Friday, October 10, 2008

HINDRAF –ANWAR TIDAK BOLEH DIHARAP

Geger satu negara pasal tindak tanduk pertubuhan haram Hindu Rights Action Force(Hindraf).

Kerana itu memang wajar sekali jika kerajaan menggunakan Akta Pertubuhan 1966 untuk bertindak terhadapnya.

Rakyat pelbagai kaum semakin meluat dengan tindak-tanduk mereka dan terbaru menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata di Kuala Terengganu semalam, tindakan itu akan diambil dalam tempoh terdekat terhadap Hindraf sendiri, jawatankuasa penajanya mahupun anggota-anggotanya walaupun ia bukan merupakan satu pertubuhan yang berdaftar.

Hakikatnya Hindraf lansung tidak mengambil kira mereka pertubuhan yang tidak berdaftar (haram) dan kerana itu melalui akta itu, sama ada pertubuhan itu sah atau tidak sah, ia tetap boleh sebuah pertubuhan.
Jika ia tidak sah maka tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan bagi pertubuhan yang tidak sah sebaliknya jika ia pertubuhan yang sah, maka tindakan akan diambil di bawah peruntukan yang bersesuaian,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, beberapa ahli Parlimen membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan tindakan pertubuhan haram Hindraf pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet itu.
Kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Hindraf diketahui umum sebagai penyokong kuat kepada Anwar.

Sebenarnya bagi Anwar, dia akan melakukan apa sahaja bagi membela penyokongnya kerana pemimpin pembangkang itu sememangnya seorang yang terdesak.
Lebih memburukkan ketika diminta mengulas tentang kelakuan Hindraf yang dilihat keterlaluan kebelakangan ini, Anwar bukan sahaja mempertahankan pertubuhan haram itu sebaliknya menyalahkan pula Utusan Malaysia kerana membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penganut Hindu.

Tuduhan Anwar bahawa laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai tindak tanduk Hindu Rights Action Force (Hindraf) bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India, adalah tidak berasas.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, semua media yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet melaporkan kejadian yang sama termasuk akhbar-akhbar portal di Internet.
Sehubungan itu, jelas beliau, tidak wajar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menuduh laporan akhbar Utusan Malaysia sahaja bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India.

Pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, hubungan sosial antara kaum kini menjadi lebih kompleks apabila banyak tindakan melampau dilakukan oleh pihak tertentu.

''Kita perlu tanya Hindraf, apa lagi yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan? Pernah tak mereka terfikir tindakan mereka itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu," ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali percaya sekiranya Hindraf melakukan perkara yang serupa ketika Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, nasib pertubuhan itu pastinya berbeza.
Katanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mungkin akan menjadi orang pertama yang mengecam Hindraf di atas perbuatan pada sambutan hari raya yang lalu.
“Tetapi oleh kerana hari ini pertubuhan haram itu merupakan penyokong utama kepada Anwar, maka pertubuhan itu dipertahankan.
''Sebab itu, saya minta supaya masyarakat India termasuk parti politik kaum itu supaya tidak mengikut rentak Hindraf kerana pertubuhan itu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini,'' katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, tindakan Anwar mempertahankan Hindraf ternyata berlaku atas faktor politik semata-mata.
Katanya, malang sekali ada pula pemimpin Melayu yang terdesak boleh menyokong perbuatan itu hanya demi mengekalkan sokongan politik.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan Anwar terhadap tindakan Hindraf pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Anwar dari awal sanggup bersekongkol dengan pertubuhan yang telah memburukkan kerajaan di luar negara sebagai kerajaan yang melakukan pembersihan etnik.
“Mana perginya maruah kita kerana kumpulan ini yang menghina kerajaan kita yang ditunjangi kepimpinan Melayu Islam dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar sama sekali.
''Sebab itu, setakat sokong yang baru ini, saya memang tidak hairan, bukan kita tidak tahu Anwar ini macam mana orangnya,'' jelasnya.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Anwar tidak perlu membangkitkan sentimen perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan India.

Isu mengajak orang Melayu membenci orang India seperti yang didakwa Anwar tidak timbul kerana perbuatan Hindraf pada sambutan hari raya itu dapat dinilai semua pihak termasuk media.

Jangan kita mengancam perpaduan kaum hanya kerana desakan politik kita.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut meminta kerajaan bertegas dan segera mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang disifatkan sudah begitu ekstrem dan mencabar keamanan negara.
Presiden Gerakan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kerajaan bukan sahaja perlu memberi amaran malah tidak teragak- agak untuk menjatuhkan hukuman terhadap kumpulan Hindraf.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan (PPPP) berkata, lebih banyak kumpulan seumpama Hindraf akan muncul jika kerajaan tidak segera membendung pergerakan kumpulan yang berunsur sebegini.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya merasa sangat kesal terhadap tindakan Hindraf sekali gus merayu kerajaan tidak membiarkan sahaja kumpulan itu bergerak bebas sesuka hati mereka.

Tegasnya, kumpulan itu juga seharusnya dikenakan hukuman setimpal sama seperti beberapa pergerakan yang dikategori pelampau oleh kerajaan seperti Al-Arqam dan Al-Maunah.

No comments: