Selepas direman tujuh hari bulan lalu, exco Johor Datuk
Abdul Latif Bandi dijangka didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah di
Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, Abd Latiff yang
bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan dan kerajaan tempatan akan
didakwa bersama seorang lagi individu.
Individu berkenaan dipercayai menjadi “orang tengah”.
"Saya boleh mengesahkan Abd Latiff bersama seorang
lagi individu akan dituduh di mahkamah esok," katanya seperti yang dipetik
menerusi laporan Berita Harian, semalam.
Abd Latiff bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu
berikutan siasatan terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.
Beliau kemudiannya ditahan SPRM pada 9 Mac bagi membantu
siasatan.
Pada 10 Mac lalu, dia direman tujuh hari sebelum
dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000.
SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kes
disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana
dikatakan memberi dan menerima suapan serta Seksyen 4 Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada
Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM10,000 atau lima
kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, dan penjara sehingga 20 tahun.
SPRM juga dilaporkan
telah merampas 26 buah kereta mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan
siasatan itu.
Kes itu juga menyaksikan enam orang ditahan, termasuk anak Abdul latif dan
pegawai khasnya. Abdul Latif dibebaskan daripada reman pada 16 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment