"Sejak CCF dilancarkan, terdapat kemajuan yang baik dalam memperkukuh usaha sama terbabit...Walaupun
pertukaran saham itu dibatalkan, usaha sama sejak lapan bulan lepas
telah merapatkan MAS dan AirAsia. Sepuluh tahun tanpa usaha sama dan
persaingan tidak perlu antara kami, sudah berakhir dan kami kini dapat
memberi tumpuan terhadap pasaran dan teras kecekapan kami." - Kamarudin Meranun
Betapa terbukanya kerajaan dalam menggendali dan menguruskan GLC.
Sah sudah, Khazanah Nasional Bhd dalam satu kenyataan lewat petang semalam (2 Mei 2012) mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd.
"Selepas lapan bulan membuat penilaian, pemegang saham bersilang menjejaskan usaha pengurusan untuk memulihkan MAS.
"Pemegangan saham bersilang itu berniat baik untuk menjajarkan kepentingan ekonomi pemegang saham utama MAS (Khazanah) dan AirAsia (Tune Air)," kata cabang pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan.
Setelah gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu, Khazanah berkata pihak terbabit bersetuju untuk menukar semula pemegang saham bersilang dan kembali kepada struktur asal pemegangan saham utama kedua-dua syarikat.
Pembatalan pertukaran saham akan menyaksikan Khazanah memindahkan 10 peratus atau 277,650,600 saham biasa AirAsia kembali kepada Tune Air, yang akan memindahkan pula 20.5 peratus atau 685,142,000 saham biasa dalam MAS kembali kepada Khazanah.
Transaksi ini akan dijalankan berasaskan kepada nisbah pertukaran 2.05 berasaskan harga pada masa pertukaran itu diumumkan pada Ogos 2011. MAS ketika itu RM1.60 sesaham dan AirAsia pada RM3.95. Tiada wang tunai bertukar tangan, kata cabang pelaburan kerajaan itu.
Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah MAS manakala Datuk Mohamed Azman Yahya meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah AirAsia.
Pada Ogos 2011, Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) diwujudkan bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.
Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan.
Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata bertetangan sesetengah laporan, CCF tidak menyebabkan atau menyumbang kepada kerugian yang diumumkan MAS baru-baru ini memandangkan kerugian itu sudah wujud sebelum CCF dilaksanakan.
"Begitu juga, kerajaan tiada pada bila-bila masa mengawal MAS menerusi pemegangan 49 peratus saham serta saham emas," katanya.
Selain itu, Khazanah memperoleh pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran umum mandatori ke atas baki saham dalam MAS.
Sementara itu, Pengarah Tune Air Kamarudin berkata sejak CCF dilancarkan, terdapat kemajuan yang baik dalam memperkukuh usaha sama terbabit.
"Walaupun pertukaran saham itu dibatalkan, usaha sama sejak lapan bulan lepas telah merapatkan MAS dan AirAsia. Sepuluh tahun tanpa usaha sama dan persaingan tidak perlu antara kami, sudah berakhir dan kami kini dapat memberi tumpuan terhadap pasaran dan teras kecekapan kami." katanya dalam kenyataan berasingan.
Susulan pengembalian semua perjanjian pertukaran saham itu, AirAsia, AirAsia X Sdn Bhd dan MAS, menjalin Perjanjian Usaha Sama Tambahan (SA) semalam untuk meneroka bidang kepentingan bersama bagi merealisasikan kecekapan dan penjimatan. SA akan memberi tumpuan kepada bidang khusus dan pada masa yang sama terus mematuhi semua undang-undang antikepercayaan berkaitan, kata AirAsia dalam kenyataan lain.
Pemeteraian SA ini juga merupakan sebahagian dariapda persediaan oleh tiga syarikat penerbangan terbesar Malaysia untuk memenuhi cabaran Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.
Menerusi SA, syarikat penerbangan itu mengenal pasti bidang utama kerjasama yang dapat menyumbang kepada kecekapan dan penjimatan kos kepada syarikat penerbangan berkenaan, yang antara lain termasuk pemerolehan, baik pulih komponen pesawat, inisiatif latihan dan kecekapan teknikal dan operasi.
Selain itu, syarikat penerbangan juga akan terus bekerjasama untuk mengenal pasti dan menilai peluang jalinan usaha sama dalam pelbagai bidang operasi dan strategik.
Bagi menggerakkan inisiatif kerjasama ini, ketiga-tiga pihak juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam dua bidang utama - pemerolehan bersama dan penyelenggaran, sokongan dan perkhidmatan baik pulih.
Tony berkata inisiatif pemerolehan antara syarikat penerbangan itu dijangkakan meningkatkan kecekapan dengan meneroka potensi penyumberan luar aktiviti pemerolehan dalam syarikat usaha sama milik bersama, dengan bidang utama yang akan diteroka termasuk barangan perbelanjaan tinggi seperti bahan api, insurans, teknologi maklumat dan komunikasi.
Bagi penyelenggaraan,sokongan dan baik pulih komponen pesawat, beliau berkata sayrikat penerbangan itu akan meneroka bersama-sama penubuhan syarikat usaha sama, termasuk mengenal pasti daya maju dan strukturnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata pemulihan perniagaan merupakan fokus utama syarikat, selain inisiatif bagi mengukuhkan lembaran imbangan dan operasi menerusi peningkatan produktiviti, perolehan dan menurunkan kos.
Beliau berkata usaha ini akan diterjemahkan kepada keputusan kewangan yang lebih baik.
"Usaha sama itu merupakan perubahan dalam pelan perniagaan untuk membangunkan perniagaan mampan pada masa depan.
"Kami akan terus memacu usaha sama ini dengan AirAsia dan AirAsia X memandangkan ia akan membolehkan MAS mengeksploitasi kelebihan potensi sinergi dan kecekapan.
"Cara menjadikan perniagaan kami lebih cekap sangat penting selain menurunkan kos," katanya.
(Bernama)
No comments:
Post a Comment