|
Kes rasuah 14 November lalu. |
Dengan adanya satu lagi kes rasuah terbaru di kalangan
penjawat awam semalam, amat nyata kejadian itu kini tidak lagi menyelubungi ahli
politik, sebaliknya lebih kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan
dasar untuk rakyat.
Apakah bentuk pentadbiran awam negara atau negeri sekiranya
orang yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dengan mudah mengumpul harta
untuk kepentingan diri dan keluarga melalui jalan salah?
Bukan sahaja akan berlaku ketirisan dan kegagalan kepada
projek atau program yang dilaksanakan tetapi rakyat pastinya marah kerana apa
yang diharapkan mereka tidak akan pernah menjadi kenyataan.
Isu rasuah di kalangan penjawat awam akhir-akhirnya semakin dilondehkan dan
kerajaan sama ada Putrajaya atau negeri, tidak boleh melepaskan tangan dengan hanya
amaran dan janji untuk bertindak semata-mata.
Amaran hendaklah diikuti dengan tindakan tegas.
Usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilakukan
segera dan janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad 13 Ogos
lalu bagi memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah,
penyelewengan dan salah guna kuasa dalam masa terdekat, semakin menghampiri
kejayaan.
Janji beliau ialah penumpuan akan diberikan kepada agensi
penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan
kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang siasat
seorang pengarah agensi Persekutuan yang dikatakan memiliki wang simpanan
jutaan ringgit di dalam beberapa akaun bank dipercayai diperoleh hasil kegiatan
rasuah.
Kekayaan yang dimiliki seorang pengarah sebuah agensi
kerajaan Persekutuan itu dikaitkan dengan menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.
Kes rasuah di kalangan penjawat awam ternyata serius
kerana pada 14 November lalu, seorang pengarah sebuah syarikat milik kerajaan
(GLC) bergelar Datuk ditahan SPRM di Shah Alam, Selangor kerana dipercayai
menyalahgunakan kuasa dan menerima suapan sehingga memiliki wang simpanan
berjumlah RM40.6 juta.
Siasatan polis mendapati sebanyak 10 buah kereta mewah
dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik tiga suspek
termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan
(GLC) bergelar Datuk dirampas oleh SRM.
Kesemua
kenderaan dan jam tangan tersebut dirampas untuk siasatan kerana disyaki dibeli
daripada hasil suapan dan salah guna kuasa.
Menurut
sumber, 10 kereta mewah tersebut adalah dua buah Range Rover dan masing-masing
sebuah Bentley, Daimler, Aston Martin, BMW 4 Series, Mini Cooper, Audi Q5 dan
Audi Q3 yang bernilai antara RM150,000 hingga RM700,000 sebuah.
Jam
tangan mewah yang dirampas pula adalah dua utas Frank Muller dan Bvlgari serta
seutas Rolex yang kesemuanya bernilai RM230,000.
“Jumlah
itu tidak termasuk nilai sitaan beberapa akaun bank berjumlah RM40.1 juta yang
telah dibekukan sebelum ini. Difahamkan, beberapa akaun bank persendirian dan
syarikat milik ketiga-tiga suspek yang nilainya masih belum diketahui juga
bakal disita.
Ketika ini SPRM masih mengumpul bukti dan beberapa saksi
juga sedang dikesan untuk diambil keterangan.
Tiga hari sebelum itu iaitu pada 11 November pula, seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC
berusia 56 tahun yang memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai
dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa
tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta ditahan SPRM di Negeri Sembilan
kerana disyaki menyalahgunakan kuasa juga kerana menerima suapan.
Pada Oktober lalu pula, SPRM mencatat sejarah tangkapan
dan rampasan terbesar apabila 22 pegawai kanan termasuk pengarah dan timbalan
pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah ditahan berhubung penyelewengan dana
projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion. Hampir RM60 juta wang tunai
dirampas dalam operasi tersebut selain aset dan akaun yang dirampas serta
dibekukan.
Apakah dengan kes besar seperti ini SPRM berpuas hati dan
akan selepas ini akan berdiam diri daripada memperbetulkan perjalanan
pentadbiran kerajaan dan agensinya demi kepentingan rakyat?
Dzulkifli sudah memberi jaminan bahawa pihaknya tidak
mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan
yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta
melalui perbuatan jenayah rasuah.
Baginya, golongan yang tiada maruah diri inilah yang
menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.
Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan
agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini
akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian
perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.
Kerana itu dalam kes terbaru membabitkan pengarah sebuah
agensi kerajaan Persekutuan yang berusia 59 tahun, SPRM tidak akan membenarkan
kejadian mengumpul harta-harta yang dilakukan sejak menyandang jawatan tersebut
sejak beberapa tahun lalu.
Dilaporkan, wang
tersebut adalah hasil daripada aktiviti rasuah yang diperoleh daripada
kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan projek-projek di bawah
seliaannya.
“Bagi mendapatkan projek bernilai jutaan ringgit
tersebut, kontraktor-kontraktor yang dilantik juga disyaki telah memberikan
wang suapan di antara puluhan dan ratusan ribu kepada suspek.
“SPRM mula memantau suspek tersebut sejurus menerima
maklumat berhubung pemilikan kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan
jawatan yang dipegangnya baru-baru ini,” katanya sumber yang dihubungi Utusan
Malaysia semalam.
Malah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk
Azam Baki sduah mengesahkan perkara tersebut.
Hasilnya? Tangkapan terhadap suspek akan dibuat dalam
masa terdekat bagi membantu siasatan.