Tuesday, May 31, 2016

Laporan SPRM: Hubungan Azmin-Wan Azizah Mungkin Retak


Tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli membuat laporan mengenai dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor yang diterajui oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Azmin Ali berkemungkinan besar menyebabkan parti itu berdepan ancaman perpecahan.

Perselisihan dalam parti yang menyaksikan Azmin berada di satu pihak dan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pihak yang lain sudah menjadi rahsia terbuka sebelum perkembangan terbaru ini.

Rafizi memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Malaysia sekitar tengah hari semalam untuk mengemukakan maklumat mengenai individu tertentu, yang tidak dinamakannya, berhubung kerajaan negeri yang didakwa berurusan dengan rasuah.

Beliau tiba diiringi Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, Anggota Parlimen Kapar G. Manivannan dan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya tidak boleh dedahkan butirannya pada masa ini. Satu-satunya harapan saya ialah biarlah SPRM menjalankan siasatannya tanpa diganggu politik dan pelbagai persepsi lain. Anggaplah ini sebagai perkara biasa. Kalau ada asas, mereka (SPRM) teruskan (siasatan). Kalau ada maklumat, boleh serahkan kepada SPRM," katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat SPRM berkenaan.

Dalam mesyuarat Biro Politik PKR pada 24 Mei lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta Rafizi mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan rasuah kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.

Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Rafizi yang didakwa mendedahkan wujud permintaan 'untuk mendapatkan wanita' sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.

Rafizi dalam perbualan itu didakwa mengatakan menerima aduan bahawa selain wang yang diminta untuk berurusan dengan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan bagi mendapatkan wanita.
Rafizi turut mengemukakan maklumat dan bukti berhubung salah laku pentadbiran kerajaan negeri Selangor serta individu-individu yang didakwanya terlibat.

Dakwaan itu pertama kali muncul dalam mesej kumpulan WhatsApp ahli PKR yang kemudiannya bocor ke pengetahuan umum.

Rafizi kemudian mengesahkan bahawa dia telah menulis mesej tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 20 Mei mengenai dakwaan Rafizi itu, Azmin telah mengecam dakwaan itu, menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan bukti.

Tuduhan itu katanya merupakan sebahagian daripada kempen terancang untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Pada Isnin, Menteri Besar Selangor tidak menghadiri beberapa majlis yang dijadualkan dan enggan memberikan kenyataan sebagai respons kepada langkah terbaru Rafizi yang melaporkan dakwaan rasuah kepada SPRM.

Dr Wan Azizah, orang yang dilihat sejajar dengan Rafizi telah mengarahkan beliau untuk mengemukakan sebarang bukti dakwaan rasuah itu kepada SPRM.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (DAP) berkata sebarang perbalahan dalam parti itu tidak akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.
"Nampaknya perbalahan dalaman sebahagian besarnya adalah dalam PKR. Memandangkan Amanah bertanding di Sungai Besar, kesannya adalah kecil," katanya.

Rafizi sendiri enggan mengulas lanjut lanjut mengenai aduannya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa adalah 'jarang-jarang' untuk seorang pemimpin kanan parti membuat laporan terhadap ahli parti sendiri tetapi menegaskan bahawa 'ia sepatutnya dibuat dengan cara itu'.

No comments: