Friday, May 29, 2009

JANGAN AGUNGKAN PENJENAYAH KEJAM

Diperturunkan perturunkan dua pendapat disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini 29 Mei 2009.
Ia membabitkan keganasan Chen Peng dan apa sebenarnya perjuangannya.

Pendapat pertama oleh PUTRA HEIGHTS USJ bertasjuk: “Jangan agungkan Chin Peng” dan pendapat kedua oleh SHARUDIN ABDULLAH, Bandar Baru Bangi,Selangor bertajuk “Chin Peng Pengganas Kejam’.

Baca dan renungkan.

“JANGAN AGUNGKAN CHIN PENG”

SEBAGAI salah seorang wartawan Malaysia yang dihantar membuat liputan Majlis Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1 Disember 1989 di Hatyai Thailand, antara soalan yang saya masih ingat saya ajukan kepada Chin Peng ialah:

"Apakah saudara masih seorang Marxist-Leninist?" Chin Peng dengan wajah yang hampir-hampir tersenyum menoleh ke arah saya dan menjawab: ''Ya."
Chin Peng menambah: ''Kami hanya meletakkan senjata bukan membubarkan PKM ataupun fahaman komunisme.''
Itulah kata-kata Chin Peng yang tidak dapat saya lupakan sepanjang karier saya sebagai seorang wartawan yang berpeluang untuk membaca kisah hidupnya dalam buku sejarah, dan kemudian ditakdirkan juga berpeluang menatap wajah dan bersua muka dengannya secara berdepan pada sidang akhbar bersejarah itu 20 tahun lalu.
Atas alasan itu jugalah mengapa Chin Peng dan anggota PKM yang lain tidak dapat memenuhi salah satu daripada empat kerangka Perjanjian Damai tersebut kerana keengganan mereka untuk kembali dan melalui proses 'pemutihan' di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terlebih dahulu.

Sebabnya ialah seperti yang dilafazkan oleh Chin Peng, dia masih seorang berfahaman Marxist-Leninist. Chin Peng sanggup melepaskan perjuangan bersenjata ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak bersedia untuk menggugurkan fahaman yang dianutinya sejak sekian lama itu.

Marxism-Leninism secara 'basahannya' membawa maksud Bolshevism atau ringkasnya komunisme. Hakikatnya ialah sehingga Chin Peng membuat pengakuan terbuka bahawa dia tidak lagi mendokong fahaman tersebut, maka Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menerima semula kepulangan Setiausaha Agung PKM itu ke tanah air.

Malah jika sekalipun Chin Peng membuat pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang komunis, Chin Peng tidak boleh terlepas daripada melalui proses ditahan di bawah ISA.

Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjalani kehidupan bebas keluar masuk ke kedai kopi dan menghadiri forum itu dan ini serta menganjurkan majlis itu dan ini atas nama apa sekalipun.

Ini kerana kesan tindakan seperti itu akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terbanyak, apatah lagi kepada keluarga mangsa keganasan komunis yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan perajurit dan masyarakat awam tetapi juga masyarakat Melayu, Cina dan India serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kehadirannya semula di kalangan kita hanya akan membuka luka yang berdarah. Chin Peng sendiri harus menerima takdir yang tertulis ke atasnya kerana itulah jalan yang dia pilih. Dan betapa keengganannya menerima Perjanjian Damai di Baling pada tahun 1955 telah menjurus ke arah pertumpahan darah yang bukannya sedikit di kalangan perajurit kita dan juga masyarakat awam yang lain.

Generasi baru yang tidak melalui kesengsaraan kehilangan ahli keluarga kerana terkorban ditembak atau diserang hendap komunis, cuba menulis semula sejarah tanah air dengan mengagungkan anggota PKM dan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan negara melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku. Mereka perlu berasa malu dan menghentikan tindak-tanduk mereka itu.

Sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia yang menolak komunisme dan ahli keluarga para perajurit kita yang terkorban mempertahankan negara ini daripada ancaman subversif wajib bangun menyuarakan penolakan mereka terhadap gagasan membenarkan kepulangan Chin Peng.

Dalam konteks ini, saya memuji kenyataan berterus terang Naib Presiden Gerakan Malaysia, Mejar (K) Huan Cheng Guan bahawa saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, supaya Kerajaan Malaysia membenarkan kepulangan Chin Peng mestilah ditentang atas nama para perajurit tanah air yang terkorban kerana mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman PKM.

Saya mengenali Mejar (K) Huan secara peribadi. Hakikat bahawa bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga adalah bekas seorang anggota TUDM memperlihatkan betapa semangat patriotismenya yang menebal dan sensitivitinya sebagai seorang perajurit tulen.

Rakyat dan seluruh negara patut mendengar suara bekas perajurit negara seperti Mejar Huan, Kanang anak Langkau, Onjinin Christopher Jopinol, Amid Abdul Rahman dan ramai lagi yang mengorbankan diri mereka untuk mempertahankan negara dan juga untuk kesejahteraan kita semua daripada mendengar suara minoriti yang mendesak sebaliknya.


CHIN PENG PENGGANAS KEJAM

Saya sekadar ingin berkongsi polemik yang nampak kecil tetapi besar di mata rakyat biasa seperti saya. Isu membawa Chin Peng balik ke negara ini sebagaimana yang disarankan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan, baru-baru ini, adalah satu lagi bentuk dan sikap tidak bertanggungjawab rakyat yang melupakan sejarah negara yang didiaminya.

Sebenarnya, kalau bercerita mengenai komunis ini, masih segar rasanya peristiwa jiran saya di kampung yang putus kedua belah kakinya akibat penangan jerangkap samar. Pilu benar melihat jiran yang sebelumnya aktif, akhirnya terpaksa menjalani kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) lantaran perbuatan komunis durjana.

Komunis pada masa itu menjadi duri dalam daging negara. Tidak siapa menafikannya kecuali mereka yang bersimpati.

Di sekolah, guru kita mengajar mengenai kekejaman pengganas, mengenai Chin Peng dan gerila komunis yang dipimpinnya. Wujud rasa benci yang meluap-luap tatkala guru menerangkan bab demi bab mengenai komunis. Sejak sekian lama komunis ditunjuk sebagai anasir yang paling dibenci oleh semua rakyat di mana-mana.

Terlalu banyak jiwa yang melayang akibat perbuatan subversif komunis. Kasihan, ada di antara mangsanya yang hidup merana sepanjang hayat. Isteri terpaksa bergelut dengan kehidupan tanpa suami manakala anak-anak terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah berstatus 'anak yatim'. Dan, jika diputar kembali mesin masa, imbasilah kepada peristiwa hitam Bukit Kepong yang sungguh menyayat dan memilukan itu.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan supaya menayangkan kembali filem-filem genre patriotik seperti Bukit Kepong agar ditonton oleh generasi terkini Malaysia daripada semua peringkat keturunan.
Diharap nanti akan terbit rasa kesedaran terhadap kesan kemusnahan oleh pengganas komunis yang di ketuai Chin Peng pada masa lalu. Segarkan kembali semangat patriotisme yang telah semakin terhakis.

Seperkara lagi, saya menyeru kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meningkatkan pemeriksaan dan penelitian ke kedai-kedai buku ternama yang sejak sekian lama giat menjual buku-buku berunsur komunis. Lihat juga ke Central Market, Jalan Petaling dan Bukit Bintang yang begitu luar biasa aktifnya menjual baju-T yang memaparkan wajah Chin Peng atau pun simbol perjuangan mereka 'Bintang Tiga'.

Janganlah sampai anak-anak kita pula memakainya ketika bersolat Jumaat atau menghadiri majlis-majlis bercorak patriotisme!

Saya memohon kepada semua pihak agar tidak lagi membangkitkan isu untuk membawa Chin Peng masuk ke negara ini. Bagi saya dia adalah perosak dan pemusnah keharmonian negara yang kekal terpahat di jiwa rakyat di negara ini.

Dan, kalau kita terlupa, renunglah kembali siapa dalang di sebalik peristiwa 13 Mei 1969. Sedarlah bahawa Chin Peng bukan wira tetapi pengganas kejam yang telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah keharmonian bangsa Malaysia. Kepada pihak-pihak yang berwajib, pastikan Chin Peng tidak kembali.

Tuesday, May 26, 2009

AL-MA'UNAH DAN AL-ARQAM DIMUSNAH, HINDRAF KEBAL!

www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com (21 Mei, 2009)

Mengapa Hindraf(Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) atau (Hindu Rights Action Force) sebuah pertubuhan haram dibiarkan bertindak sewenang-wenangnya sedangkan kumpulan ini telah melanggar undang-undang negara selain mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan negara. Apa bezanya Hindraf dengan Al-Maunah dan Al-Arqam yang juga melanggar undang-undang negara dan mengancam keselamatan negara?

Mengapa Hindraf tidak diambil tindakan sedangkan kerajaan sanggup membunuh dan menyerang kumpulan Al Maunah serta menghapuskan Al-Arqam. Apakah tindakan kerajaan ini menunjukkan kerajaan 'double standard' dalam menjalankan undang-undang negara? Apakah kerajaan hanya berani mengambil tindakan kepada gerakan haram Islam sedangkan gerakan haram India/ Hindu, kerajaan letakkan di kelas yang berbeza?

Adakah kerana ia di dokong oleh sentimen melampau 5 orang peguam dan seorang eksekutif kanan syarikat swasta di Kuala Lumpur maka ianya kebal dari segi undang-undang malah lebih kebal daripada raja-raja Melayu. India/ Hindu ini tidak berpuashati tentang perobohan kuil-kuil yang tidak didaftarkan tumbuh macam cendawan.

Beberapa siri perobohan kuil Hindu terutama Kuil Mariaman di Padang Jawa, Selangor, pada 15 November 2007, menyemarakkan lagi perjuangan Hindraf yang mendakwa kerajaan Malaysia mengabaikan sosio-ekonomi masyarakat India.Dengan menggunakan sentimen agama dan perkauman, Hindraf mendakwa kaum India dan agama Hindu ditindas oleh kerajaan Malaysia yang dipimpin UMNO dan mendakwa berlaku genosid dengan memberi contoh lebih 100 orang India dibunuh semasa Peristiwa Kampung Medan.Propaganda mereka disebarkan melalui majlis forum, pengedaran buku dan risalah dalam bahasa Tamil, penggunaan laman web dan SMS bagi mendapatkan sokongan moral dan material daripada kaum India.

Kerajaan Malaysia pula mendakwa Hindraf turut menjadi dalang menentang pihak berkuasa tempatan yang hendak merobohkan kuil haram Hindu malah akan menggunakan gangster bagi menghalang perobohan kuil pada masa depan. Soalnya sekarang semua pusat ibadat sama ada masjid/surau, tokong atau kuil mesti mendapat kebenaran. Walaupun agama Islam sebagai agama rasmi negara tetapi pembinaan masjid atau surau tidak boleh dibina sesuka hati malah turut mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pokoknya sekarang adalah pelanggaran undang-undang.

Pada 30 Ogos 2007 Hindraf telah memfailkan saman di Mahkamah Keadilan Diraja di London terhadap kerajaan British kerana 'dosa-dosa' membawa warga negara India ke Malaysia sebagai buruh ladang getah dan dieksploit selama 150 tahun. Pekerja dari India ini dibawa masuk melalui Sistem Kangani dari tahun 1786 hingga 1957. Kerajaan British dituntut membayar 4 trilion Paun British (RM27.7 trilion) atau RM1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.

Faktor kedatangan mereka ke mari adalah berdasarkan faktor penolakkan di India dan faktor penarikkan di Tanah Melayu. Tidak ada paksaan untuk mereka dan tidak ada jemputan oleh penduduk asal negara ini. Mereka asalnya adalah pekerja tetapi akhirnya British meminta kepada pemimpin-pemimpin Melayu agar menerima mereka sebagai warganegara jika mahukan kemerdekaan. Mereka boleh balik ke India jika mereka mahu tetapi mereka yang merayu-rayu kepada British agar memberi hak kewarganegaraan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka kepada meningkatkan kekayaan Inggeris di tanah-tanah jajahan. Melayu tidak salah malah British juga tidak bersalah.
Pada 17 Ogos 2007, Hindraf telah mengemukakan memorandum 18 perkara kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung rasa tidak puas hati penganut Hindu terhadap kuil-kuil Hindu yang diberi notis seperti Kuil Malaimel Sri Selva Kaliamman di Pantai, Kuala Lumpur yang berusia 100 tahun, Kuil Sri Siva Balamuniswarar di Setapak, Kuil Sri Kumaravel di Kampung Medan, Petaling Jaya dan lain-lain. Bagi saya jikalau Masjid Negara atau Masjid Putrajaya dibina atas dasar sewenang-wenangnya di bina, maka kedua-dua masjid ini pun boleh diberi notis dan jika engkar tindakan meroboh boleh diambil.

Dakwaan berlakunya 'ethnic cleansing' di mana orang India dibunuh setiap hari oleh kerajaan ektremis Islam Malaysia adalah tidak benar. Pemimpin Hindraf terutama Waytha Moorthy Ponnusamy cuba melobi di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu , India, Britain dan Amerika Syarikat bagi menyokong mereka. Malahan Hindraf cuba mendapatkan bantuan dan sokongan dari pertubuhan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Sri Langka.

Hindraf juga mengutip dana daripada orang ramai bagi membiayai aktiviti mereka. Inilah orang yang tidak pernah bersyukur. Patutlah negara India susah hendak menikmati keamanan kerana memang perangai keturunan turun temurun. Pemimpin-pemimpin mereka pun ramai yang mati di bunuh.

Terbaru, Sebuah portal berita melaporkan Hindraf merancang mengadakan protes jalanan sekiranya arahan terhadap pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar untuk bertemu dengan Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak ditarik balik. Keputusan Majlis Peguam meluluskan usul agar Ketua Polis dan Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan adalah satu tindakan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pertubuhan dan ianya adalah satu cabaran kepada kerajaan.

Siapakah sebenarnya di belakang HINDRAF? Ahli politikkah? Benarkah HINDRAF mendapat sokongan padu daripada seluruh masyarakat India?. Kalau Al-Maunah dan Al-Arqam boleh diambil tindakan, mengapa pertubuhan haram HINDRAF ini diberi muka berlebih-lebihan. Apakah sebenarnya yang berlaku antara HINDRAF dan kerajaan?

Maka kenyataan akhbar Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),Datuk Ibrahim Ali bahawa tindak tanduk biadap HINDRAF jika tidak dihentikan segera boleh membawa masalah besar kepada negara perlu disokong oleh seluruh umat Melayu Islam.

Sunday, May 24, 2009

AKHIRNYA SIAPA BETUL?

Mingguan Malaysia (24 Mei 2009)

AKHIRNYA Dr. Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, kelmarin.
Berdasarkan keputusan sebulat suara panel tiga hakim iaitu Mohd. Raus Shariff, Zainun Ali dan Ahmad Maarop, pelantikan Zambry bagi menggantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu adalah betul.

Awang dan ramai lagi sejak dari awal yakin bahawa keputusan yang diambil oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah tepat dan bijaksana setelah Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Baginda yang berpengalaman luas sebagai hakim dan mahir dalam aspek perlembagaan, begitu objektif dalam pertimbangannya yang berpaksikan undang-undang.
Keputusan Sultan Azlan Shah melantik Zambry lebih ditafsir oleh pembangkang memihak kepada BN. Tetapi bagaimana pula keputusan baginda ketika menolak permohonan penubuhan kerajaan BN di Perak selepas pilihan raya umum lalu walaupun UMNO adalah parti yang mendapat kerusi terbanyak?

Ini kerana Sultan Azlan merasakan UMNO tidak mendapat sokongan majoriti jika DAP, PKR dan Pas membentuk pakatan dalam DUN. Keputusan baginda ketika itu dilihat memihak kepada pembangkang tetapi diterima baik oleh BN.

Apa pun Awang berharap semua pihak menghormati dan akur keputusan Mahkamah Rayuan. Kedua-dua pihak telah diberi peluang berhujah. Inilah masa rakyat menilai tingkah laku parti-parti politik. Mereka sudah bosan dengan politiking yang keterlaluan.

Keadilan bukan hanya milik pembangkang. Janganlah apabila hanya menang kes maka menyifatkannya sebagai kemenangan untuk rakyat dan apabila tewas, memperlekehkan mahkamah dan pihak yang menang.

Awang geleng kepala apabila Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang bakal hadapi satu lagi kes tuduhan liwat, mendakwa badan kehakiman kita sudah hancur sementara Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat menuduh BN tidak bermoral dan tak bertamadun. Pertanyaan Awang, bertamadunkah pihak yang tidak menerima keputusan mahkamah? Dalam kita berpolitik, janganlah sampai menjadi riak.

Pada Awang, keputusan mahkamah Jumaat lalu juga adalah tanda kejayaan kepada demokrasi. Tidak timbul soal membubarkan DUN kerana punca berlaku semua ini adalah atas masalah dalaman parti pembangkang sehingga tiga ADUN mereka keluar parti menjadi wakil bebas menyebabkan BN mendapat sokongan majoriti. Jika itu berlaku kepada kerajaan parti pembangkang, apakah mereka akan membubarkan DUN, yang jawapannya sudah tentu tidak.

Malah Anwar pernah menggerakkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi lompat parti bagi menguasai majoriti Dewan Rakyat (sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong) tanpa pun mahu pembubaran Parlimen. Nampaknya strategi makan tuan.

Kepada Nizar dan parti pembangkang Perak, segala-galanya belum berakhir, mereka boleh memberi tumpuan kepada PRU 13, yang tidaklah begitu lama lagi.

Jika mereka boleh berperanan secara tertib dan memenangi hati rakyat, peluang mereka tetap ada. Dengan kata lain, BN juga belum tentu selamat kedudukannya nanti.

Wednesday, May 20, 2009

DAP TAWAR MB KEPADA SAYA...

Oleh: HANAFIAH MAN (agendadaily.com)

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi meninggalkan PKR dan menjadi ADUN Bebas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan kononnya beliau telah ‘dibeli’.

Malah, tindakannnya itu juga dituduh sebagai cubaan untuk mendapat perlindungan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan dirinya daripada menghadapi tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Namun tuduhan-tuduhan yang berat itu sedikit pun tidak menjejaskan dirinya kerana pada hakikatnya beliau tahu apa yang berlaku.

Dalam temubual bersama Agendadaily beliau menceritakan secara terperinci bagaimana mainan politik dalaman PKR sehingga membawa kepada tindakan beliau dan ADUN Changkat Jering meninggalkan parti tersebut

SIRI KEDUA temubual ini berkisar kepada isu-isu yang berkaitan dengan ‘sepak terajang politik’ PKR serta tawaran kepada beliau untuk menjadi Menteri Besar Perak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Keputusan saya meninggalkan kerajaan pakatan pembangkang dulu bukan kerana habuan atau jawatan. Kalau itu yang saya mahu, saya dah jadi MB sama ada MB daripada parti PKR atau MB daripada DAP. Malah kalau saya gila sangat nak jawatan itu, masa keluar PKR dan sedia memberikan sokongan kepada BN, saya boleh kenakan syarat agar saya dipilih menjadi Menteri Besar.” ujarnya.

Kalau begitu kenapa YB membuat keputusan meninggalkan PKR selain daripada sebab-sebab yang telah YB bagi tahu (pada temubual siri pertama sebelum ini).

“Dalam PKR pun ada konspirasi untuk pinggirkan saya dengan Kapten Osman. Ia bermula daripada soal tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap saya dan Kapten Osman sehinggalah kepada peristiwa bila mana ADUN BN kawasan Bota, Datuk Nasharuddin sertai PKR.

Kononnya ada tiga lagi ADUN BN yang akan ikut sama. Mereka yang hendak masuk ini dijanjikan jawatan Exco.

Usaha ini dibuat kerana dengan tambahan empat kerusi daripada BN, kerusi pakatan akan bertambah kepada 35 dan BN tinggal 24 kerusi sahaja.

Jadi sebab itu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman sebagai ADUN dikeluarkan kerana mereka dah yakin ada majoriti lebih dengan kemasukkan empat ADUN BN ke dalam PKR. 35 kerusi jika ditolak dengan dua kerusi saya dan Kapten Osman mereka masih ada majoriti 33 kerusi.

Apakah ini merupakan mainan politik pimpinan PKR di peringkat negeri Perak untuk menyingkirkan beliau dan Kapten Osman?

Sebenarnya ini adalah mainan politik pimpinan PKR negeri Perak dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Kenapa saya kata begitu. Pada malam timbul isu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman telah diserahkan kepada ( Speaker Dewan Undangan Negeri) V. Sivakumar, kenapa Anwar pada malam itu tidak ambil inisiatif hubungi Sivakumar sebagai Speaker untuk jangan serahkan surat perletakan jawatan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam kes Arumugam di Bukit Selambau, kenapa Anwar boleh simpan dulu surat perletakan jawatan bagi cara jalan penyelesaian, Kenapa dalam kes kami sepatah pun dia tak cakap apa-apa.

Kenapa tak tunggu kami balik kerja. Maknanya Anwar setuju dengan tindakan ini kerana dia mempunyai perancangan, bagi kerusi Changkat Jering, Ketua Bahagian PKR , Ismail hendak dijadikan calon manakala di Behrang, Ketua Bahagian PKR Pasir Salak, Mustapa Kamil Ayub akan dicalonkan.

Ini cara mereka… buat rancangan nak dapatkan empat ADUN BN, kami berdua, saya dan Kapten Osman dikorbankan, dan orang ‘kesayangan’ Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil.

Malah Ismail pada malam kekecohan surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman dikeluarkan, Ismail telah mengadakan mesyuarat persiapan pilihan raya di Bukit Gantang dan mengumumkan bahawa beliau akan menjadi calon.

Sedangkan perkara itu belum pun sampai kepada SPR dan mereka seharusnya sedar akan ada proses undang-undang yang akan kita ambil. Langkah awal saya, saya hantar surat penafian kepada SPR, Istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa saya menafikan saya telah meletakkan jawatan. Sura itu sampai ke pejabat SPR jam 7.56 pagi, lebih awal daripada surat perletakan jawatan yang dihantar oleh Sivakumar.

Bagi saya Anwar jelas hendakkan orang-orang dia sahaja memegang jawatan.

Kenapa YB buat kesimpulan demikian

Taktik ini sama dengan apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin. Tak sabarkah mereka nak tunggu sehingga pilihan raya umum ke-13. Nak suruh cepat berhenti, mereka buat aduan rasuah terhadap Fairus, tapi kerana beliau tak tahan, letak jawatan dan akhirnya orang kepercayaan Anwar, Dr Mansor dinamakan sebagai calon untuk DUN Penanti.

Inilah yang mereka cuba lakukan kepada saya dengan Kapten Osman Jailu. Buat aduan rasuah dengan harapan saya dan Kapten Osman letak jawatan.

Isu rasuah ini bagaimana ceritanya kerana semasa kes ini berlaku ia dikatakan perancangan BN

Dalam soal rasuah ini, pada mulanya saya memang ingat ini semua perancangan BN hendak kenakan saya. Tapi melihat kepada apa yang berlaku kepada Fairus, saya penuh yakin ia adalah rancangan yang diatur oleh orang PKR sendiri.

Mana tidaknya, kes yang didakwa membabitkan saya berlaku apabila bekas ADUN Bota dari PKR dulu, Kapten Usaili Alias hubungi saya beritahu ada orang nak jumpa bincang pasal permohonan satu projek pembangunan di Bandar Baru Seri Iskandar. Ajak saya jumpa di Hotel Casuarina.

Saya minta mereka datang ke pejabat. Selepas jumpa orang itu letak sampul surat. Saya tanya sampul apa itu. Orang itu beritahu sumbangan RM5,000. Saya tanya sumbangan untuk siapa, dia kata untuk parti. Kalau untuk parti bukan kepada saya, sepatutnya kepada Usaili dan Usaili ambil sampul itu.

Memang jadi amalan saya, tetamu yang datang saya akan iring mereka sampai pintu keluar. Bila saya buka pintu saya dah nampak ada pegawai Pencegahan Rasuah dah tunggu di luar. Tapi mereka tidak pun ambil apa-apa tindakan ketika itu.

Esoknya barulah saya dihubungi diminta datang untuk beri keterangan.

Bila lihat apa yang berlaku kepada Fairus, saya mula sedar, inilah cara mereka untuk pastikan saya dan Kapten Osman boleh disingkirkan daripada memegang jawatan bagi membolehkan orang ‘kesayangan’ Anwar mengambil alih.

Tak ada makna kita jadi pemimpin kalau negeri ini kita gadai. Malah saya pernah tegur Nizar apakah hanya kerana kita hendak angkat Anwar jadi Perdana Menteri, kita nak gadai Perak kepada Cina. Kerana nak angkat seorang, kita gadai semua. Dia tak jawab apa-apaun pun.

Keputusan saya untuk meninggalkan pakatan ini demi untuk menjamin kepentingan Melayu, bukan soal kepentingan diri.

Tapi banyak tuduhan yang mengatakan YB dibeli dan dapat tawaran daripada BN

Biar saya jelaskan. Kalau untuk kepentingan diri, masa selepas pilihan raya dulu, saya antara nama yang disebut untuk menjadi MB.

Malah Anwar jumpa saya beritahu perkara yang sama. Saya sedar diri saya dan mungkin saya tidak layak. Tapi Anwar beritahu jangan bimbang, dia dah ada pasukan yang akan membantu saya menjalankan tugas sebagai MB.

Saya kata kepada Anwar, kalau itu yang Datuk Seri janjikan, saya terimalah tapi Datuk Seri kena tunaikan janji itu. Masa perbincangan mengenai isu MB itu kami bertiga ADUN PKR Melayu iaitu saya, ADUN Changkat Jering Kapten Osman Jailu dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri hadir.

Bukan itu sahaja, saya pernah menjadi ahli DAP pada tahun 1986 cawangan Tanjung Malim. Ngeh dan Nga jumpa saya minta saya aktifkan semula keahlian DAP dan mereka hendak meletakkan saya sebagai MB daripada parti DAP.

Alhamdulillah, perjuangan saya tidak dikaburkan dengan jawatan. Saya beritahu mereka saya ahli PKR kenapa pula saya nak masuk DAP. Saya bersyukur dengan keputusan yang saya buat pada ketika itu. kalau tidak, mungkin saya menjadi boneka mereka sahaja. - 20/5/2009

Monday, May 18, 2009

KEJOR ANWAR YOB KEJOR!

Maulana Arrif malaysiaaktif.com (17 Mei 2009)

Bayangkan jika berlaku senario ini. Tarikhnya 16 September 2008. Latar belakangnya semua orang tahu. Pelakon utamanya Anwar Ibrahim.

Anwar memujuk sebilangan Ahli Parlimen BN supaya berpaling tadah dan menyertai pakatan pembangkang. Apabila cukup angka yang dikehendaki bagi membolehkan `pakatan Anwar' membentuk kerajaan persekutuan, maka dibentuklah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Andainya ia berlaku, apakah reaksi para pemimpin BN ketika itu? Pastilah mereka riuh rendah di seluruh negara. Anwar dan pakatannya akan dituduh merampas kuasa dengan cara tidak bermoral. Malah BN akan mencabar `pakatan Anwar' supaya membubarkan Parlimen dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang sebenarnya layak memimpin negara.

Tidakkah senario itu sama sahaja dengan apa yang berlaku di Perak sekarang?

Cuma perbezaannya BN yang berada di tempat `pakatan Anwar'. Malangnya ramai orang yang sudah buta mata dan buta hati walaupun pada hakikatnya mata mereka celik dan tidak sedikit pun mengalami kekaburan. Mereka percaya kepada temberang Anwar dan suku-sakatnya.

Anwar memang cekap memutarbelit fakta dan amat pakar dalam mengabui mata dan hati manusia. Maka ramailah anak Adam sama ada di Perak dan lain-lain negeri yang sudah kena silap mata. Bukan setakat kena silap mata, malah ada yang kena pukau sehingga kelihatan seperti orang yang kena rasuk.

Salah seorang ialah Nizar Jamaluddin yang sekarang cukup ligat menonjolkan dan menguar-uarkan dirinya sebagai `wira rakyat'. Dialah yang paling ke depan dan paling lantang bersuara menyerang dan memburuk-burukkan BN dari segenap sudut. Pada hal partinya Pas hanya menang 6 kerusi DUN Perak dalam pilihan raya umum lalu, berbanding UMNO yang menang 28 kerusi.

Bagi saya, Nizar sudah hilang malu. Dia merasakan dirinya sudah cukup hebat, walaupun sebenarnya dia hanya berdiri tegak di atas platform DAP, parti yang sejak lama dulu amat memusuhi dan mencurigai Pas. Hanya sekarang sahaja Pas dan DAP berbaik-baik setelah termakan kelentong Anwar.

Pada masa yang sama, ada desas-desus dalam Pas yang mahukan Nizar bertanding jawatan Naib Presiden parti itu. Akhirnya beliau pun dicalonkan untuk bertanding jawatan tersebut dalam Muktamar Pas pada awal Jun ini. Kenapa tidak calonkan Nizar ke jawatan Timbalan Presiden? Melihat gelagatnya sekarang dan tindak-tanduknya dalam isu Perak, beliau memang layak bertanding Timbalan Presiden. Lebih layak daripada Husam Musa yang juga rapat dengan Anwar, sama seperti Nizar.

Setelah menyimpang sedikit ke hal Nizar, mari kita kembali ke isu sebenar di Perak. Apa yang UMNO dan BN lakukan di Perak sebenarnya tidak salah dari segi moral, lunas demokrasi dan undang-undang. Anwar sendiri cuba melakukannya di peringkat pusat, tapi gagal. Jadi apa salahnya UMNO dan BN `menampar' muka Anwar dengan taktik yang sama di Perak.

Sayang seribu kali sayang, terlalu banyak manusia di Malaysia yang dipukau oleh Anwar dengan tutur kata manisnya.

Nasib baik sebilangan besar Ahli Parlimen BN yang dipujuknya dulu tidak makan suap.

Salah seorang ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman yang kelmarin mendedahkan bahawa Anwar telah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri jika beliau sanggup meninggalkan BN. Takdirnya Anwar berjaya mendapatkan angka yang dikehendakki, benarkah Anifah akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Di mana pula beliau mahu campakkan Lim Kit Siang dan pemimpin Pas? Atau jika Anwar jadi Perdana Menteri akan wujud tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sebenarnya, jika berlaku angan-angan Mat Jenin pada 16 September 2008, Anifah tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri sebagaimana yang Anwar janjikan padanya. Beliau akan memberikan pelbagai alasan yang molok-molok dan gula-gula (sebagaimana yang diberikan kepada Fairus `Penanti' agar meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang) supaya melupakan jawatan tersebut buat sementara waktu. Anifah pun tahu Anwar kaki temberang, sebab itulah beliau tidak makan bujukan Anwar.

Kesimpulannya...yang kesimpulannya, apa salahnya BN mengambilalih kuasa pemerintahan negeri Perak dengan cara yang sama yang telah Anwar lakukan tapi gagal di peringkat pusat? Anehnya Anwar adalah orang pertama yang mengutuk Najib Tun Razak dan UMNO. Apa jenis manusia bernama Anwar bin Ibrahim ini? Dia boleh buat apa yang dia mahu buat, tapi bila orang lain buat apa yang dia buat, dia tidak suka dan marah ke sana sini. Macam inikah orang yang mahu jadi Perdana Menteri?

Sayang seribu kali sayang...ya sayang seribu kali sayang...masih ramai rakyat di Malaysia ini terutama orang Melayu yang masih percayakan Anwar. Kepada mereka saya katakan bahawa jika Allah s.w.t mahukan Anwar jadi PM Malaysia, sudah lama beliau berada di jawatan tersebut.

Monday, May 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?





Isnin Mei 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

ANWAR didakwa akan mencetuskan empat hingga lima pilihan raya kecil menjelang pilihan raya umum ke-13.
PETALING JAYA: Di tengah-tengah tanggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'penggerak' beberapa pilihan raya kecil sejak Ogos lalu, penganalisis meramalkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan 'mencetuskan' antara empat hingga lima pilihan raya kecil lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.
Malah, penganalisis berpendapat bahawa penstrukturan semula kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diumumkan Isnin lalu, kemungkinan merupakan antara strategi parti itu khususnya Anwar bagi menghadapi siri pilihan raya kecil.

Malah, Anwar yang juga Penasihat PKR dipercayai sudah mengambil langkah untuk membuka laluan bagi empat hingga lima pilihan raya kecil selepas ini.

Pilihan raya kecil keenam membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bahagian Permatang Pauh, yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya, diadakan hujung bulan ini.

Menjelaskan perkara ini, Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Anwar telah membentuk satu kepimpinan baru yang akan menjadi penggerak utama PKR bagi menghadapi satu demi satu pilihan raya kecil yang telah pun dirancangnya.

"Anwar dah tentukan pilihan raya kecil ini... beliau sudah tentukan di mana, tentukan cara peperangannya dan tentukan hasil pilihan raya itu.

"Saya jangkakan sebelum pilihan raya umum ke-13, akan ada empat hingga lima pilihan raya kecil lagi yang sudah pun dirancang oleh Anwar.

"Bila melihat senarai kepimpinan baru parti itu, maka itulah jagoan-jagoan PKR yang akan digunakan Anwar untuk menjayakan strategi itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan penstrukturan jawatan dalam PKR yang dikatakan bertujuan untuk memperkemaskan jentera, menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah bagi memperbaiki kelemahan, menjana kekuatan parti serta meningkatkan khidmat kapada rakyat.

Antara perubahan yang dilakukan adalah mewujudkan pasukan petugas yang dianggotai oleh semua Naib Presiden, diketuai Azmin Ali bagi memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diberikan semula peranan penting, Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya pusat.
Sehubungan itu, Mustafa percaya Anwar hanya merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan yang beliau yakin boleh peroleh kemenangan selese terutama di kawasan-kawasan yang kini sudah sedia diterajui PKR.

"Anwar hanya rancang (pilihan raya kecil) di kawasan yang mana dia yakin akan peroleh kemenangan lebih 70 peratus.

"Kalau kurang daripada itu, dia tidak akan berani. Dia hanya menumpukan terhadap kawasan yang dipegang oleh PKR... DAP dan PAS tidak akan buat begitu (rancang pilihan raya kecil)," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan siri pilihan raya kecil itu nanti bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada perbicaraan kes liwatnya Julai ini.

Selain itu, Mustafa berkata, siri pilihan raya kecil itu juga bertujuan untuk memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah mengalami empat kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"Anwar sengaja mengalihkan tumpuan Najib daripada menumpukan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat kerana sibuk dengan politik.

"Najib telah pun dapat baca strategi Anwar ini dan sebab itu, beliau berkata, BN mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan," katanya.

STRATEGI ATASI MASALAH DALAMAN

Pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruq mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, PKR sememangnya perlu kepada perubahan struktur dalaman parti memandangkan masalah yang dihadapi mereka.

"Pergeseran kumpulan tertentu dalam PKR telah menjejaskan imej parti dan pergeseran itulah yang membawa krisis dalaman contohnya isu (bekas ADUN Penanti) Mohammad Fairus (Khairuddin) yang mana ada kumpulan dalam PKR sendiri yang tidak berpuas hati dengan pencapaian beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

"Dalam politik ini, memang ada yang berkhidmat kepada parti secara sukarela tetapi ada juga yang mahu mendapatkan sesuatu habuan termasuk jawatan," katanya.

Jelas beliau, terdapat beberapa golongan dalam PKR yang mempunyai aliran yang berbeza sehingga membawa kepada ketidaksepakatan dalam parti itu.

"Mungkin dengan penstrukturan semula parti itu, hal ini dapat diatasi dan sedikit sebanyak akan memperkukuhkan lagi parti.

"Kesannya mungkin kita dapat lihat dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan jika ada pertandingan," katanya.

PKR TIDAK MANTAP

Sementara itu, pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perubahan itu wajar dilakukan memandangkan struktur PKR pada masa ini tidak begitu mantap.

"Masa pilihan raya umum 8 Mac lalu, PKR tidaklah kuat sangat. Mereka hanya letak calon bertanding untuk menang, bukan untuk memantapkan pentadbiran parti," katanya.
Ahmad Atory berkata, mengikut kajiannya, terdapat banyak bahagian PKR yang hanya mempunyai Ketua Bahagian tanpa ada struktur organisasi yang tersusun.

"Bahagian ada tapi hanya mempunyai ketua, sementara ahli-ahli yang lain tidak tentu hala.
"Selain itu, ada juga bahagian yang masih belum mempunyai cawangan.

"Kemungkinan dengan struktur yang baru ini, mereka boleh merancang struktur parti yang lebih mantap termasuk mendaftar cawangan-cawangan kerana kalau cawangan tidak berdaftar, bagaimana mereka mahu mengadakan mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, perubahan PKR itu adalah sejajar dengan perubahan kepimpinan Umno yang baru sahaja berlaku MAc lalu.

"Umno sudah bertukar (kepimpinan), jadi PKR pun perlu lakukannya. Pada Jun ini, PAS juga akan membuat perubahan kepimpinan dalam pemilihannya.

"Semua ini adalah satu persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti kerana semua parti pastinya 'bernafsu besar' untuk memenangi pilihan raya itu," katanya.