Monday, June 29, 2009

TOLAK UMNO TERIMA DAP, TEPAT KE TIDAK TINDAKAN PAS?

Oleh Ramli Abdul Halim (Kapak Jangat)

Sama ada secara tergesa-gesa atau hasil timbang-sukat yang sangat teliti, keputusan telah pun dibuat oleh pimpinan PAS supaya dilupakan gagasan kerajaan perpaduan.

Maknanya sesiapa pun dimahukan agar jangan diungkit-ungkit lagi tentang perkara itu, PASti kerana keperluan politik, khususnya bagi keperluan parti politik PAS.

Tetapi adat mencari ilmu, apa yang tidak tahu tidak boleh dibiarkan dalam keadaan terus tidak tahu, yang meragukan tidak boleh terus dibiarkan begitu.

Sebaliknya kena ditanya, dikaji dan dicari sehingga diketemukan jawapan kepada apa yang diragukan walaupun memakan masa yang lama dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesulitan.

Kerana itulah kita dituntut belajar dari buaian hingga ke liang lahad bagi ilmu-ilmu berkaitan dengan hukum hakam serta amal ibadat dan pembinaan iman dan taqwa secara langsung.

Kita juga disuruh mencari ilmu walaupun hingga ke negeri Cina untuk ilmu-ilmu yang berkaitan dan yang menjadi keperluan hidup sejahtera di dunia yang kena diPAStikan pula selari dengan keperluan hidup sejahtera di akhirat.

Walaupun sudah berusia 53 tahun, mungkin kerana saya tidak berpeluang belajar hingga ke peringkat BA, apatah lagi MA, lebih-lebih lagi ke peringkat Ph D, saya masih ragu dan ingin tahu tentang apa yang saya tidak tahu dan yang saya ragu: kenapa PAS boleh menolak kerjasama dengan Umno uamg kononnya sekular tetapi boleh pula bekerjasama dengan DAP.

Saya yakin ramai di kalangan rakyat negara ini, termasuk pemimpin, ahli dan penyokong PAS juga (kecuali mereka yang banyak ilmu macam Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat) ingin tahu dan juga ragu berhubung perkara berkaitan dan perlu diberitahu atas nama tuntutan hukum hakam, bukannya menggunakan jaapan parti politik.

Ini adalah kerana walaupun Umno dianggap berparti politik dan berpolitik berpasakkan sekularisme, dalam kabinet ada menteri khas yang menjaga hal ehwal agama. Menteri yang dilantik pula tediri daripada tokoh yang ada ilmu dalam bidang keagamaan.

Jabatan dan agensi khas yang menjaga hal ehwal agama juga diwujudkan, malah siap dengan kompleks sendiri, bukannya menumpang di beranda, serambi atau kaki lima mana-mana bangunan jabatan atau agensi kerajaan yang lain bagi menunjukkan bahawa jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal Islam hamua pada tahap dan status asal ada sahaja.

Kerajaan Umno/BN tidak meletakkan jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal agama Islam pada tahap umpama melukut di tepi gantang di samping badan-badan seperti PERKIM diberi bantuan khusus untuk mengislamkan kalangan bukan Islam dan menjaga kebajikan mereka.

Di samping itu masjid dibina di mana-mana, membuktikan Umno tidak memisahkan diri dari agama, apatah lagi anti Islam. Orang Umno pun sembahyang dan mengadap ke arah kiblat yang sama dengan PAS serta membaca al-Quran dan Hadis yang serupa dengan yang dibaca oleh orang PAS.

Soal sembahyang dan segala macam amal ibadah orang Umno ditolak dan hanya sembahyang serta amal ibadat orang PAS sahaja diterima oleh Allah, bagi saya tidak ada manusia yang boleh tentukannya secara mutlak.

Kalau ada kepercaya itu, maka orang mempercayainya bagi saya tidak sempurna akidahnya, ianya dalam keadaan jahil dan menjadi tuntutan ke atas dirinya untuk belajar supaya dia ada ilmu mengenainya dan merdeka dari kejahilan.

MCA, MIC dan berbelas lagi parti-parti komponen BN yang berleaderkan Umno tidak pernah menunjukkan penentangan secara terbuka terhadap apa juga usaha untuk memelihara dan mengembangkan syiar Islam.

Sedangkan DAP berulangkali menegaskan apa jua usaha untuk mengislamisasikan pemerintahan negara ini akan ditentang. Jika PAS laksanakan pemerintahan Islam, DAP akan halang. Ada pemimpin besar DAP kata, kalau mahu laksanakan pemerintahan Islam, kena langkah mayat dia dulu.

Parti Keadilan Rakyat walaupun pemimpin utamanya orang Melayu beragama Islam tetapi keanggotaannya ibarat ketulan ayam yang disembelih secara halal digaul dengan ketulan daging ayam mampus dipulas tengkuk dan dimasak dalam satu periuk.

Yang saya mahu tahu kenapa PAS yang kononnya dipimpin, dianggotai dan disokong oleh mereka yang menjalani hidup berpandukan rujukan al-Quran dan Hadis serta sentiasa menggelongsori hidup bukan sahaja atas landasan Islam tetapi jugas atas rel iman dan taqwa, boleh menolak kerjasama dengan Umno/BN tetapi memilih kerjasama dengan DAP dan PKR.

Saya masih bertanya-tanya sendiri apakah bersekongkol dengan parti yang secara terang-terang menentang penubuhan negara dan pentadbiran Islam menumbangkan Kerajaan Pulau Pinang yang berleaderkan parti bukan orang Islam tetapi tidak menentang Islam secara terbuka lebih betul dengan tuntutan Islam dan dianggap lebih berpahala kepada PAS?

Saya menjadi tambah ragu sama ada tindakan PAS menolak gagasan kerajaan perpaduan bagi menjaga hati dan perasaan DAP + PKR itu memang tepat dan patut atau pimpinan parti itu secara di luar sedar telah terbabas serta tergelincir dari landasan dan rel yang sepatutnya apabila saya membaca tejemahan sebahagian dari ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lePASlah ia dari pertolongan Allah......."

Wali jamaknya adalah auliaa': bererti teman yang akrab (komponen dalam pakatan parti politik?), juga membawa maksud pemimpin, pelindung atau penolong.

Maknanya orang mu'min tidak boleh berketuakan orang kafir, tidak boleh dilindungi atau dibantu oleh orang kafir. Ertinya kalau dalam PR sama ada pada peringkat pakatan parti politik atau kerajaan yang dibentuk, orang mu'min tidak boleh berleader, berperdana-menterikan orang kafir.

Apakah PAS yakin bahawa dalam PR, parti itulah yang telah, sedang dan akan 'leader'kepada parti-parti dalam PR. Apabila impian menjadi kerajaan terealisasi nanti dengan izin-Nya, apakah pemimpin PAS boleh yakin yang tokoh dari parti itu yang akan jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kanan dan sebagainya di samping apakah anggota kabinet akan dimajoriti oleh tokoh PAS atau tokoh Melayu bergama Islam dari parti-parti komponen yang lain dalam PR atau pun sebaliknya?

Atau apakah langkah tolak Umno tetapi menerima DAP dan PKR itu kerana orang PAS merujuk kepada sambungan ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "..........kecuali kerana(siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka (orang kafir?).......".

Soalnya dalam Umno mampu untuk menjadikan umat Islam tidak kena takut kepada orang kafir, apa yang menakutkan PAS kalau tidak bekerjsama dengan DAP dan PKR sehingga boleh menolak kerjasama dengan Umno yang menyahut kerajaan perpaduan yang digagaskan pemimpin utama PAS yang kemudiannya ditolak oleh pemimpin PAS, termasuk penggagas sendiri.

Apakah tindakan PAS itu boleh terlepas dari amaran Allah pada penghujung ayat 28 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "....Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)Nya. Dan hanya pada Allah kembali (mu)"

Saya masih mencari ayat al-Quran dan Hadis untuk mendapat tahu apa yang saya mahu tahu dan bagi mendapatkan jawapan kepada apa yang saya ragukan berhubung dengan apa yang telah, sedang dan akan PAS lakukan.

Sebagai orang atas pagar, penilaian saya terhadap PAS atau Umno tidak akan serupa dengan penilaian pemimpin, ahli dan penyokong PAS atau Umno terhadap kedua-dua parti.

Saya khuatir PAS akan termasuk dalam jumlah mereka yang menyangka mereka sedang melakukan perbuatan (boleh juga disebut berparti politik, berpolitik) ahli syurga sedangkan sebenarnya mereka sedang melakukan perbuatan ahli neraka manakala pihak lawan pula yang dianggap melakukan kerja-kerja ahli neraka, sebenarnya melakukan perbuatan ahli syurga.

Sunday, June 28, 2009

KEMUNCULAN SULUNG DI PJS - EZAM DISAMBUT 'MERIAH' KAWAN DAN LAWAN

Sumber: mStar (Ahad Jun 28, 2009)

Mohamad Ezam Mohd. Nor muncul pada majlis umum anjuran Umno Petaling Jaya Selatan semalam - buat julung kali sejak kembali ke pangkuan Umno setahun lalu - disambut dengan 'meriah' bukan sahaja oleh bahagian itu, malah penyokong Pakatan Rakyat.

Ezam menyampaikan Ceramah Perdana Pertahan Amanah Bangsa dan Negara anjuran Umno Cawangan Makmur Setia sempena mesyuarat agung tahunan.

Ceramah itu diadakan selepas cawangan itu mengadakan mesyuarat tahunannya malam tadi.
Ezam yang merupakan Timbalan Ketua Umno Petaling Jaya Selatan ketika dipecat pada 1998, memulakan ceramahnya lebih sejam pada pukul 10 malam dengan menerima sorakan ahli-ahli Umno cawangan Makmur Setia seperti yang lazimnya diberikan kepada tetamu jemputan.

Pun begitu, Ezam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) - sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhadapan dengan jeritan sekumpulan kecil penyokong Pakatan Rakyat yang berdiri di luar kawasan Dewan Masyarakat Taman Sri Manja sepanjang ceramahnya.

Hadirin yang pada awalnya dipercayai sekitar 1,000 orang pada pukul 9.30 malam meningkat sekali ganda menjelang 11 malam.

Kumpulan kecil itu, dipercayai ahli PKR dan PAS, menjerit setiap kali Ezam menyentuh tentang masalah dan isu yang menyelubungi Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PKR dan PAS.

"Saya tidak kisah jeritan-jeritan di sana (di luar kawasan Dewan Masyarakat)... saya sudah lama di sini (di Bahagian Petaling Jaya Selatan)... Bahagian Petaling Jaya Selatan merupakan tempat saya memulakan perjuangan politik (dalam Umno)," kata Ezam yang berulang kali menegaskan, perjuangan beliau adalah kerana "prinsip" dan "kebenaran".

"Saya lawan, latih selama 10 tahun... kita pegang pada prinsip, perjuangan harus ada kebenaran, mesti ada kebenaran moral.

"Saya berjuang kerana prinsip, kerana kebenaran. Sebab itu saya berani bercakap," katanya yang menjelaskan sebab beliau keluar PKR setahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar penjara pada 2004.

Katanya, beliau mendapati Anwar sudah terkeluar daripada matlamat asas penubuhan PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Beliau juga menyentuh kes liwat kali kedua Anwar yang akan didengar di mahkamah bulan depan.

"Dua minggu lagi kita akan tengok kebenaran... dengar (perbicaraan) dan anda buat keadilan sendiri," kata Ezam yang turut menjawab apabila ada penyokong Pakatan Rakyat yang menjerit "mana kotak rahsia?."

Ezam yang telah menyentuh isu berkenaan banyak kali sebelum ini mengulangi bahawa "isu kotka kena tanya Anwar."

"Saya dah cakap di Bukit Gantang, di Permatang Pauh, di Kuala Terengganu (pilihan raya kecil sejak Ogos 2008) dan dalam program Hujah pasal isu kotak ini," katanya.

Oleh itu, tegas Ezam, soal kotak rahsia berkenaan perlu diajukan kepada Anwar yang didakwa menyimpannya.

Menyentuh tentang isu kerajaan perpaduan, Ezam berkata, PAS perlu menerima hakikat bahawa ia sebenarnya merupakan parti Melayu yang jumlah perwakilannya di Parlimen jauh lebih kecil berbanding dengan Umno.

Oleh itu, kata beliau, "mengambil kira perkiraan matematik biasa" adalah jelas Umno lebih kuat berbanding PAS.

Ketika ini, penyokong Pakatan Rakyat yang berada di luar Dewan Masyarakat menjawab "PAS lebih kuat".

"Ya, PAS kuat, ya PAS kuat, kena ditunggang DAP," katanya lagi.

Justeru katanya, PAS tidak seharusnya mengenakan syarat bahawa Umno perlu mengikut apa kehendaknya dalam membincangkan isu perpaduan orang Melayu.

Di sebalik isu kerajaan perpaduan, Ezam berkata, beliau sedia untuk menyertai PAS jika berjaya membuktikan bahawa ia merupakan parti utama dan dominan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana Umno dalam Barisan Nasional.

"Saya cabar PAS... buktikan ia parti utama, tunjang dan tonggak dalam Pakatan Rakyat... jika ya, esok saya boleh masuk PAS. Saya tahu mereka tidak boleh (buktikan)," katanya lagi.

Semasa ditemui selepas berceramah, Ezam berkata, tindakan penyokong Pakatan Rakyat itu menjerit dan mengejek "memperlihatkan sikap tidak matang mereka."

"Ini kali pertama saya berucap di sini (selepas kembali ke Umno). Memang mereka hendak menakut-nakutkan saya, mereka nak menghalang saya daripada bercakap... ia menunjukkan sikap tidak matang mereka," katanya.

Malam tadi, Umno Cawangan Makmur Setia melantik Ezam sebagai Ketua Penerangannya.
"Kemasukan saya disahkan dan saya dilantik sebagai Ketua Penerangan," katanya.

Ketika dipecat pada 1998, Ezam merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Umno yang akan meminda perlembagaannya Oktober ini perlu mengadakan pemilihan baru sebelum pilihan raya umum ke-13 bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia benar-benar serius dalam usaha menangani amalan politik wang.

Umno sudah mula mengambil langkah drastik ke arah itu, tetapi "tidak cukup setakat meminda perlembagaan" bagi memperkemaskan parti bagi mencapai matlamat menghapuskan gejala politik wang, kata Mohamad Ezam Mohd. Nor.

Ezam yang ditemu bual mStar Online sempena setahun selepas menyertai kembali Umno mengakui, Perhimpunan Agung Tahunan Khas akhir tahun ini "satu perkara drastik, yang signifikan diambil untuk melawan politik wang dalam parti."

"Ini mesti diperlihatkan (dalam bentuk pelaksanaan)," kata bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan itu.

"Kita mesti beri keyakinan, Umno mesti membuktikan bahawa sudah cukup masa untuk bercakap, sudah cukup masa untuk keluar dengan macam-macam slogan, macam-macam komitmen dan mungkin selepas ini pindaan (perlembagaan) akan dibuat.

"Itu bagi saya masih belum cukup dan ini waktu rakyat mahu melihat Umno benar-benar berubah dengan tindakan.

"Ia mesti dilakukan dengan perhimpunan yang bersih, dengan sistem yang baru (ditunjukkan) kepada rakyat," katanya lagi.

Thursday, June 25, 2009

ANWAR BUKAN "LEAD" TETAPI "MISLEAD"

anwarisme.blogspot.com

Datuk Seri Anwar Ibrahim terkenal sebagai pemimpin unggul dalam keadaan berpecah belah. Sebab itu beliau muncul sebagai tokoh popular pada 1970-an apabila wujud siri-siri demontrasi.

Kebolehan beliau untuk mempengaruhi kawan dan lawan serta bercakap mengikut khalayak merupakan satu kelebihan luar biasa.

Justeru cadangan agar UMNO memohon maaf kepada PAS merupakan agenda Anwar untuk menukar kedudukan. Jika sebelum ini Pakatan rakyat dilihat “defensive” dan teraba-raba dalam mencari posisi lantaran idea kerajaan perpaduan PAS, hari ini Anwar menukar posisi itu.

Dengan menyatakan UMNO perlu meminta maaf kepada PAS dahulu tentulah ini bermakna beliau menukar kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat. Sekarang ini bola dikaki UMNO pula.

Jika dulu PAS perlu membuat keputusan sama ada mahu duduk berbincang dengan UMNO atau tidak, hari ini Anwar cuba menukar kedudukan tersebut kepada UMNO.

Dengan meminta UMNO memohon maaf kepada PAS dahulu, Anwar cuba menarik sokongan PAS dan juga memberi dilema kepada UMNO. Beliau tahu sebagai parti politik dan parti pemerintah, UMNO tidak mungkin memohon maaf kerana implikasi undang-undang dan politik.

Adakah UMNO bersedia memohon maaf kepada PAS demi perpaduan Melayu dan Islam? Jika demikian apakah PAS juga bersedia memohon maaf kerana mengkafirkan UMNO, memecah belahkan rumah tangga, masjid dan perpaduan Islam atas nama agama? Semua ini akan dibangkitkan semula dan akhirnya tiada perbincangan antara UMNO dan PAS.

Dari segi politik, tindakan Anwar ini amat bijak. Ini memang pun kebolehan Anwar sejak dahulu lagi. Anwar tahu secara politik dan perundangan, UMNO tidak akan meminta maaf. Ini kerana dengan meminta maaf, UMNO perlu juga menyatakan kesalahan-kesalahannya.

Tentulah UMNO sebagai sebuah organisasi dan juga parti pemerintah sejak 1957 tidak boleh memohon maaf sewenang-wenangya.

Anwar bukan mahu permohonan maaf tersebut. Jika UMNO meminta maaf pun, Anwar akan meminta pula UMNO meneyenaraikan secara terperinci kesalahan-kesalahan UMNO. Pokok utamanya ialah Anwar tidak akan mahu melihat UMNO dan PAS duduk semeja kerana beliau akan hilang pengaruh dan kuasa.

Sejak di dalam UMNO dahulu Anwar tidak pernah mewujudkan jambatan dengan PAS. Ini kerana jika ada jambatan UMNO-PAS kemungkinan besar status quo beliau sebagai harapan kumpulan yang cenderung kepada Islam di negara ini seperti ABIM, PKPIM, JIM dan sebagainya akan hilang.

Anwar di kalangan lingkungan politik elit terkenal sebagai pemimpin yang berupaya mengawal dan menggunakan keadaan perpecahan dan persengketaan untuk mengukuhkan kedudukan beliau.

Beliau tidak berusaha mewujudkan hubungan UMNO - PAS tetapi beliau secara peribadi mewujudkan hubungan dengan pemimpin PAS dan juga NGO Islam.

Dengan ini beliau berjaya memberi satu situasi bahawa harapan orang Islam dan Melayu hanyalah kepada beliau kerana beliau berada di dalam kedudukan yang baik di dalam kerajaan ketika itu.

Beliau mengutuk dan menghentam PAS dalam kempen politik sehingga wujud kebencian di kalangan pengikut bawahan. Namun beliau juga bijak "membeli" pemimpin PAS dan NGO Islam serta Melayu bagi menyokong beliau secara sulit.

Sebab itu kita lihat dalam PAS dahulu hanya Mohd Sabu yang menghentam Anwar. Lain-lain tidak menghentam Anwar keterlaluan kerana mereka melihat Anwar sahaja harapan mereka untuk perjuangan Islam.

Anwar adalah pemimpin yang dinamik dari segi falsafah perjuangan. Beliau menjadi pejuang kemiskinan ketika isu kemiskinan menjadi perbualan rakyat.

Beliau kemudian menyertai UMNO apabila melihat Dr. Mahathir melakukan penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan dan sekaligus melemahkan UMNO. Anwar tidak menyertai PAS kerana beliau tahu dengan dasar-dasar yang dirangka oleh Dr. mahathir yang baru menjadi Perdana Menteri ketika itu, UMNO akan melebarkan pengaruhnya di kalangan orang Melayu.

Anwar masuk UMNO dan “hijacked” segala dasar-dasar pembaharuan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Pada 1987, Anwar antara orang yang merencana keadaan politik kacau bilau dan tidak stabil untuk meraih populariti politik dalam parti dan kerajaan. Akibat dari perencanaan itu Operasi Lalang (1987) dilancarkan dan Anwar yang ketika itu merupakan Menteri Pelajaran meraih populariti terbesar di kalangan orang Melayu.

Isu pendidikan kaum yang menjadi alat mencetuskan ketidakstabilan ketika itu dilakukan oleh Anwar untuk menyelamatkan dirinya sendiri yang berada dalam kem Tun Mahathir menentang kem Tengku Razalegh.

Beliau ketika itu dilihat sebagai punca kemunculan kem Ku Li - Musa dan ada kecenderungan untuk perwakilan UMNO mengenepikannya dalam pemilihan ketika itu.

Pada 1992, Anwar juga mewujudkan anarki dalam media massa dan UMNO untuk meletakkan orangnya. Ketika Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainuddin Maidin bercuti, konco-konco Anwar mewujudkan polemik anti bahasa Inggeris dengan menghentam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana berucap dan kemudian meminta diwawancara dalam bahasa Inggeris oleh TV Indonesia ketika Persidangan NAM 1992. Konco-konco Anwar mempergunakan anak saudara Mahathir, Samad Mahadi untuk menjatuhkan ZAM.

Melihat kekalutan dalam Utusan Melayu apabila Dr. Mahathir sendiri mengambil inisiatif menjawab tuduhan-tuduhan Utusan, Anwar mengambil kesempatan mengusulkan penukaran pengurusan Utusan.

Dr. Mahathir bersetuju dan Anwar diberi tanggungjawab. Berjayalah Anwar mengubah keadaan dengan membawa masuk lebih ramai konco-konconya ke dalam Utusan ketika itu.

Pada 1997 Anwar sekali lagi mengambil kesempatan dari masalah kewangan dunia dengan meningkatkan kadar faedah. Ini menimbulkan kemarahan ramai orang kepada kerajaan.

Kemarahan ini diikuti dengan "serangan" terhadap Tun Dr. Mahathir dengan isu kronisme, nepotisme melalui proksinya. Anwar juga memprojek diri sebagai pemimpin baru dalam kebangkitan Asia (Asian Rennaisance).

Malangnya Anwar gagal kali ini dan tercampak keluar dari hirarki kepeimpinan negara.

Pada 1998 beliau mula melancarkan mantera baru anti kronisme dan nepotisme. Mantera ini cukup berkesan kepada anak muda yang baru kenal sepak terajang politik. Kepada golongan yang arif politik mereka melihat mantera ini tidak lebih dari meludah ke langit dan tindakan menepuk air di dulang.

Apabila keluar dari penjara, Anwar membawa mantera baru kesamarataan, anti korupsi dan ketelusan. Ini juga mantera abad 21, mantera internet dan mantera baru kapitalis barat.

Anwar tidak akan peduli kepentingan Melayu mahu pun Islam. Melayu dan Islam akan dinyanyikan jika ia membawa faedah kepada beliau.

Hari ini kerana ramai kaum bukan Melayu yang menyokongnya maka beliau menyanyikan lagu-lagu "baru" meninggalkan perjuangan agama dan bangsa yang pernah beliau perkudakan suatu ketika nanti.

Memang benar kata Dr. Mohamad Khir Toyo dalam blognya, bahawa orang Melayu tidak akan bersatu selagi mendengar cakap Anwar.

Anwar adalah pemimpin politik kapitalis yang tulen dan unggul. Beliau boleh menjadi popular walau apapun mantera yang beliau gunakan kerana beliau peka kepada komunikasi semasa.

Dalam konteks ini, Anwar bukan memimpin rakyat tetapi membawa apa yang disukai rakyat biarpun ia mungkin merosakkan rakyat dalam masa akan datang.

Anwar bukan memimpin (lead) tetapi menyesatkan (mislead) masyarakat.