Friday, October 10, 2008

HINDRAF –ANWAR TIDAK BOLEH DIHARAP

Geger satu negara pasal tindak tanduk pertubuhan haram Hindu Rights Action Force(Hindraf).

Kerana itu memang wajar sekali jika kerajaan menggunakan Akta Pertubuhan 1966 untuk bertindak terhadapnya.

Rakyat pelbagai kaum semakin meluat dengan tindak-tanduk mereka dan terbaru menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata di Kuala Terengganu semalam, tindakan itu akan diambil dalam tempoh terdekat terhadap Hindraf sendiri, jawatankuasa penajanya mahupun anggota-anggotanya walaupun ia bukan merupakan satu pertubuhan yang berdaftar.

Hakikatnya Hindraf lansung tidak mengambil kira mereka pertubuhan yang tidak berdaftar (haram) dan kerana itu melalui akta itu, sama ada pertubuhan itu sah atau tidak sah, ia tetap boleh sebuah pertubuhan.
Jika ia tidak sah maka tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan bagi pertubuhan yang tidak sah sebaliknya jika ia pertubuhan yang sah, maka tindakan akan diambil di bawah peruntukan yang bersesuaian,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, beberapa ahli Parlimen membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan tindakan pertubuhan haram Hindraf pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet itu.
Kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Hindraf diketahui umum sebagai penyokong kuat kepada Anwar.

Sebenarnya bagi Anwar, dia akan melakukan apa sahaja bagi membela penyokongnya kerana pemimpin pembangkang itu sememangnya seorang yang terdesak.
Lebih memburukkan ketika diminta mengulas tentang kelakuan Hindraf yang dilihat keterlaluan kebelakangan ini, Anwar bukan sahaja mempertahankan pertubuhan haram itu sebaliknya menyalahkan pula Utusan Malaysia kerana membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penganut Hindu.

Tuduhan Anwar bahawa laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai tindak tanduk Hindu Rights Action Force (Hindraf) bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India, adalah tidak berasas.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, semua media yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet melaporkan kejadian yang sama termasuk akhbar-akhbar portal di Internet.
Sehubungan itu, jelas beliau, tidak wajar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menuduh laporan akhbar Utusan Malaysia sahaja bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India.

Pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, hubungan sosial antara kaum kini menjadi lebih kompleks apabila banyak tindakan melampau dilakukan oleh pihak tertentu.

''Kita perlu tanya Hindraf, apa lagi yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan? Pernah tak mereka terfikir tindakan mereka itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu," ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali percaya sekiranya Hindraf melakukan perkara yang serupa ketika Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, nasib pertubuhan itu pastinya berbeza.
Katanya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mungkin akan menjadi orang pertama yang mengecam Hindraf di atas perbuatan pada sambutan hari raya yang lalu.
“Tetapi oleh kerana hari ini pertubuhan haram itu merupakan penyokong utama kepada Anwar, maka pertubuhan itu dipertahankan.
''Sebab itu, saya minta supaya masyarakat India termasuk parti politik kaum itu supaya tidak mengikut rentak Hindraf kerana pertubuhan itu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini,'' katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, tindakan Anwar mempertahankan Hindraf ternyata berlaku atas faktor politik semata-mata.
Katanya, malang sekali ada pula pemimpin Melayu yang terdesak boleh menyokong perbuatan itu hanya demi mengekalkan sokongan politik.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan Anwar terhadap tindakan Hindraf pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Anwar dari awal sanggup bersekongkol dengan pertubuhan yang telah memburukkan kerajaan di luar negara sebagai kerajaan yang melakukan pembersihan etnik.
“Mana perginya maruah kita kerana kumpulan ini yang menghina kerajaan kita yang ditunjangi kepimpinan Melayu Islam dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar sama sekali.
''Sebab itu, setakat sokong yang baru ini, saya memang tidak hairan, bukan kita tidak tahu Anwar ini macam mana orangnya,'' jelasnya.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Anwar tidak perlu membangkitkan sentimen perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan India.

Isu mengajak orang Melayu membenci orang India seperti yang didakwa Anwar tidak timbul kerana perbuatan Hindraf pada sambutan hari raya itu dapat dinilai semua pihak termasuk media.

Jangan kita mengancam perpaduan kaum hanya kerana desakan politik kita.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut meminta kerajaan bertegas dan segera mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang disifatkan sudah begitu ekstrem dan mencabar keamanan negara.
Presiden Gerakan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kerajaan bukan sahaja perlu memberi amaran malah tidak teragak- agak untuk menjatuhkan hukuman terhadap kumpulan Hindraf.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan (PPPP) berkata, lebih banyak kumpulan seumpama Hindraf akan muncul jika kerajaan tidak segera membendung pergerakan kumpulan yang berunsur sebegini.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya merasa sangat kesal terhadap tindakan Hindraf sekali gus merayu kerajaan tidak membiarkan sahaja kumpulan itu bergerak bebas sesuka hati mereka.

Tegasnya, kumpulan itu juga seharusnya dikenakan hukuman setimpal sama seperti beberapa pergerakan yang dikategori pelampau oleh kerajaan seperti Al-Arqam dan Al-Maunah.

Thursday, October 9, 2008

NAJIB JANGAN TERLALU YAKIN

Oleh Putera Gunung Tebu

Hari ini geger seluruh negara apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Ini sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

Saya ulangi selepas itu.
Perdana Menteri yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru pada pemilihan parti kira-kira enam bulan lagi mahu Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

Maka banyaklah komen. Pembangkang kata Abdullah bertanggungjawab. Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap akan kukuhkan kembali UMNO. Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Abdullah itu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, semua pihak yang terbabit dalam pentadbiran kerajaan harus terus saling membantu dalam menjalankan semua program yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya BN.

Malah, komen-komen mengatakan ini akan membuka ruang kepada Najib menjadi Perdana Menteri mulai Mac nanti. Betulkah?
Baca komen berikut untuk kita menilai semula pengumuman Abdullah semalam:
Komen 1 oleh blog http://hambali1.blogspot.com

ABDULLAH KHIANATI NAJIB?

Datuk Seri Mohd Najib Razak akan hanya akan dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.
Itupun kalau beliau menang jawatan Presiden UMNO.

Najib menerima jawatan bukan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman menyerahkan kepada ayahandanya, Tun Razak Hussein atau cara Allahyarham Tun Hussein Onn menyerahkannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Dr Mahathir menyerahkannya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Permainan apakah yang sedang berlaku sekarang? Bagaimana kalau ada yang mencabar Najib dan Najib kalah?
Seperti saya katakan sebelum ini, dalam tempoh enam bulan itu, antara sekarang dan Mac 2009, Abdullah akan terus berkuasa dalam suasana ‘tidak menentu’ penggantinya.

Di bawah sistem politik negara, presiden Umno secara automatik menjadi Perdana Menteri dan ketua BN, sementara timbalan presiden sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Persoalannya, ramai yang menunggu apa reaksi Tengku Razaleigh Hamzah seterusnya dan mungkin juga ada ‘kuda hitam’ bertanding menentang Najib kelak apabila Bahagian UMNO mula bersidang esok.

Umno bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat paling awal iaitu esok diikuti Cheras (Wilayah Persekutuan), Besut (Terengganu) dan Kimanis (Sabah) yang akan bermesyuarat Sabtu ini.

Sebanyak 24 lagi bahagian akan bermesyuarat Ahad ini, iaitu Pontian, Pasir Gudang, Mersing, Pagoh dan Batu Pahat, semuanya di Johor; Rasah, Jempol dan Jelebu (Negeri Sembilan); Shah Alam dan Subang (Selangor); Semporna, Silam, Kalabakan dan Kota Kinabalu (Sabah); Bukit Gelugor dan Tasek Gelugor (Pulau Pinang); Kuantan dan Rompin (Pahang); Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas dan Kampar (Perak).

Selepas itu pada 18 Oktober ialah Gelang Patah, Tebrau, Kemaman, Kuala Terengganu dan Raub, manakala pada 19 Oktober ialah Nibong Tebal, Bagan, Titiwangsa, Segambut, Bandar Tun Razak, Kepong, Kulai, Ledang, Bakri, Tanjung Piai, Bukit Katil, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Paya Besar.

Kalaupun menang sama ada melalui pertandingan pada Mac atau melalui pencalonan (jika mereka yang bercita-cita menentang Najib tidak cukup pencalonan), pastinya Najib akan dimalukan kerana mendapat penentangan, bukannya menerima jawatan dalam ‘dulang emas’ seperti yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.
Untuk pertama kalinya, jawatan Perdana Menteri terumbang-ambing kerana Abdullah tidak melakukan tradisi seperti Perdana Menteri sebelumnya yang menyerahkan kuasa secara mutlak.

Dengan meletakkan syarat mesti menang Presiden bermakna pertandingan tetap terbuka dan kelebihan Najib hanya kerana dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Ada pendapat mengatakan Abdullah sebenarnya tidak ikhlas dan ‘menyusahkan Najib’ setiap masa.

Bukankah lebih baik dan memudahkan Najib jika setelah membuat keputusan tidak bertanding Presiden UMNO Abdullah menyerahkan sahaja jawatan Perdana Menteri kepada Najib dan Abdullah boleh kekal Presiden UMNO hingga Mac.

Cara ini rasanya lebih ‘adil’ untuk Najib.
Jelas sekali Abdullah menggunakan sifat ‘tidak melawan tauke’ dan ‘sentiasa taat’ Najib dengan menyusahkan Najib setiap masa.

Benarlah kata-kata beberapa pemimpin UMNO bahawa Najib ‘budak baik’ dan mematuhi ketuanya.
Malah, Najib juga ‘tidak reti’ melawan dan mengambil peluang untuk melonjak cepat. Masalahnya sikap Najib ini dibimbangi akan memakan diri kerana sebetulnya inilah masanya untuk semua ahli UMNO menilai semula siapa patut menjadi Perdana Menteri

Komen 2 oleh Harakahdaily.

Antara Anwar dan Najib, siapa akan ke Seri Perdana?

Irwan Muhammad Zain
Wed | Oct 08, 08 | 8:47:38 pm MYT

Akhirnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac 2009 dan juga tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Keputusan Perdana Menteri itu diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di PWTC petang tadi.

Abdullah pada awalnya, dijadual melepaskan jawatan tertinggi Umno dan jawatan Perdana Menteri pada pertengahan 2010.

Namun akibat dari prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, beliau telah didesak agar segera meletak jawatan.

Keputusan Abdullah ini membolehkan Dato' Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki ke Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri enam bulan akan datang.

Mendiami Seri Perdana tentunya merupakan antara yang dimimpikan oleh Najib sejak lama dahulu. Dan hasrat itu makin membara tentunya bila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Pelan peralihan kuasa yang kini dipercepatkan ke Mac 2009, membolehkan Najib memegang jawatan Presiden Umno seterusnya diberikan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke tujuh.

Mimpi Najib ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan akan datang. Itu pun jika tiada berlaku sebarang halangan dalam tempoh enam bulan ini.

Tempoh enam bulan akan datang tentunya amat mendebarkan Najib kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tersebut untuk menghalang beliau dari mendiami kediaman rasmi Perdana Menteri.

Yang boleh menyekat mimpi Najib dari menjadi nyata adalah jika kerusi Presiden Umno dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang berhasrat bertanding jawatan tersebut pada Mac nanti.

Selain faktor kemenangan Ku Li, faktor pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat juga mampu membuatkan impian Najib terhalang.

Jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, bukan hanya impian mendiami Seri Perdana akan terkubur tetapi kemungkinan pelbagai lagi malapetaka akan menimpa bukan hanya Najib tetapi banyak lagi pemimpin Umno yang lain.

Pembentukan kerajaan baru ini amat tidak disenangi oleh pemimpin Umno biarpun ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan pemerintahan Umno-BN selama 51 tahun.

Biarpun pembentukan kerajaan baru tidak berlaku pada 16 September lalu - tarikh asal yang diumumkan oleh Anwar - tetapi bukan sedikit rakyat Malaysia yang berharap agar BN segera ditumbangkan.

Rakyat Malaysia yang tidak mampu berbelanja sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 utas jam tangan di Hong Kong menunggu dengan penuh sabar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.

Selain Najib, Anwar juga pasti berhasrat untuk berpindah ke kediaman bernilai ratusan juta ringgit itu. Jika tidak mendiami Seri Perdana sekalipun, Ketua umum Pakatan Rakyat itu sememangnya berhajat untuk memiliki pejabat di Putrajaya.

Biarpun ramai yang mengatakan hasrat Anwar dan Pakatan Rakyat mahu menubuh kerajaan baru sebagai sesuatu yang mustahil tetapi ahli parlimen Permatang Pauh tetap yakin BN akan tumbang dalam tempoh terdekat.

Keyakinan Anwar itu membuatkan ramai yang menunggu beliau membuktikan bahawa hasratnya itu bukanlah omongan kosong semata-mata.

Pak Lah serah kuasa...nasib KJ macam mana

Daripada Agendadaily

Ada analogi politik yang selalu dijaja oleh pencatur politik tidak berlesen yang menyebut, jika Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri, nasib politik menantunya Khairy Jamaluddin sudah tentu akan ‘kulluhum’ .

Bagi mereka, naiknya Khairy atau lebih popular dengan gelaran KJ dalam politik, bukan kerana sokongan tulen daripada akar umbi tetapi disebabkan beliau naik ‘lif’ sama dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kini analogi yang jadi bahan cerita politik itu semakin hampir untuk diuji kesahihannya. Berdasarkan pemahaman banyak pihak peralihan kuasa kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO akan berlangsung pada Mac 2009. Ini bermakna Pak Lah akan menjadi bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO selepas tarikh tersebut.

Persoalannya sekarang bukan Pak Lah tetapi macam mana dengan nasib politik KJ?

Itulah persoalan yang ditanya kepada KJ pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Rembau itu di Balai Raya Kampong Gadong hari Ahad.

Jawap beliau “selama ini saya berkhidmat selama empat tahun sebagai Naib Ketua Pemuda pun tidak pernah saya berkhidmat sebagai menantu Presiden atau pun Perdana Menteri”.

Sehubungan itu beliau berharap anggota Pergerakan Pemuda UMNO dapat menilai dan membuat pencalonan ke atas dirinya bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia berdasarkan rekod serta kekuatan dirinya sendiri.

Katanya, beliau menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO atas faktor kekuatan dirinya sendiri tanpa dipengaruhi oleh sebab-sebab lain.

Malah beliau yakin dan percaya, para perwakilan Pemuda UMNO tidak akan terpengaruh dengan soal peralihan kuasa dalam menentukan kepiminan Pemuda UMNO Malaysia.

"Saya akan terus dengan perancangan saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana daripada awal lagi saya ingin bertanding atas kekuatan diri saya dan berharap apa saja keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan parti (Presiden dan Timbalan Presiden) itu tidak akan ada pengaruh kepada apa yang menjadi pilihan 'orang muda' dalam parti.

“Saya mengadakan program dan pelbagai lagi perkara yang saya buat selama empat tahun ini atas diri saya sendiri dan perkara itu tidak akan berubah sama ada Presiden (adalah) Pak Lah atau pun Datuk Seri Najib. Saya akan terus dengan kerja saya sebagai pemimpin bagi generasi muda dalam UMNO," katanya.

Menurut Khairy, orang muda perlu memilih generasi mereka dan bukan atas sebab-sebab tertentu seperti pengaruh pucuk pimpinan dan lain-lain.

"Pemuda kena pilih untuk masa depan orang muda dalam parti. Saya yakin keputusan saya ini tidak akan berubah walau apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh Presiden,” tambahnya.

Khairy juga berharap, semua calon yang menawarkan diri bagi bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO agar sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia tanpa perlu mewujudkan regu atau gandingan.