Monday, May 16, 2016

Perkemas Ketelusan Projek Elak Tragedi Tenggelam Berulang


Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.


Barangkali banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu kota, Khamis lalu, membuka mata pelbagai pihak mengenai natijah daripada kepincangan aspek pelaksanaan andai benar ia terpalit dengan rasuah. 

Pegangan bahawa wang berkuasa membuatkan segelintir pihak 'tutup sebelah mata' meskipun segala kekurangan seperti spesifikasi pembinaan, kualiti dan ketahanan terpampang ketika pemeriksaan akhir terbukti mengundang padah apabila ratusan rakyat terkandas dalam banjir.

Sebagai ikon kota metropolitan dan dilengkapi sistem pengairan berkeupayaan tinggi, tidak mungkin Kuala Lumpur 'tumbang' akibat penangan hujan tanpa henti selama sejam atau kira-kira dua kali ganda daripada taburan biasa seperti dijelaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Adakah keadaan akan lebih buruk sekiranya benar ramalan pakar alam sekitar bahawa La Nina yang menyebabkan taburan hujan melebihi paras normal melanda seluruh negara hujung tahun ini?

Jika sahih setiap pembinaan untuk sistem perparitan dan saliran ibu kota seindah di atas kertas projek, maka rakyat boleh menghela nafas lega kerana suhu Kuala Lumpur penghujung tahun mungkin sejuk dan sentiasa basah, tetapi bukan tenggelam.

Penilaian menyeluruh

Sebaiknya, penilaian menyeluruh perlu digerakkan mencakupi setiap rantaian pembinaan iaitu daripada peringkat pemberian tender kontrak sehingga sesebuah projek menerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.

Pemilihan syarikat kroni hakikatnya bakal mengundang padah kerana untuk 'mengenyangkan perut' semua pihak, kontraktor akhirnya terpaksa 'curi' sana sini sehingga saiz parit dikecilkan.

Jalan terbaik ialah kerajaan perlu memperkemas aspek ketelusan dalam pembinaan dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan berkala, malah penilaian projek bukan sekadar dilakukan selepas ia siap kerana ketika itu luarannya tampak cantik, tetapi sistem saliran di bawah tanah caca marba.

Sehubungan itu, arahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin perlu dilaksana dengan membawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengenal pangkat dan darjat kerana mengambil rasuah ke muka pengadilan.

Semua pihak, khususnya agensi pelaksana di setiap kementerian sewajarnya memandang arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam itu sebagai semboyan memerangi kepincangan mencatur pembangunan dek rasuah hingga menyusahkan rakyat.

Jangan hanya berdegar-degar membela nasib rakyat dengan menyiasat pihak yang terbabit untuk mengatasi banjir, tetapi akhirnya ratusan kereta bertukar menjadi perahu dan pemandu teksi tersadai di atas bumbung kenderaannya menepuk dahi memikirkan nasib keluarga.

Penulis ialah Presiden Transparency International Malaysia

Sunday, May 15, 2016

Banjir Kilat - Dakwaan Wujud Unsur Rasuah, DBKL Sedia Bekerjasama


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd NajibMohd berkata, pihaknya tiada masalah dalam memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kami juga akan semak di pihak kami (DBKL), kebenarannya saya pun kurang pasti sebab perkara itu melibatkan banyak pihak seperti kontraktor projek binaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara 'KL Tower International Towerthon Challenge2016' di Kuala Lumpur Hari ini (15 Mei 2015)

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara sehingga menyebabkan banjir kilat.


Semalam Dr Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak berlaku lagi. Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

"Mungkin ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Saya akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, semalam.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, sehingga kini, DBKL masih mengumpul maklumat berkaitan infrastruktur dan tindakan efisien yang boleh dilakukan bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

"Untuk tindakan jangka masa pendek, kami akan mempertingkatkan komunikasi antara bilik gerakan dengan kakitangan di lapangan, sekurang-kurangnya kami berada dalam keadaan bersiap sedia apabila berdepan dengan masalah ini," katanya.

Beliau berkata terdapat lima lokasi yang dikenal pasti sebagai kerap banjir iaitu di Jalan Duta, Bangsar, Bank Negara, Bukit Tunku dan Cheras.

Katanya, esok DBKL akan menyerahkan laporan berhubung isu banjir kilat kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Wednesday, May 11, 2016

TMJ - FAM Sepatutnya Tegas, Jangan Bagi Muka Kepada Bekas Perasuah


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya tegas dengan pendirian asal dan tidak memberi muka kepada bekas pemain yang pernah disabitkan dengan gejala rasuah.

Menurut beliau, bola sepak negara kini sudah mula menuju kancah kegemilangan tetapi tindakan memberi pengampunan kepada pesalah tersebut seolah-olah membenarkan gejala rasuah bertapak semula dalam sukan ini.

Malah katanya, tindakan itu menyebabkan pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut kerana yakin mampu mendapatkan pengampunan suatu masa nanti.

"Adakah FAM mengambil kira akan kesan masa panjang terhadap bola sepak tanah air kerana sekiranya gejala rasuah dianggap mudah untuk diberi pengampunan.

"Bagaimanakah ianya akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baru?," soalnya menerusi satu kenyataan di laman FacebookJohor Southern Tiger semalam.

Pada Isnin (9 Mei), memberi pengampunan kepada 78 pemain yang digantung akibat kesalahan menjual perlawanan pada tahun 1994 dan 1995.

Antara nama-nama besar yang terpalit dengan skandal ini adalah Matlan Marjan , Azizol Abu Haniffah, Faridzuan Che Hamid, Karim Pin, P Ravindran dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri AfandiHamzah menjelaskan rayuan enam lagi pemain belum dapat diluluskan oleh badan induk bola sepak negara itu berikutan mereka berdepan dengan hukuman seumur hidup.

“Jawatankuasa Integriti FAM sudah membentangkan laporan mesyuarat yang berkait dengan permohonan rayuan 84 bekas pemain. Setelah mende­ngar pembenta­ngan Jawatankuasa Integriti kami memutuskan untuk menerima rayuan pemain berkenaan.

“Mereka dibenarkan terlibat bukan sahaja di peringkat negeri, malah kebangsaan atau dalam mana-mana program bola sepak anjuran FAM. Bagaimanapun daripada 84 pemain, enam daripadanya berdepan penggantungan seumur hidup.

“Bagi enam pemain ini kita akan rujuk lebih lanjut status mereka sebelum membuat keputusan,” katanya selepas mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM Isnin lalu.

Afandi berkata, sebelum ini separuh daripada pemain itu sudah diberi pelepasan untuk kembali aktif, namun hanya di peringkat negeri dan tidak boleh terlibat dengan aktiviti FAM.

“Keputusan ini dibuat selepas kami mendapatkan pandangan dan hitam putih daripada semua pihak seperti FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah), AFC (Konfe­derasi Bola Sepak Asia), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Mereka dikenakan tindakan pada 1994 dan 1995 jadi sudah lebih 20 tahun, manakala enam lagi pemain yang berdepan hukuman seumur hidup kita kena kaji apa yang kita boleh bantu. Lima daripada 78 pemain pula sudah meninggal dunia,” katanya lagi.


Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kedah (KEFA), Mohd. Faridzul Kassim berkata, keputusan tersebut membuktikan FAM masih prihatin dengan nasib pemain bola sepak yang pernah dihukum akibat terlibat dengan rasuah, malah berterima kasih kepada badan induk bola sepak negeri itu.

“Terima kasih kepada Exco FAM kerana sedia memaafkan bekas pemain yang terlibat. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang turut membantu kami.

“Kami sudah mengadakan program pencarian bakat baharu bermula tahun lepas dan ahli FAM pada Isnin memberi pengampunan kepada 78 pemain yang digantung akibat kesalahan menjual perlawanan pada tahun 1994 dan 1995.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata bekas pemain tersebut dibenarkan terlibat bukan sahaja di peringkat negeri, malah kebangsaan atau dalam mana-mana program bola sepak anjuran FAM.

Keputusan itu dibuat selepas FAM mendapatkan pandangan dan hitam putih daripada semua pihak seperti FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah), AFC (Konfe­derasi Bola Sepak Asia), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

Tunku Ismail berkata pemain yang terjebak dengan rasuah akan memburukkan keadaan tetapi tiada kata-kata dapat diungkapkan lebih-lebih lagi jika ia diamalkan secara terbuka.


"Terjebak dengan rasuah sudah cukup memburukkan keadaan tetapi rasuah secara terbuka tidak ada kata-kata untuk dikatakan," katanya.