, yang telah berkhidmat dengan PTG lebih dari 10 tahun, baru-baru ini telah dipindahkan ke agensi kerajaan lain.

Dua lagi suspek, yang didakwa sebagai broker tanah, adalah ahli kumpulan jenayah terkenal dan mempunyai rekod, termasuk dalam kes pembunuhan.

Kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi talian hotline polis di 07-221 2999.

Difahamkan, polis telah merampas berpuluh-puluh dokumen, dipercayai telah dicuri, dari bilik kebal di pejabat PTG Nusajaya.

Sumber berkata, sindiket itu menggunakan kakitangan pejabat tanah untuk mengenal pasti plot tanah di sekitar bandar yang dimiliki orang asing dan telah ditinggalkan untuk beberapa ketika.

"Suspek kemudian menggunakan dokumen keselamatan untuk mencetak nama pemilik baharu bagi penukaran status hak milik sebelum memfailkan dokumen-dokumen di PTG.

"Dengan status pemilikan baharu, mereka akan cuba untuk menjualnya kepada pemilik yang berpotensi," kata sumber.

Sindiket itu, menurut sumber, telah mengambil masa yang panjang untuk menjalankan kegiatan haram mereka, termasuk menunggu sehingga beberapa tahun bagi menukar beberapa butiran tanah.

Ia juga mengeluarkan nombor pasport palsu pemilik tanah, cop pesuruhjaya sumpah dan dokumen undang-undang untuk meyakinkan PTG dan bakal pembeli mereka, tambah sumber itu.

Penipuan mereka dikesan apabila seorang peguam yang bertindak bagi pihak anak guamnya mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam penjualan sebidang tanah bernilai jutaan ringgit di Gelang Patah.

Peguam itu kemudian menghubungi pemiliknya, seorang warga Singapura, yang tidak tahu tentang penjualan itu atau mempunyai niat untuk menjual tanah berkenaan.

Pemilik telah membuat laporan polis baru-baru ini.

Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri telah membentuk satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini dan mengesan beberapa kes melibatkan sindiket terbabit.

Pasukan itu juga sedang membuat pemeriksaan untuk memastikan sama ada sindiket itu terlibat dalam kes lain di seluruh negara.

Sunday, March 12, 2017

Dua 'Tan Sri', Seorang 'Datuk Seri' Ditahan Beri Rasuah, Elak Cukai


Dua ahli perniagaan terkenal bergelar 'Tan Sri' dan seorang  'Datuk Seri' sedang disiasat disiasat oleh pihak berkuasa atas dakwaan rasuah dan cuba mengelak cukai.

Pihak berkuasa membekukan akaun dan aset bernilai ratusan juta ringgit daripada ketiga-tiga ahli perniagaan itu.

Serbuan tersebut telah diadakan di Pulau Pinang dan Johor, dan dijangka lebih banyak pendedahan akan  diumumkan tidak lama lagi.

Kedua-dua 'Tan Sri' berasal dari Pulau Pinang dan Kedah, manakala 'Datuk Seri' pula dari Johor.

Turut dilaporkan  bahawa salah seorang ahli perniagaan tersebut menjalani sindiket perjudian haram di seluruh negara dan memiliki kelab malam yang beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada beliau dikaitkan dengan aktiviti kongsi gelap serta mencari jawapan  menyiasat bagaimana kegiatannya berselindung.

Disyaki Datuk Seri tersebut mempunyai sekurang-kurangnya empat kelab malam dan 23 premis hiburan, dan telah disiasat sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber, baru-baru ini beliau telah dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah melebih RM1 juta setiap bulan kepada pegawai dari pelbagai agensi penguatkuasaan.

Semua pegawai kanan pasukan penyiasatan enggan mengesahkan atau menafikan maklumat mengenai kes berprofil tinggi ini.

Seorang lagi ahli perniagaan itu didakwa menipu kerajaan dengan menggunakan proksi untuk membeli tanah rizab Melayu pada harga yang murah kemudian menjualnya kepada kerajaan dengan harga lebih tinggi.

Bulan lalu, ahli perniagaan Datuk Seri Ng Chian Sia didakwa bersama-sama dengan 21 yang lain di Mahkamah Sesyen George Town kerana disyaki terlibat dengan 'Gang 24'.

Ng, 55, dipercayai antara ketua tertinggi geng tersebut dan menerima gelaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, pada tahun 2015.

Baru-baru ini, bekas pemimpin Pemuda MIC Datuk M. Kalai Arasu  antara 29 lelaki dipercayai anggota 'Gang 360 Devan' yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang yang terlibat dengan  jenayah terancang.


mStar

Thursday, March 9, 2017

Penyelewengan Hartanah Bumiputera - SPRM Tahan EXCO Johor


Exco kerajaan negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi, hari ini ditahan ketika menghadirkan diri untuk soal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat di Johor Baharu, pagi tadi berhubung skandal tanah.

Portal The Star Online memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang kebetulan berada di ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya sebagai mengesahkan penahanan berkenaan.

Abdul Latif adalah exco atau pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Johor dan memilih untuk bercuti sementara menunggu siasatan kes itu.

Pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.


Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

Pada 28 Februari pula, SPRM turut menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

Laporan Bernama pada 26 Februari lalu menyebut enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah-rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Menurut sumber, aktiviti penukaran status itu dipercayai dibuat sejak tahun 2013 yang melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapat rumah status bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.

"Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus bumiputera ditukar kepada bukan bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat sebanyak beberapa kali ganda daripada harga asal.

"Ini sekali gus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya .

Mengulas mengenai penahanan Abdul Latiff, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin berkata beliau menyerahkannya kepada SPRM.

“Saya ialah, kita bersimpati tapi saya percaya kita serah kepada SPRM  supaya kita dapat capai keadilan dalam soal ini (rasuah dan penyelewengan hartanah).

“Itu komen saya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas  menghadiri sidang DUN di Kota Iskandar, Johor Baharu, pagi ini.

Mengenai soalan lain jika penahanan itu akan memberi kesan kepada Umno Johor, beliau berakata: "Tak perlu tanya... baru sahaja kan?”

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah mula bercuti pada 1 Mac lalu untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.


Susulan cuti Abd Latif, Mohamed Khaled semalam  mengumumkan penyusunan semula tiga portfolio Exco kerajaan negeri Johor berkuatkuasa Ahad ini di mana jawatan Abd Latif akan dipangku Datuk Md Jais Sarday.

Difahamkan, Abdul Latif mengambil cuti selepas anak lelaki dan pegawai khasnya ditahan SPRM dalam operasi pada pagi 28 Februari lalu.

Turut ditahan dua pemaju, masing-masing seorang peguam dan orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal sama di Johor.
Khaled, apabila diminta mengulas mengenai penahanan seorang Ketua Pemuda Umno bahagian Johor, berkata ia tidak berkaitan.

Semalam, seorang ketua Pemuda Umno bahagian di Johor ditahan reman bersama teman wanitanya bagi membantu siasatan bersabit kes penipuan tawaran memiliki Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ)
Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan tahanan reman selama tiga hari terhadap suspek yang berumur 41 hingga 43 tahun bermula semalam sehingga Jumaat.

Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam penipuan tawaran memiliki RMMJ melibatkan empat mangsa dengan jumlah kerugian RM120,000 sejak tahun lalu.
3.6K