Sunday, December 28, 2008

KE MANA HALUAN S MANIKAVASAGAM?

Keputusan keluar Parti Keadilan Rakyat adalah muktamad! Tetapi haluan mana yang dituju oleh Ahli Parlimen Kapar ini?

Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad.

Ia dianggap sebagai hadiah tahun baru kepada PKR. Kata Manikavasagam: “...kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya.”

Jelas sekali Manikavasagam sudah berkerat rotan dan bakal mengumumkan pendirian secara rasmi untuk keluar dari PKR sebelum Rabu ini. “Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad. Ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti,” kata Manikavasagam.

Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.

Manikavasagam, adalah antara antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

“Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). “Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya,” kata beliau.

Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat. Menurutnya, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan. Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.

“Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu,” katanya.

“Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain. Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Negeri, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.

Tuesday, December 16, 2008

JERIT – APA PULA SELEPAS INI...

Apakah yang dimahukan oleh Jerit?

Mahu apakah kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Jerit ini? Siapa yang tertindas?
Benarkah ada masyarakat di Malaysia yang tertindas?

Maaflah, Jerit tidak dianggotai oleh pelbagai kaum dan apabila gambar-gambar yang disiarkan hanya menunjukkan satu kaum sahaja, persepsi terhadap Jerit akan pelbagai.

Dalam konteks ini, Jerit ini mahu tunjuk kekuatan atau mendapat simpati?

Lebih menyerlah, yang menaja dan menganjurkan kempen berbasikal ini, apakah mereka ada permit?

Jerit mengatakan mereka mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen dijadualkan Khamis ini.

Apakah ibu bapa membenarkan anak mereka yang beusia di bawah 18 tahun?
Semalam Polis Kajang membenarkan 28 penunggang basikal yang berusia di bawah 18 tahun, untuk meneruskan kayuhan kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan".

Laporan Malaysiakini, menyebut pada awalnya, pihak polis mengarahkan mereka - yang memulakan kayuhan di Johor - supaya melaporkan diri di balai polis Bangi.

Menurut penganjurnya - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) - pihak polis mahu menyemak butiran diri mereka dan memastikan sekiranya penyertaan mereka dibenarkan oleh ibu bapa masing-masing.

Sebahagian pengayuh terbabit berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Kumpulan dari arah Selatan, telah memulakan pengayuhan mereka dari estet Denudin menuju ke estet Bangi Lama pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam perjalanan, mereka disekat oleh pihak polis di estet Bangi Lama pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Suaram mengutuk tindakan polis itu dan menuntut supaya kumpulan itu dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Ahli sekretariat Jerit, K Bawani, ketika dihubungi berkata, pihak polis menunggu di pintu masuk estet tersebut, kerana mereka tidak boleh masuk ke kawasan persendirian.

Katanya, sebuah van polis mengekori penunggang basikal berkenaan sepanjang jalan dari Johor, manakala 14 kenderaan polis "mengiringi" mereka apabila mereka tiba di Semenyih semalam.

"Mereka (polis) mengekori kami sepanjang jalan tetapi mereka tidak membuat sebarang tangkapan hingga sekarang... kami sedang berunding dengan pihak polis dan telah meminta mereka supaya membenarkan penunggang basikal makan tengahari sebelum pergi ke balai polis," katanya pada kira-kira jam 1 tengahari.

Penyelaras Jerit, S Arutchelvan berkata pihak polis kemudiannya berlembut dan membenarkan penunggang basikal itu makan tengahari, sementara menunggu ketibaan ibubapa mereka.
Jerit telah menghantar beberapa peguam ke estet Bangi Lama.

Pada jam 3 petang, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mengesyaki pihak berkuasa merancang untuk mendakwa mereka yang terbabit dalam kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" di bawah Akta Kanak-kanak, kerana membabitkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Bon juga berkata, pihak polis bertegas bahawa mereka tidak menahan penunggang basikal tersebut.

Sementara di RAWANG, seramai 57 individu termasuk 28 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana menyertai kempen 'Rakyat Pengayuh Perubahan' anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) di sekitar Sungai Choh di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Turut ditahan adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR)dan anggota Parlimen Sungai Siput, Dr D. Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bernama yang memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, penahanan kumpulan berbasikal tersebut terpaksa dibuat bagi menghentikan dan mengelakkan kanak-kanak daripada dieksplotasi oleh pihak tertentu.

"Polis bertindak demikian bagi menyelamatkan kanak-kanak ini daripada dianiya dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan ketika kanak-kanak tersebut memberi keterangan, mereka memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengapa disuruh ikut serta dalam perarakan berbasikal tersebut," katanya di Balai Polis Rawang malam tadi.

Beliau berkata polis akan menghubungi ibu bapa kesemua kanak-kanak dan remaja berkenaan supaya meminta mereka membawa pulang anak masing-masing sekaligus menyiasat sama ada kesemua mereka telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing atau tidak.

Katanya pada sesi soal siasat itu juga, Dr. Jeyakumar mengaku sebagai penganjur kempen itu.
Khalid berkata mereka ditahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak dan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana membuat perhimpunan haram.

Friday, December 12, 2008

EU KAGUMI KERAJAAN PUSAT, BUKAN NIK AZIZ

Alahai harakahdaily. Kalaupun mahu mengampu, biar berpada-pada.

Tajuk berita harakahdaily 11 Disember 2008, menyimpang jauh dan begitu juga dengan paragraph pertama tulisan Mohd Nor Yahya bertajuk Presiden Kesatuan Eropah kagumi kepimpinan Nik Aziz.

Portal rasmi PAS itu melaporkan “Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan. Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.”

Setakat itu sahaja tanpa adanya petikan kata-kata Barety, berita seperti ini tidak valid. Ia hanya tanggapan atau sifat mengada-gada penulisnya sahaja.

Kalau pun mahu memuji, biarlah bertempat bukan mengampu sembarangan.

Yang dilaporan harakahdaily seterusnya ialah delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.

Sementara itu di sidang media, Nik Aziz berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Apa yang diucapkan Barety dilaporkan sepenuhnya melalui Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com semalam (11 Disember 2008) dengan tajuk “Malaysia Tetap Pilihan Pelabur).

Saya perturunkan artikel berkenaan:

MALAYSIA TETAP PILIHAN PELABUR

Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com (11 Disember 2008)

Ada orang mengatakan ekonomi Malaysia menghadapi zaman suram kalau Barisan Nasional (BN) terus memenrintah.

Kijang mahu tunjukkan betapa pendapat sedemikian silap.

Kesatuan Eropah (EU) tetap percaya negara ini masih merupakan destinasi terbaik untuk melabur dan berdagang walaupun dunia dijangka mengalami kemelesetan pada tahun depan.

Duta Perancis ke negara ini, Marc Baretty berkata, ia disebabkan langkah Malaysia yang membuat persedian rapi bagi menghadapi kemelesetan dan kebolehan negara ini untuk menghadapinya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia diyakini oleh negara-negara EU dan masyarakat pedagang benua itu yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan negara ini disebabkan pendekatannya yang mesra pelabur.

"Banyak perkara perlu dilakukan di seluruh dunia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

"Tetapi Malaysia telah membuat persediaan terbaik untuk menghadapinya dan negara ini adalah tempat terbaik untuk melabur dan berdagang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat duta negara-negara EU ke atas kerajaan negeri di Kota Darulnaim di Kota Bharu baru-baru ini.

Delegasi tersebut disertai seramai 18 orang duta semalam. Perancis mengetuai negara-negara EU di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum ia digantikan oleh negara Eropah yang lain.

Utusan Malaysia memetik Baretty sebagai berkata, EU menjadi negara pengeksport utama Malaysia pada bulan Februari lalu, sekali gus mengatasi eksport Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama.

"Biarpun dalam siri lawatan ini kami tidak membincangkan mengenai ekonomi tetapi kami tetap akan melihat peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Kami memerlukan sebuah unit perancangan ekonomi dalam masa terdekat, baru isu ini akan dibincangkan.

"Negara Eropah adalah penyumbang utama eksport negara ini dan ia akan terus berkembang di masa akan datang," katanya.

Selain itu, sikap dedikasi dan kesetiaan yang tinggi terhadap kerjaya di kalangan pekerja tempatan telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat asing.

Ketua Pasaran bagi Malaysia dan Singapura, Towers Perrin, Michael Drawhorn berkata, faktor itu membantu para pekerja akan memiliki kadar motivasi, kreativiti dan pengetahuan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing.

Malah, kata Drawhorn, mereka sanggup meluangkan lebih masa untuk memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, kata beliau, ia dilihat sebagai penyumbang positif kepada operasi perniagaan dan keputusan kewangan syarikat berkenaan.

''Berdasarkan kepada faktor tersebut, pasaran Malaysia kini lebih kompetitif untuk menarik pelaburan terus asing," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Drawhorn berkata, keputusan itu diperoleh hasil kajian Tower Perrin Global Workforce Study 2007/2008 yang kini diedarkan kepada umum.

Kajian yang dimulakan pada akhir tahun lalu itu adalah projek penyelidikan pengurusan sumber manusia global terbesar yang membabitkan 90,000 responden dari 21 buah negara termasuk 800 kakitangan dari Malaysia yang meliputi pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, Drawhorn menerangkan bahawa, antara faktor yang menyebabkan pekerja tempatan setia kepada syarikatnya adalah kerana peluang kerjaya yang lebih baik bakal ditawarkan pada masa depan.

''Bagaimanapun, mereka masih akan mencari peluang pekerjaan baru sekiranya peluang peningkatan kerjaya itu adalah terhad,'' ujarnya.

Katanya, penyumbang lain pula ialah pekerja tersebut mengetahui mengenai hala tuju perniagaan syarikat masing-masing dan mengetahui mengenai komitmen pihak pengurusan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat termasuk prestasi kewangannya.

''Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pembayaran gaji dan pelbagai insentif kepada mereka,'' katanya.

Tambah beliau, pekerja yang berdedikasi ini akan setia kepada organisasi masing-masing sekiranya pihak pengurusan sentiasa berusaha menyediakan latihan dan pelbagai program ilmiah kepada pekerja untuk meningkatkan prestasi kerja mereka.

''Kesungguhan syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat juga adalah salah satu faktor yang turut diambil kira bagi menentukan kesetiaan pekerja kepada syarikat,'' terangnya.

Tower Perrin adalah firma global yang terkemuka dalam bidang pengurusan pembangunan sumber manusia yang menyediakan perkhidmatan profesional global.
Firma tersebut membantu organisasi meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing melalui pengurusan kakitangan yang efektif, kawalan risiko serta pengurusan kewangan.