Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) tidak akan teragak-agak untuk menyiasat mana-mana pihak yang
mempunyai kaitan penahanan tiga penjawat awam termasuk dua bergelar Datuk Seri
dan Datuk di tiga negeri pada Isnin.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, langkah
tegas itu diambil bagi memastikan kes dua pegawai kanan kerajaan dan seorang
pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan itu dapat dilengkapkan dengan
bukti serta keterangan kukuh.
"SPRM tidak akan teragak-agak menyiasat sesiapa sahaja
yang berkaitan dengan perbuatan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa
melibatkan ketiga-tiga pegawai kanan kerajaan dan GLC itu.
"Kami percaya banyak pihak yang terlibat dalam
siasatan ketiga-tiga kes ini, termasuk kontraktor dan 'orang dalam' jabatan
berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Azam Baki...langkah tegas |
Pada Isnin, selain menahan tiga pegawai kanan terlibat
berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang
haram, SPRM juga membekukan sejumlah RM13 juta harta termasuk wang tunai,
kondominium dan kereta mewah.
Penahanan itu melibatkan seorang pengarah jabatan
bergelar Datuk Seri yang bertugas di bahagian pembangunan sebuah pihak berkuasa
tempatan (PBT); pengarah negeri sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar
Datuk dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan di Kota Baru,
Kelantan.
Siasatan kes berkenaan dibuat mengikut seksyen 17 (a) dan
23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mengikut Akta SPRM, jika mereka disabitkan kesalahan
boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai
suapan mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi Akta Penggubahan Wang haram, hukuman penjara tidak
melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram
atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.
Mengulas lanjut, kata Azam, setakat ini pihaknya sedang
meneliti semua bukti bagi memastikan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan
ketiga-tiga pegawai kanan terlibat dipanggil memberi keterangan.
"Kes mereka disiasat berasingan dan kerjasama semua
terlibat penting untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.
No comments:
Post a Comment