Friday, August 20, 2010

MIRZA DIANIANYA DENGAN PERTUDUHAN KEDUA?

freemalaysiatoday.com

Khabar angin bertiup di sekitar kafeteria dan di anjung mereka yang berkuasa bahawa tuduhan kedua ke atas Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mirza Mohammad Taiyab Isnin lalu (16 Ogos 2010) berkaitan dengan kontrak bernilai RM600 juta di mana beliau enggan meluluskannya.

Tuduhan pertama terhadap Mirza ialah mengenai rawatan gigi yang didakwa dibiayai oleh pihak tertentu, tetapi beliau dibebaskan.

Mirza ialah pengerusi Lembaga Tender dan agak menghairankan tarikh tutup tender pengiklanan ialah hari Isnin, hari beliau ditahan atas tuduhan rasuah kali kedua.

Beliau dilaporkan tidak bersefahaman dengan Menteri Pelancungan Dr Ng Yen Yen sejak diambil semula sebagai ketua pengarah setelah dibebaskan.

Menurut sumber-sumber, beliau telah menolak projek dan kertas cadangan (yang diluluskan oleh Menteri) di mana beliau menyifatkan sebagai suatu pembaziran dan enggan membuat bayaran yang berbaur rasuah.

Insiden tiba di kemuncak apabila tender pengiklanan Perbadanan Pembangunan Pelancungan (TDC) dikeluarkan dan beliau enggan memberi pertimbangan untuk menyerahkan kontrak bernilai RM600 juta kepada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan kait dengan anak lelaki Ng.

Menurut laman blog "Another Brick On The Wall", Menteri dan anak lelakinya ingin menyapu bersih …….dan Mirza menjadi penghalang.

"Tapi kali ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendaklah bertindak dengan betul……supaya mereka tidak kalah kali kedua kepada orang yang sama.

Ini kerana ia bukan sahaja akan memalukan mereka tetapi juga akan mencemar imej mereka," kata blog itu, merujuk kepada tuduhan pertama tetapi beliau dibebaskan.

Pada Julai 2009, Mirza dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menerima rawatan gigi bernilai RM13,860 pada 2005 selepas orang yang mengarahkan doktor gigi supaya tidak mengambil bayaran daripada Mirza, tidak mengaku terlibat.

"Kalau tidak, beliau akan menjadi mangsa sepertimana yang dialami oleh bekas Menteri Pelancungan, Azalina Said.

"Mirza mempunyai reputasi yang bersih. Tidak ada kakitangan Kementerian yang mengadu tentang beliau.

"Tidak juga kedengaran rasa tidak puas hati terhadap beliau mengenai rasuah atau salah guna kuasa. Beliau bersikap lurus dengan staf dan dengan mereka dari industri pelancungan," kata penulis itu, yang hairan kenapa SPRM memilih untuk mendakwa beliau buat kali kedua.

Didakwa pecah amanah

Hari Isnin di Mahkamah Sesyen, Mirza mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM888,000.

Beliau dituduh bersama bekas Ketua Pegawai Operasi Pempena Sdn Bhd Mohammad Rosly Md Selamat, 56, yang juga sedang menghadapi perbicaraan.

Pempena merupakan sebuah anak syarikat Tourism Malaysia yang gagal.

Mirza, 52 dan Mohammad Rosly dituduh melakukan kesalahan di pejabat Pempena di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Februari 2007.

Mereka didakwa membayar LCL Interior Dubai sebanyak RM888,000 untuk projek pembinaan sebuah restoran di Dubai walaupun projek itu tidak memenuhi syarat-syarat yang dikenakan.

Menurut blogger itu, pada 2007, Mirza adalah seorang ahli Lembaga Pengarah Pempena berdasarkan jawatannya sebagai ketua pengarah. Beliau juga merupakan penandatangan cek yang sah bagi Pempena.

Tetapi hubungan di antara Pempena dan Mirza tidak begitu mesra, kerana beliau tidak meluluskan keputusan Pempena untuk membiayai pembinaan restauran di Dubai. Walaupun terdapat penentangan, Lembaga Pengarah Pempena tetap meluluskan pembiayaan projek itu.

"Beliau menandatangani cek pembayaran wang itu dengan tanpa rela, yang kemudian diselewengkan oleh syarikat yang menerimanya tapi gagal menyiapkan projek itu.

"Adalah didakwa syarikat itu mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Pelancungan, Leo Michael Toyad," kata blog itu.

Laporan Ketua Pengarah Audit 2008 menyebut Pempena tidak membawa hasil dari pelaburannya selepas RM41.7 juta disuntik ke dalam syarikat itu.

No comments: