Monday, February 20, 2017

Amaran SPRM - 'Seleweng Dana Rakyat, Jangan Harap Boleh Lari'


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyeleweng peruntukan disalurkan kerajaan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, mereka terlibat tidak sesekali terlepas daripada siasatan serta tangkapan SPRM.

Menurutnya, negara dan negeri perlu dipastikan ditadbir mengikut proses undang-undang tanpa adanya gejala rasuah dan salah guna kuasa. 

"Apa-apa peruntukan yang sepatutnya diterima rakyat bawahan perlu sampai dan kami akan melaksanakan tugas itu. Kita akan pastikan bahawa seluruh peruntukan bagi pembangunan negara dapat dilaksanakan.

"Jika ada aduan dan laporan daripada orang kampung kita akan jalankan siasatan serta tindakan undang-undang,"katanya dalam ucapan majlis perasmian surau An-Najah di Kampung Carok Kapas di Baling.


Menurutnya, SPRM akan menjalankan tugas sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Bila pihak kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, dengan izin Allah negara kita akan aman dan lebih makmur. Rakyat juga akan menikmati segala bentuk pembangunan yang sepatutnya mereka terima.

"Tolong doakan supaya ALLAH memberikan kekuatan  petunjuk, hidayah kepada kami. Tolong doakan Allah berikan perlindungan kepada SPRM dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas agar negara ini bebas rasuah,"katanya.

Terdahulu, Dzulkifli mengimamkan penduduk dan kakitangan SPRM dalam solat Zohor di Surau An-Najah Kampung Charok Kapas.

Beliau yang berucap di hadapan ratusan penduduk turut mengingatkan wakil rakyat di Baling bahawa tindakan tegas turut menanti mereka sekiranya terbukti terlibat dengan salah guna kuasa.

"Kita datang sini juga untuk beritahu sesuatu kepada wakil rakyat,  "senyum-senyum juga, kawan pun kawan juga", tetapi jika salah kami akan ambil tindakan,"katanya. 


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Adun Kupang, Datuk Harun Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zulkiflee Abd Rahman serta kakitangan Pejabat Parlimen Baling.

Menurut laman FB beliau, Program #ZiarahKasih SPRM itu dimulakan dengan lawatan saya ke  Madrasah Islahiah Diniah, Kg. Memali, Baling pada sebelah pagi.

Seterusnya, beliau  dan pegawai-pegawai SPRM ke Kg. Charok Kapas untuk meraikan kenduri bersama-sama penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan.

Beliau turut merasmikan surau angkat SPRM iaitu Surau An-Najah di kampung tersebut. Di akhir program, beliau menziarah anak-anak yatim dan miskin di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa.

Malah, Dzulkifli amat teruja  apabila dapat melihat suasana akrab warga SPRM dan rakyat.

Saturday, January 21, 2017

Timbalan Pengarah Urusan Iris Corp Kena Tahan Kes Projek E-Pasport


Timbalan Pengarah Urusan Iris Corporation Bhd, Datuk Hamdan Mohd Hassan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek e-pasport Republik Guinea.

Syarikat itu mengumumkan penahanan itu pada Jumaat kerana penyalahgunaan kuasa dan pembabitan dalam kegiatan rasuah dalam projek berkenaan untuk kerajaan republik itu.

Iris Corp menandatangani kontrak 15 tahun dengan kerajaan berkenaan untuk melaksanakan kemudahan e-pasport di negara itu.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama enam hari terhadap suspek untuk membantu siasatan.

"Sehingga siasatan selesai, Iris Corp ingin mengumumkan semua kuasa eksekutif Hamdan digantung dan tugas serta tanggungjawabnya sebagai pemangku CEO syarikat akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Operasi, Choong Choo Hock.

"Tahanan reman ke atas Hamdan tidak mempunyai sebarang implikasi terhadap kesahihan kontrak antara Iris dan kerajaan Republik Guinea atau kepada projek e-pasport itu," katanya.

Iris juga memberitahu, penahanan reman Hamdan juga tidak memberi kesan terhadap pendapatan dan aset syarikat.

Syarikat berkenaan juga sedia memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan kes itu.

Pemangku CEO, pengurus ditahan reman enam hari.

Semalam Utusan Malaysia juga melaporkan, seorang pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurus jualan antarabangsa sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) direman enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan ra­suah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Pemangku CEO direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Perintah reman bermula semalam sehingga 25 Januari depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 58 dan 36 tahun.

Pemangku CEO bergelar Datuk itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini kira-kira pukul 9 pagi bersama pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit.

Kedua-dua lelaki yang berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai terbabit dalam amalan rasuah dan me­nyalahgunakan kuasa berkaitan projek e-Pasport di Guinea antara 2013 dan 2015.

Menurut sumber, SPRM menyita sejumlah wang tunai membabitkan pelbagai mata wang termasuk dolar Singapura, Euro dan Afrika bernilai kira-kira RM270,000.
Selain itu, katanya beberapa dokumen berkaitan syarikat berkenaan yang berpang­kalan di Guinea turut dirampas selain SPRM turut merakam percakapan dan keterangan beberapa lagi individu.

Pemangku CEO itu ditahan di kediamannya di Tropica Indah Petaling Jaya, Selangor dalam satu operasi, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit ditahan di rumahnya di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.


Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Thursday, January 19, 2017

Rasuah RM3 Juta - Penolong Jurutera Kanan JKR Direman 7 Hari

Suspek ditahan di pejabatnya semalam.
Seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan wang bernilai RM3 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias pagi tadi.

Lelaki berusia 56 tahun itu dibawa ke pekarangan lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar di pukul 10.10 pagi dengan diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa keluar dari kompleks mahkamah itu kira-kira pukul 11 pagi.

SPRM menahan penjawat awam itu  di rumahnya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar pukul 11.30 pagi semalam selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Suspek ditahan oleh SPRM semalam.
Menurut sumber, SPRM  sudah merakamkan percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.

"Suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan sebut harga," katanya.

Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan bernilai RM650,000.

"SPRM juga dikatakan telah menyita fail yang ada kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016," katanya.

SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah diterima oleh suspek dan suspek dipercayai telah menerima wang suapan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga .

Menurut sumber lagi, SPRM telah menyita fail-fail sebut harga bagi projek kerja di Daerah Sik, Kedah pada 2016 ketika melakukan penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi.