Sunday, July 24, 2016

Rasuah, Penyelewengan 1MDB Juga Suatu Maksiat, Wajid DiPerangi...


“Sekiranya kita memahami konsep maksiat yang sebenar, kita akan mengetahui bahawa menyalahguna kuasa itu juga maksiat, rasuah itu juga maksiat serta mencemarkan alam juga adalah maksiat...antara perkara yang mungkar dan wajib dicegah serta dihalang."

Kenapa ulama dan cendikiawan Islam kita berdiam diri dalam isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) dan pendedahan Jabatan Keadilan (JOA) Amerika Syarikat?

Tidak kiralah dalam bentuk apa – sokong, bangkang atau berkecuali – sekurang-kurangnya kita tahu di mana kedudukan mereka.

Dengan menyepi, sebaliknya dalam isu ‘kapir harbi’, menyokong kedudukan Perdana Menteri, kalimah Allah mereka lantang. Bila tiba isu ekonomi, pengurusan dan kewangan kenapa mereka membisu?

Apa pula peranan institusi mufti kita?


Apakah ulama dan mufti kita hanya mahir berkaitan feqah sahaja?

Apakah ahli Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Ulamak parti-parti politik tidak ada yang mahir dalam bidang berkaitan penyelewengan, rasuah dan permainan ekonomi antarabangsa?

Tertarik dengan pandangan pelajar di Universiti Al Al-Bayt, Mafraq, Jordan yang mengatakan bahawa  Islam tidak terhad soal ibadah seperti solat, zakat dan puasa tetapi juga meliputi hal-ehwal kemasyarakatan, politik, ekonomi dan lain-lain.


Menurutnya, Islam itu menyentuh, termasuk rukun kemasyarakatan, soal politik dan pentadbiran, menolong orang miskin, membela orang yang dizalimi serta menegah orang yang melakukan kezaliman.

Malah, maksiat itu bukan sahaja berzina, sepasang kekasih berpegang-tangan dan mendengar muzik-muzik yang tidak sihat. Namun konsep maksiat yang sebetulnya adalah segala perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah SWT dan tidak sahaja terhadap pada perkara-perkara di atas tadi.

Maka sekiranya kita memahami konsep maksiat yang sebenar, kita akan mengetahui bahawa menyalah guna kuasa itu juga maksiat, rasuah itu juga maksiat serta mencemarkan alam juga adalah maksiat.

Kerana itu dalam isu 1MDB, jelas Islam menolak penyelewengan yang berlaku di dalamnya dan menuntut orang yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.

Baca seterusnya pendapat ini:
Penyelewengan 1MDB juga suatu maksiat
Oleh Ahmad Amirul Rashid Roslan (Pelajar Usuluddin Tahun 3, Universiti Al Al-Bayt, Mafraq, Jordan)


“Seorang muslim mempercayai bahawa Islam merupakan sebuah agama yang menyeluruh sifatnya. Muslim juga maklum Islam tidak terhad soal ibadah seperti solat, zakat dan puasa tetapi juga meliputi hal-ehwal kemasyarakatan, politik, ekonomi dan lain-lain.

Hal ini dapat dilihat dalam puluhan ayat Quran mahupun hadis yang bukan sahaja menyentuh berkaitan amalan ibadah tetapi juga menyentuh tentang rukun kemasyarakatan, soal politik dan pentadbiran, menolong orang miskin, membela orang yang dizalimi serta menegah orang yang melakukan kezaliman.

Islam juga mengajar kita bahawa maksiat itu bukan sahaja berzina, sepasang kekasih berpegang-tangan dan mendengar muzik-muzik yang tidak sihat. Namun konsep maksiat yang sebetulnya adalah segala perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah SWT dan tidak sahaja terhadap pada perkara-perkara di atas tadi.

Maka sekiranya kita memahami konsep maksiat yang sebenar, kita akan mengetahui bahawa menyalah guna kuasa itu juga maksiat, rasuah itu juga maksiat serta mencemarkan alam juga adalah maksiat.
Antara konsep penting dalam agama Islam adalah menyuruh kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar. Maka maksiat merupakan antara perkara yang mungkar dan wajib dicegah serta dihalang.

Isu-isu bulan ini

Dalam sebulan ini, kita disibukkan dengan isu fatwa kafir harbi oleh seorang mufti terhadap golongan bukan Islam yang tidak bersetuju dengan usul RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS di parlimen.

Fatwa ini sudah tentu menimbulkan kegusaran kebimbangan dalam kalangan masyrakat bukan Islam, lebih-lebih lagi fatwa ini muncul selang beberapa hari selepas Negara Islam (IS) memuat-naik video yang menyeru secara terang-terangan agar membunuh golongan yang menghalang IS.

Fatwa ini kemudiaan menjadi topik perdebatan hangat antara ahli-ahli politik dan juga antara agamawan yang menyokong dan mengkritik fatwa ini. Beberapa agamawan yang tidak bersetuju dengan fatwa ini kemudiannya membuat penjelasan dan pencerahan terhadap isu ini seperti Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Dr Maszlee Malik dan juga Dr Rozaimi Ramlee.

Minggu ini pula, negara kita ribut seketika ekoran tindakan kerajaan negeri Selangor yang membenarkan penganjuran konsert penyanyi terkenal antarabangsa, Selena Gomez di Stadium Malawati, Shah Alam.

Penganjuran konsert ini mendapat bantahan daripada sebahagian NGO dan kumpulan islamis atas beberapa alasan seperti penyanyi terlalu seksi, mencemar kemuliaan bulan Syawal dan membawa budaya hedonisme kepada pemuda-pemudi negara kita.

Maka pelbagai kempen bantahan dilakukan bagi mendesak kerajaan negeri Selangor membatalkan penganjuran konsert ini antaranya demostrasi dan penyerahan memorandum bantahan oleh Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Selangor.

Tidak cukup dengan itu, masjid-masjid di Selangor juga telah diseru untuk melaksanakan Solat Hajat bagi memohon agar konsert tersebut dibatalkan.

Beberapa hari lepas pula, negara digemparkan pula dengan pendedahan skandal bernilai billion ringgit melibatkan sebuah syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Amerika Syarikat.

Skandal ini didalangi oleh beberapa individu besar, antaranya individu yang disebut sebagai Malaysian Officer 1. Pendedahan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat lebih-lebih apabila wang rakyat yang diseleweng ini digunakan untuk melangsaikan hutang judi.

Marilah bermuhasabah

Tulisan ini bukankah bertujuan untuk membahaskan dengan panjang lebar isu-isu di atas. Tulisan ini hanya mahu menimbulkan beberapa persoalan di sebalik isu ini dan mengajak kita semua untuk bermuhasabah.

Dalam isu fatwa kafir harbi misalnya, kita tidak bersetuju dengan fatwa ini dan tidak melihat keperluan kepada fatwa ini lebih-lebih lagi istilah kafir harbi sudah tidak lagi bersesuaian dengan situasi dunia hari ini.

Namun sehingga ke hari ini, kita masih menanti fatwa yang dilihat sebagai fatwa yang paling penting dan ditunggu-tunggu buat rakyat Pahang, iaitu fatwa berkenaan pencemaran yang berlaku disebabkan perlombongan bauksit.

Pencemaran yang serius ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman dan keselesaan awam, bahkan ianya membawa pula kepada pencemaran lain seperti pencemaran sungai.

Membuat kerosakan kepada alam sekitar itu juga merupakan satu perkara maksiat yang ditegah Islam, apatah lagi ianya memberi kesan buruk kepada manusia, flora dan juga fauna, pasti ianya lebih-lebih lagi ditegah.

Berkenaan isu bantahan konsert, penulis juga tidak bersetuju dengan konsert ini. Cuma dalam isu ini kita melihat gelagat golongan islamis ini begitu serius dan konsisten membantah.

Namun dalam masa yang sama, kelompok islamis yang sama masih lagi bermain tarik-tali dalam isu yang lebih besar dan nasional seperti isu 1MDB.

Jika kita membandingkan mudarat antara konsert Selena Gomez dan 1MDB, sudah tentu kesan mudarat yang berlaku akibat skandal 1MDB lebih berat.

Mudarat 1MDB pastinya akan memberi kesan kepada seluruh negara dan menjejaskan nama negara di mata dunia, berbanding mudarat hedonism konsert tersebut hanya terhad sekurang-kurangnya kepada golongan yang menghadirinya sahaja.

Adalah lebih menarik sekiranya kelompok islamis ini juga serius dalam isu 1MDB seperti mana keseriusan mereka terhadap bantahan konsert.

Penyelewangan wang rakyat dan salahguna kedudukan juga merupakan sebahagia daripada kemungkaran yang wajib ditegah, apatah lagi sekiranya ianya telahpun dibuktikan oleh badan-badan yang berautoriti.

Kesimpulan

Tulisan ini jauh sekali dari bertujuan untuk memburukkan institusi mufti di negara kita ataupun memperkecilkan sumbangan kelompok Islamis.

Tulisan ini hanyalah mahu mengajak agar institusi mufti memainkan peranan penting persoalan yang dekat dengan isu-isu penting masyarakat, seterusnya akan mengangkat martabat institusi mufti sendiri di mata muslim dan bukan Islam.

Tulisan ini juga mengajak agar kelompok Islamis untuk tidak bersikap selektif dalam memainkan isu. Islam menyuruh kita untuk mencegah segala jenis maksiat dan kemungkaran, dariapada sekecil-kecil kemungkaran sehinggalah ke sebesar-besar.

Sikap selektif ini seterusnya akan menimbulkan salah faham terhadap Islam serta gagal menonjolkan sebagai agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Akhir sekali, tulisan ini adalah untuk memberitahu kepada bukan Islam bahawa Islam bukanlah agama yang sekadar membantah konsert dan menjadi perisai kepada kezaliman pemerintah akan tetapi Islam adalah agama yang menyuruh penganutnya mencegah segala perkara yang salah dan mungkar.

Dalam isu 1MDB, jelas Islam menolak penyelewengan yang berlaku di dalamnya dan menuntut orang yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.




No comments: