Peguam bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd
Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijangka memfailkan rayuan
terhadap perintah ikat jamin sebanyak RM12 juta yang dikenakan terhadap mereka
pada 20 Januari depan.
Difahamkan, peguam tertuduh akan mengemukakan rayuan itu
di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bersama surat tunjuk sebab.
Sementara seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah
kementerian bergelar 'Datuk' dan seorang anaknya yang direman 11 hari bagi
membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan hari ini.
Mahkamah Magistret di Putrajaya membenarkan lelaki
berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan
jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atas
mereka tamat hari ini.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan
KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.
KSU dibebaskan Mahkamah Magistret di Putrajaya. |
Dalam kes Skandal Air Sabah, pada hujung bulan lalu,
peguam pasangan itu, PJ Pareira berkata beliau akan memfailkan rayuan di
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari bagi pihak Ag Mohd Tahir yang didakwa
dengan 12 tuduhan anti pengubahan wang haram dan Fauziah yang menghadapi 19
tuduhan yang sama.
"Kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini kerana
ia adalah mustahil bagi anak buah saya mendapatkan jumlah wang ikat jamin
mereka," katanya.
Beliau berkata, Ag Mohd Tahir dan isterinya tidak dapat
mencagarkan mana-mana harta mereka yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ag Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan
tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun
bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan
memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.
Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya,
Fauziah, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala
Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah
serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.
Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan
kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung
tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan
tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada
Aktiviti Haram 2001.
Sementara dalam kes KSU yang dituh rasuah pula, beliau
dan anaknya sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Jan lalu
dan disambung selama empat hari lagi sehingga hari ini.
KSU ketika dibawa ke mahkamah pagi ini. |
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas
suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.
Pada Rabu lepas, mahkamah membebaskan seorang lagi anak
lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas
siasatan ke atasnya selesai.
Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah
Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing
ditutupi baju.
KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada
8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat
SPRM, hari yang sama.
Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua
syarikat berbeza.
Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Jan lepas
disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan
dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
mStar & Berita Harian
No comments:
Post a Comment