Monday, October 29, 2018

BERSATU TIDAK AKAN JADI PARTI MELAYU/BUMIPUTERA LUAR BANDAR....


Apa hala tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar?

Ia ditubuhkan pada 7 November 1959 yang dikenali dengan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Ia kemudian dibubarkan pada Disember 1976 tetapi diwujudkan semula pada 18 Julai 1983 oleh Perdana Menteri ke-4, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Pada Oktober 1990,  KPNLB ditukar nama kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Perpindahan masuk agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA dan LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Tanah (RISDA dan FELCRA) di bawah KPLB.

Turut dimasukkan ke dalam KPLB ialah Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, Lembaga kemajuan Bintulu dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA). Mulai April 2004, FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri 

Ia ditubuhkan untuk menjaga kepentingan penduduk luar bandar yang majoriti orang Melayu dan Bumiputera.

Dengan kata lain, tidak timbul soal-soal seperti meletakkan ‘merit’ dengan memilih ‘orang hebat’ menggendalikan agensi-agensi di bawahnya dengan orang professional.
Kita perlu merujuk balik kepada falsafah dan  tujuan sebenar KPLB. Ia untuk membangunkan rakyat di luar bandar yang mengikut rekod amat taat menyokong kerajaan.

Di zaman Barisan Nasional, KPLB sangat penting dan kerana itu menterinya adalah mereka yang disifatkan memahami isu dan kepentingan penduduk luar bandar.

Antara fungsi KPLB ialah meningkatkan pendapatan penduduk desa, mewujudkan desa berkualiti, mewujudkan 30% penduduk desa terlibat dalam aktiviti keusahawanan, mewujudkan masyarakat berilmu dan berkemahiran serta mempercepatkan pelaksanaan konsep dan program pembangunan bersepadu.

Selain itu KPLB juga berperanan meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa, mencapaii liputan 100% prasarana asas, utiliti dan infrastruktur dan turut penting berseuaian dengan era terkini, memastikan penduduk desa mendapat 100% manafaat teknologi maklumat dan komunikasi.

Namun selepas enam bulan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah, rakyat luar bandar tidak tahu apakah mereka mempunyai masa depan atau sebaliknya.


Malah, selepas setahun Pengerusi BERSATU mengatakan parti itu wajar menggantikan UMNO, harapan itu tidak akan pernah tertunai sekiranya MENTERI yang ada sekarang menerajui KPLB.

Harapkan pemimpin UMNO lompat ke BERSATU untuk BERSATU gantikan UMNO?

Ia tidak akan kekal dan relevan untuk menang pilihan raya. Mereka melompat mungkin untuk kepentingan diri, berkehendakkan disanjung masyarakat seperti ketika berada dalam UMNO dan sesetengahnya berkehendakkan pelantikan.

Tetapi yang benar-benar dapat menjamin perkembangan BERSATU dan kemungkinan pilihan raya ialah rakyat yang menyokong parti itu.

Dalam konteks ini, pembangunan luar bandar hendaklah dirancang melalui strategi ‘dari bawah ke atas, bukan sebaliknya’.

Menteri, Ketua Setiausaha kementerian atau pegawai tinggi kementerian boleh merancang dan mengumumkan sesuatu dasar dan projek tetapi apakah ia benar-benar berkesan untuk rakyat?

Menteri KPLB mestilah seseorang yang terbuka dan mendengar keluhan luar bandar, bukan sebaliknya. Rakyat tidak akan tunduk atau hormat kepada menteri yang hanya merasakan pendapatnya sahaja yang betul.

Perlu diingat, yang tinggal di luar bandar, khususnya di Pantai Timur, Utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah mereka yang terdiri daripada nelayan, petani, peneroka, pengusaha kecil-kecilan, guru serta kakitangan kerajaan yang rata-ratanya sekitar B40 (pendapatan di bawah RM4,000 senulan) dan ramai yang masih miskin dan berkategori miskin tegar.

Mereka mungkin boleh berharap kepada Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Usahawan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan beberapa yang lain – namun ia tidak sepenting KPLB.

KPLB mempunyai agensi penting untuk luar bandar daripada RISDA, FELCRA, MARA, serta agensi lain seperti KEMAS, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang kini dikenali dengan MPKK dan banyak lagi.

Namun sejauh ini, jika diminta penduduk luar bandar ditanya atau dibuat pungutan suara, apakah mereka percaya dengan semua agensi itu dapat membantu mereka?
Jawapannya tidak.

Ironinya selepas enam bulan, jika dilihat kepada Info Korporat di http://www.rurallink.gov.my, biodata menteri pun tidak kelihatan di situ. Apakah ini suatu kelemahan dan tidak wujud kecekapan di kementerian ini?

Persoalannya apakah Menteri KPLB sekarang prihatin kepada fungsi dan manfaat yang dapat dikecapi oleh masyarakat luar bandar?

Jika gagal, sokongan dan cita-cita Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jadikan BERSATU sebagai penggati UMNO akan juga gagal.

Jika gagal, ke mana arah BERSATU?

Saturday, June 2, 2018

Kerajaan Tubuh Pusat Menyelaras Tadbir Urus, Integriti, Rnti-Rasuah



(1 Jun 2018): Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah di negara ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan, perdana menteri bersetuju melantik bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menerajui GIACC.

Menurut kenyataan itu, GIACC akan bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui Perdana Menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa tertentu, katanya.

“Kesemua cadangan penambahbaikan oleh GIACC itu akan dibentangkan di Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk diputuskan,” kata Pejabat Perdana Penteri.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, JKKMAR yang bakal ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).

JKKMAR akan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang bakal digubal, katanya.

“Penubuhan GIACC ini tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang dan tanggungjawab dengan agensi sedia ada,” menurut kenyataan itu,

Pejabat Perdana Menteri berkata agensi-agensi tersebut sebaliknya akan distruktur semula agar lebih efektif atau dibubarkan mengikut kesesuaian dengan mengambil kira penubuhan GIACC.

Mengenai Abu Kassim yang menerajui GIACC, menurut kenyataan itu, beliau berpengalaman luas dalam bidang tadbir urus, integriti dan anti rasuah sama ada di dalam dan luar negara.

Abu Kassim ketika ini turut menganggotai Pasukan Khas Siasatan 1MDB dan merupakan pakar di International Anti-Corruption Academy, Austria.