"...tidak kira ahli politik mana yang disiasat suruhanjaya itu, mereka tetap dimaki dan dianggap “anjing”, “hantu” atau “barua...masalah di Malaysia ialah rakyat suka mempolitikkan masalah rasuah."
Cabaran terbesar yang dihadapi Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah rakyat suka mempolitikkan masalah
rasuah.
Malah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk
Seri Mohd Shukri Abdull berkata, tidak kira ahli politik mana yang disiasat
suruhanjaya itu, mereka tetap dimaki dan dianggap “anjing”, “hantu” atau
“barua”.
“SPRM sangat bebas, tidak kira siapa (suspek itu) kami
akan siasat. Tetapi masalah di Malaysia ialah rakyat suka mempolitikkan masalah
rasuah.
“Jika kami siasat seorang ahli politik, orang ramai akan
menganggap SPRM sebagai alat parti lawan. Contohnya ketika siasat kerajaan,
kami akan dianggap alat parti lawan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama
China Press menjelang persaraannya pada Oktober nanti.
Beliau bagaimanapun berpendapat, dimarahi kerajaan atau
parti pembangkang bukannya perkara buruk kerana ia boleh membuktikan SPRM
adalah badan yang bebas.
Shukri memberi contoh ketika SPRM menyiasat orang UMNO,
kes kematian Teoh Beng Hock dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim pelbagai pihak mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran dan
menuding jari ke arah SPRM.
Beliau menjelaskan, siasatan ke atas ahli politik paling
sukar, justeru beliau menggesa rakyat mengubah cara pemikiran dan memberi
sokongan penuh kepada SPRM atau orang jahat (merujuk kepada SPRM) akan terus
wujud.
“Yang saya sedih ialah di Singapura, Hong Kong malah
Thailand tidak ada keadaan seperti ini.
“Saya kagum dengan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah
Indonesia (KPK). Apabila mereka siasat sesiapa pun termasuk ahli politik,
hampir semua rakyat akan menyokong mereka sepenuhnya, tiada orang yang akan
menyusahkan mereka.
“Jika ada pihak yang menyusahkan KPK, rakyat akan bersatu
mengadakan demonstrasi, inilah sokongan rakyat dan ini juga faktor suruhanjaya
pencegahan rasuah di negara itu berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Shukri mendedahkan ada pihak yang cuba
menganiaya beliau pada 1987 dengan menyembunyikan dadah dalam kereta.
Kejadian itu berlaku ketika beliau memegang jawatan Ketua
Bahagian Siasatan SPRM Pulau Pinang.
“Pada hujung minggu itu, selepas selesai makan tengah
hari saya tiba-tiba hendak mengemas kereta dan secara tidak sengaja menemui
dadah seberat 1 kilogram disembunyikan di bawah karpet tempat memandu.
“Saya segera membawa beg kuning itu ke balai polis untuk
membuat laporan dan keesokannya saya ditahan polis ketika bertugas di Seberang
Perai.
“Saya masih ingat ketika itu tangan saya digari, polis
memeriksa kereta saya dengan teliti namun tidak jumpa apa-apa pun.
“Saya tidak dapat bayangkan jika polis tangkap saya
ketika ‘memiliki dadah’ sehari sebelumnya, macam mana saya hendak nafikan?”
soalnya.
Sehingga hari ini, Shukri masih tidak tahu siapa yang
menganiayanya, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dendam.
“Selepas kejadian itu, saya ditukarkan ke ibu pejabat
SPRM namun saya tidak gentar sebaliknya terus berkhidmat dalam SPRM,” tegasnya.
Mengenai rancangannya selepas bersara, Shukri berkata,
beliau belum ada sebarang perancangan namun matlamatnya sudah tercapai dan
beliau tidak akan kembali kepada SPRM lagi.
“Saya ada terima beberapa tawaran tetapi belum putuskan.
Saya mungkin jadi pesara sepenuh masa. Sekarang saya akan fokus selesaikan
tugas saya sehingga Oktober ini, masih ada banyak kerja yang perlu diselesaikan
sebelum bersara,” katanya.
2 comments:
masalahnya, ramai pertikai, kalau orang kerajaan cepat je kena dakwa, kena siasat....tapi bila kena pembangkang, lambat, delay dan macam2 lagi...tu yang buat orang marah...tu belum lagi SPRM sendiri seperti bias pada pihak2 tertentu seperti pembangkang...sebab tu orang kata macam2...
Sendiwara dunia kata p ramlee
Post a Comment