Monday, June 29, 2009

TOLAK UMNO TERIMA DAP, TEPAT KE TIDAK TINDAKAN PAS?

Oleh Ramli Abdul Halim (Kapak Jangat)

Sama ada secara tergesa-gesa atau hasil timbang-sukat yang sangat teliti, keputusan telah pun dibuat oleh pimpinan PAS supaya dilupakan gagasan kerajaan perpaduan.

Maknanya sesiapa pun dimahukan agar jangan diungkit-ungkit lagi tentang perkara itu, PASti kerana keperluan politik, khususnya bagi keperluan parti politik PAS.

Tetapi adat mencari ilmu, apa yang tidak tahu tidak boleh dibiarkan dalam keadaan terus tidak tahu, yang meragukan tidak boleh terus dibiarkan begitu.

Sebaliknya kena ditanya, dikaji dan dicari sehingga diketemukan jawapan kepada apa yang diragukan walaupun memakan masa yang lama dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesulitan.

Kerana itulah kita dituntut belajar dari buaian hingga ke liang lahad bagi ilmu-ilmu berkaitan dengan hukum hakam serta amal ibadat dan pembinaan iman dan taqwa secara langsung.

Kita juga disuruh mencari ilmu walaupun hingga ke negeri Cina untuk ilmu-ilmu yang berkaitan dan yang menjadi keperluan hidup sejahtera di dunia yang kena diPAStikan pula selari dengan keperluan hidup sejahtera di akhirat.

Walaupun sudah berusia 53 tahun, mungkin kerana saya tidak berpeluang belajar hingga ke peringkat BA, apatah lagi MA, lebih-lebih lagi ke peringkat Ph D, saya masih ragu dan ingin tahu tentang apa yang saya tidak tahu dan yang saya ragu: kenapa PAS boleh menolak kerjasama dengan Umno uamg kononnya sekular tetapi boleh pula bekerjasama dengan DAP.

Saya yakin ramai di kalangan rakyat negara ini, termasuk pemimpin, ahli dan penyokong PAS juga (kecuali mereka yang banyak ilmu macam Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat) ingin tahu dan juga ragu berhubung perkara berkaitan dan perlu diberitahu atas nama tuntutan hukum hakam, bukannya menggunakan jaapan parti politik.

Ini adalah kerana walaupun Umno dianggap berparti politik dan berpolitik berpasakkan sekularisme, dalam kabinet ada menteri khas yang menjaga hal ehwal agama. Menteri yang dilantik pula tediri daripada tokoh yang ada ilmu dalam bidang keagamaan.

Jabatan dan agensi khas yang menjaga hal ehwal agama juga diwujudkan, malah siap dengan kompleks sendiri, bukannya menumpang di beranda, serambi atau kaki lima mana-mana bangunan jabatan atau agensi kerajaan yang lain bagi menunjukkan bahawa jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal Islam hamua pada tahap dan status asal ada sahaja.

Kerajaan Umno/BN tidak meletakkan jabatan dan agensi yang menjaga hal ehwal agama Islam pada tahap umpama melukut di tepi gantang di samping badan-badan seperti PERKIM diberi bantuan khusus untuk mengislamkan kalangan bukan Islam dan menjaga kebajikan mereka.

Di samping itu masjid dibina di mana-mana, membuktikan Umno tidak memisahkan diri dari agama, apatah lagi anti Islam. Orang Umno pun sembahyang dan mengadap ke arah kiblat yang sama dengan PAS serta membaca al-Quran dan Hadis yang serupa dengan yang dibaca oleh orang PAS.

Soal sembahyang dan segala macam amal ibadah orang Umno ditolak dan hanya sembahyang serta amal ibadat orang PAS sahaja diterima oleh Allah, bagi saya tidak ada manusia yang boleh tentukannya secara mutlak.

Kalau ada kepercaya itu, maka orang mempercayainya bagi saya tidak sempurna akidahnya, ianya dalam keadaan jahil dan menjadi tuntutan ke atas dirinya untuk belajar supaya dia ada ilmu mengenainya dan merdeka dari kejahilan.

MCA, MIC dan berbelas lagi parti-parti komponen BN yang berleaderkan Umno tidak pernah menunjukkan penentangan secara terbuka terhadap apa juga usaha untuk memelihara dan mengembangkan syiar Islam.

Sedangkan DAP berulangkali menegaskan apa jua usaha untuk mengislamisasikan pemerintahan negara ini akan ditentang. Jika PAS laksanakan pemerintahan Islam, DAP akan halang. Ada pemimpin besar DAP kata, kalau mahu laksanakan pemerintahan Islam, kena langkah mayat dia dulu.

Parti Keadilan Rakyat walaupun pemimpin utamanya orang Melayu beragama Islam tetapi keanggotaannya ibarat ketulan ayam yang disembelih secara halal digaul dengan ketulan daging ayam mampus dipulas tengkuk dan dimasak dalam satu periuk.

Yang saya mahu tahu kenapa PAS yang kononnya dipimpin, dianggotai dan disokong oleh mereka yang menjalani hidup berpandukan rujukan al-Quran dan Hadis serta sentiasa menggelongsori hidup bukan sahaja atas landasan Islam tetapi jugas atas rel iman dan taqwa, boleh menolak kerjasama dengan Umno/BN tetapi memilih kerjasama dengan DAP dan PKR.

Saya masih bertanya-tanya sendiri apakah bersekongkol dengan parti yang secara terang-terang menentang penubuhan negara dan pentadbiran Islam menumbangkan Kerajaan Pulau Pinang yang berleaderkan parti bukan orang Islam tetapi tidak menentang Islam secara terbuka lebih betul dengan tuntutan Islam dan dianggap lebih berpahala kepada PAS?

Saya menjadi tambah ragu sama ada tindakan PAS menolak gagasan kerajaan perpaduan bagi menjaga hati dan perasaan DAP + PKR itu memang tepat dan patut atau pimpinan parti itu secara di luar sedar telah terbabas serta tergelincir dari landasan dan rel yang sepatutnya apabila saya membaca tejemahan sebahagian dari ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Janganlah orang-orang mu'min mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lePASlah ia dari pertolongan Allah......."

Wali jamaknya adalah auliaa': bererti teman yang akrab (komponen dalam pakatan parti politik?), juga membawa maksud pemimpin, pelindung atau penolong.

Maknanya orang mu'min tidak boleh berketuakan orang kafir, tidak boleh dilindungi atau dibantu oleh orang kafir. Ertinya kalau dalam PR sama ada pada peringkat pakatan parti politik atau kerajaan yang dibentuk, orang mu'min tidak boleh berleader, berperdana-menterikan orang kafir.

Apakah PAS yakin bahawa dalam PR, parti itulah yang telah, sedang dan akan 'leader'kepada parti-parti dalam PR. Apabila impian menjadi kerajaan terealisasi nanti dengan izin-Nya, apakah pemimpin PAS boleh yakin yang tokoh dari parti itu yang akan jadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri kanan dan sebagainya di samping apakah anggota kabinet akan dimajoriti oleh tokoh PAS atau tokoh Melayu bergama Islam dari parti-parti komponen yang lain dalam PR atau pun sebaliknya?

Atau apakah langkah tolak Umno tetapi menerima DAP dan PKR itu kerana orang PAS merujuk kepada sambungan ayat 28 Surah Ali 'Imran yang bermaksud: "..........kecuali kerana(siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka (orang kafir?).......".

Soalnya dalam Umno mampu untuk menjadikan umat Islam tidak kena takut kepada orang kafir, apa yang menakutkan PAS kalau tidak bekerjsama dengan DAP dan PKR sehingga boleh menolak kerjasama dengan Umno yang menyahut kerajaan perpaduan yang digagaskan pemimpin utama PAS yang kemudiannya ditolak oleh pemimpin PAS, termasuk penggagas sendiri.

Apakah tindakan PAS itu boleh terlepas dari amaran Allah pada penghujung ayat 28 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "....Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)Nya. Dan hanya pada Allah kembali (mu)"

Saya masih mencari ayat al-Quran dan Hadis untuk mendapat tahu apa yang saya mahu tahu dan bagi mendapatkan jawapan kepada apa yang saya ragukan berhubung dengan apa yang telah, sedang dan akan PAS lakukan.

Sebagai orang atas pagar, penilaian saya terhadap PAS atau Umno tidak akan serupa dengan penilaian pemimpin, ahli dan penyokong PAS atau Umno terhadap kedua-dua parti.

Saya khuatir PAS akan termasuk dalam jumlah mereka yang menyangka mereka sedang melakukan perbuatan (boleh juga disebut berparti politik, berpolitik) ahli syurga sedangkan sebenarnya mereka sedang melakukan perbuatan ahli neraka manakala pihak lawan pula yang dianggap melakukan kerja-kerja ahli neraka, sebenarnya melakukan perbuatan ahli syurga.

No comments: