Thursday, July 14, 2016

Bekas Pegawai Polis Dipenjara 12 Tahun, Denda RM105,000


Seorang bekas pegawai polis dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam kelmarin, setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM21,000 pada tahun 2008 dan 2009.

Nik Azainoon Nik Aziz, 54, yang berpangkat DSP dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, ketika perbuatan itu dilakukan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun mulai hari ini setelah mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman berjalan serentak.

Hakim Asmadi Husin turut mengenakan denda RM105,000 ke atas tertuduh dan memerintahkan lelaki itu dipenjara tambahan 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Rakan subahatnya, Roslan Jali, 49, pula dipenjara lapan tahun setelah didapati bersalah terhadap dua pertuduhan bersetuju menerima suapan RM11,000 bagi pihak Nik Azainoon, pada 2008 dan 2009.
Roslan yang bekerja sebagai juruelektrik turut didenda RM55,000 dan diperintah menjalani hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Roslan bagaimanapun akan menjalani hukuman penjara selama empat tahun setelah mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula kelmarin.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam me­rayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman ke atas mereka atas alasan terpaksa menanggung keluarga dan Nik Azai­noon turut menyatakan dia tidak mempunyai pendapatan sejak dipecat daripada pasukan polis.

Asmadi dalam pada itu membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga selesai proses rayuan, namun menaikkan jumlah ikat jamin ke atas mereka daripada RM7,000 bagi Roslan dan RM10,000 bagi Nik Azainoon kepada RM50,000 setiap seorang.

Nik Azainoon dan Roslan juga diperintah membayar kesemua denda yang dikenakan ke atas mereka selewat-lewatnya esok selain melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Shah Alam setiap awal bulan.

Nik Azainoon didapati bersalah bersetuju menerima suapan daripada seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad, Che Ayub Senik, 61, sebagai dorongan untuk menghilangkan rekod kesalahan jenayah Che Ayub yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam ke­giatan ‘Black Money’.

Bekas pegawai polis itu me­lakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali melibatkan jumlah RM10,000 dan RM4,000 pada 9.30 malam di Restoran Starwalk Cafe & Bakery, Jalan Dagang B/3A, Taman Dagang, Ampang, dekat sini antara 5 hingga 30 Nov 2008.

Pada 4 Februari 2009 kira-kira 6.10 petang pula, dia didapati telah bersubahat dengan Roslan untuk menyetuju terima suapan berjumlah RM7,000 daripada Che Ayub di Restoran A&W, Lorong Sultan, Pe­taling Jaya, bagi tujuan sama.

Roslan pula didapati bersalah menyetujui terima wang suapan berjumlah RM4,000 bagi pihak Nik Azainoon kira-kira pukul 9.30 malam di Restoran Starwalk Cafe & Bakery, Jalan Dagang B/3A, Taman Dagang, Ampang, antara 6 hingga 30 November 2008.

No comments: