Showing posts with label FAM. Show all posts
Showing posts with label FAM. Show all posts

Wednesday, July 20, 2016

Salah Laku FAM - SPRM Bertindak Berasaskan Maklumat Tunku Ismail?


Apakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menerima cadangan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menyelesaikan isu bola sepak negara?

Tunku Ismail yang menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan exco tertinggi FAM bagi tujuan itu dicadangkan diadakan di Kuala Lumpur atau Johor Bahru secara peribadi dan tertutup.

Kenyataan itu yang dipetik melalui Facebook Johor Southern Tigers,  hari ini berkata pertemuan bertujuan untuk menggesa individu-individu tertentu untuk berundur dan memberikan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi dan penuh integriti bagi menerajui FAM dan pengurusan pasukan kebangsaan.

"Sepertimana titah TMJ, individu yang akan menerajui FAM dan pasukan kebangsaan mestilah layak dan berkaliber serta diterima semua pihak termasuk semua penyokong bola sepak tanah air," kata kenyataan itu.


Tunku Ismail yang juga pemilik JDT semalam, mendakwa mempunyai dakwaan rasuah 30 tahun dalam FAM.

Ini termasuk dakwaan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”.

Tunku Ismail melalui laman Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau memiliki satu pemacu pena yang menyimpan aktiviti dalaman FAM, yang menurutnya diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, beliau mendakwa turut memiliki segala maklumat berhubung salah laku dalam FAM dan menegaskan sudah tiba masanya penyokong bola sepak tempatan membuat penilaian.

"Ia mengenai etirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek.

Sumber itu juga, kata JDT, datang daripada “satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bola sepak Malaysia”.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula hari ini  menyarankan supaya Tunku Ismail menyerahkan segala maklumat berkaitan skandal rasuah dalam FAM untuk tindakan susulan.

Dalam satu kenyataan, SPRM menyebut, dakwaan Tunku Ismail bahawa beliau mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah FAM itu,   SPRM mengalu-alukan beliau menyerahkan butiran berkaitan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya.

SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang jika terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Hamidin...FAM bersedia.
Semalam, FAM  turut menyatakan kesediaannya  menghubungi Tunku Ismail susulan dakwaan penyelewengan dalam persatuan itu. "Saya akan cuba hubungi TMJ selepas ini," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Pada masa sama, Hamidin berkata setiap individu berhak membuat laporan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan dalam persatuan itu kepada SPRM.
Terdahulu,  pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim turut menggesa Tunku Ismail membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.

Menurut Kay Kim, Tunku Ismail perlu memberikan kerjasama kepada  pihak berkuasa kerana beliau sudah menguar-uarkan dakwaan itu mengenai ketirisan dalam FAM kepada umum.

Beliau perlu beri kerjasama dengan menyerahkan segala maklumat dan bukti yang ada padanya. Jika sekadar cakap-cakap sahaja tapi tak nak beri kerjasama, itu dah dikira satu kesalahan, kata Kay Kim.

Monday, May 9, 2016

FAM Benarkah Bekas Pemain Bola Sepak Era 90-an Terbabit Rasuah Aktif Kembali


Sebanyak 78 pemain bola sepak yang terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada awal 1990-an, kini dibenarkan untuk kembali aktif dalam sukan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini memutuskan, pemain terbabit boleh kembali aktif dalam sukan itu sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Jawatankuasa Integriti FAM membuat keputusan ini setelah mengambil kira pandangan semua pihak (sebahagian besar pemain beraksi antara 1994 ke 1995)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di sini.

Bagaimanapun Afandi berkata enam lagi pemain Sabah era 90-an yang dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh FAM, akan dirujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam perkembangan lain, Afandi berkata Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan membayar pampasan berjumlah RM165,000 kepada bekas jurulatih pasukan itu, Steve Darby dari England yang dipecat pada 2014 susulan prestasi terumbang-ambing negeri Pantai Timur itu.

Afandi berkata keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan FAM baru-baru ini setelah mendengar rayuan jurulatih berusia 61 tahun itu.

Darby yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Laos, dilaporkan berhasrat membawa kes berkenaan kepada FIFA susulan kegagalan KAFA melunaskan pampasan berjumlah RM636,000 untuk tempoh 17 bulan.