Tuesday, September 30, 2008

‘SEDEKAH SEKS’: APA PENDIRIAN ULAMA PAS, KEADILAN?

GEGER (riuh rendah) satu negara memperkatakan mengenai ‘sedekah seks”.

Namun peliknya, mana pergi ulama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Mana ulasan mereka?

Apakah perkara ini tidak penting atau kecil dan boleh dilupakan begitu sahaja?

Tidak dengar sepatah suarapun daripada mereka. Apakah apabila ‘terpercik air dari dulang ke muka sendiri’, mereka boleh buat-buat tidak tahu?

Mana ulasan dan apa pendirian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau juga Datuk Dr Haron Din?

Atau juga, mana ulasan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selalunya petah mengulas mengenai perkara-perkara berhubung Islam?
Bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan baru-baru ini dilaporkan mengeluarkan kenyataannya bahawa 'seks seperti menerima sedekah' dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Mengejutkan ialah ulasan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim yang mempertahankan kenyataan Zul Hassan sebagai sekadar satu 'kesilapan bahasa yang tidak disengajakan.'

Sejauh ini kita mendengar pendapat dua mufti iaitu Mufti Perak dan Mufti Perlis dan terbaru Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya menegur pelbagai pihak di negara ini agar tidak menyamakan perkataan yang berunsurkan kebaikan dengan perbuatan mungkar termasuk perkataan 'sedekah seks' bagi memastikan kemurnian beragama Islam terus terpelihara.

Beliau yang juga bekas Mufti Negeri Terengganu menyatakan dukacita sebab ada orang mempersendakan perkataan sedekah dengan perbuatan maksiat.

Beliau berpendapat, sedekah adalah amalan atau perbuatan yang amat digalakkan oleh Islam dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala daripada Allah.

''Bagaimanapun, perlakuan seks yang diharamkan adalah berdosa dan ditegah besar oleh Islam sebab ia berzina... mana boleh amalan baik disamakan dengan perkara mungkar,” tegasnya.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pada 24 September lalu meminta individu Islam jangan berperilaku seperti orang bodoh dengan menyamakan habuan seks seperti sedekah.

Tegas beliau, kenyataan seumpama itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama apatah lagi jika diungkapkan mereka yang terlibat dalam politik.

"Seks itu zina dan kita tidak boleh menyamakan benda yang haram dengan yang halal.
Jangan sampai terlalu bodoh membuat kenyataan seperti itu. Cukup bodohlah kalau hendak mempertahankan diri kita (dengan cara itu). Seseorang ahli politik yang berfikiran seperti itu tidak layak menjadi seorang pemimpin," katanya.

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pula menyifatkan kenyataan Zul satu penghinaan kepada amalan sedekah yang mulia.
"Saya sangat dukacita dia boleh menyamakan antara yang halal dan haram. Perkara yang jahat dan baik merupakan satu perbandingan yang begitu bercanggah dengan syariat Islam," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Roslan Mohd. Noor berkata, individu yang mengeluarkan kenyataan sedemikian mungkin tidak mempunyai latar belakang Islam sepenuhnya sehingga sanggup berkata sebegitu.

Sejauh ini nampaknya PKR hanya berani menyokong keputusan Kerajaan Negeri Perak untuk memecat Ahli Majlis Daerah Perak Tengah berkenaan ekoran kenyataannya yang mengaku terima habuan khidmat seks tetapi disifatkan sebagai "sedekah".
Menurut kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu Presiden PKR, kenyataan itu memperlekehkan usaha Pakatan Rakyat ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang menghormati kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, tindakan Kerajaan Negeri Perak yang pantas dan tegas dalam menangani isu ini memperlihatkan kesungguhan Pakatan Rakyat bagi memastikan pegawai kerajaan benar-benar berpegang pada etika dan moral, dan bukan sekadar cakap kosong.
Zul Hassan yang juga ahli PKR akan dihadap ke Jawatankuasa Disipin parti untuk menjelaskan kenyataannya yang menyamakan habuan seks dengan "sedekah".
Itukah sahaja yang mampu ditangani oleh PKR?
Apa pendapat rakan Pakatan Rakyat, PAS dalam isu ini? Selama PAS, termasuk Tok Guru Nik Aziz akan terus membisu?

No comments: