Wednesday, October 23, 2013

Laluan Mudah Bawa Kemajuan Di Sg Limau Jika Pilih BN - Muhyiddin


"Kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat."
- Tan Sri Muhyiddin Yassin 

Daripada teganuku

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau jika calon Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Timbalan perdana menteri berkata ini juga akan mewujudkan hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN, bagi membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk Sungai Limau.

"Kalau mereka lihat masa depan kawasan Sungai Limau ini, kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di Yan, hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat. Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 Sept lepas.

Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995. "Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS, yang kita (BN) dilihat sebagai underdog, dan peluang tidak secerah PAS, tapi kami (BN) yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.

Muhyiddin dipetik Bernama berkata jika calon BN Ahmad Sohaimi diberi peluang, "maka ini akan beri satu laluan yang lebih mudah untuk kita laksanakan apa saja agenda untuk majukan penduduk Sungai Limau."


Timbalan Pengerusi BN itu berkata BN telah memilih calon paling layak dengan latar belakang pendidikan dan pengurusan yang baik. Malah Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau, kata Muhyiddin.

Menyentuh pendekatan kempen, beliau berkata wakil-wakil BN sama ada dari peringkat negeri mahupun pusat akan menemui semua pengundi dan menjelaskan sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang menjelang hari pengundian 4 Nov ini.

Muhyiddin berkata isu-isu itu akan dijelaskan secara terperinci baik soal pembangunan, belanjawan, harga barangan dan apa sahaja perkara berbangkit termasuk peningkatan harga padi dan infrastruktur. "Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama," katanya.

Tambahnya: " Sebab itu wakil rakyat adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan," katanya.

Ditanya sama ada pertembungan dua calon itu akan memberi lebih peluang kepada BN memenangi pilihan raya kecil itu berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lepas yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, Muhyiddin berkata ia mungkin memberi peluang lebih baik kepada BN.

"Pada PRU dulu kita kalah dengan majoriti 2,774 undi tetapi ini bukan mustahil untuk kita perbaiki," jelas beliau. Timbalan perdana menteri turut ditanya mengenai cadangan mewujudkan manifesto baharu bagi pilihan raya kecil ini, dan beliau berkata manifesto PRU-13 masih ada dan boleh terus dilaksanakan di Sungai Limau.

Bagaimanapun, katanya, Mukhriz boleh merangka strategi baharu jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas.

"Apa yang kita lihat adalah masa depan (dan) apa yang boleh kita buat untuk perbaiki kekurangan. Ini komitmen kita," katanya.

Sementara itu, menyentuh suasana harmoni yang tergambar semasa proses penamaan hari ini khususnya dengan kehadiran banyak pemimpin utama dari BN dan PAS, Muhyiddin berharap ia dapat diteruskan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan rasional mengikut tertib agama selain memberi ruang yang luas untuk pengundi memilih wakil rakyat mereka.

"Suasana harmoni ini adalah satu petanda baik. Saya percaya mereka (Pakatan Rakyat) mempunyai tujuan yang sama tetapi kita harap rakyat pilih kita kerana kita yakin mampu laksanakan tanggungjawab," katanya.

Tuesday, October 22, 2013

Mukhriz - Tidak Perlu Melampaui Batas Jika Mahu Berpolitik


“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain....Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu. "
- Datuk Mukhriz Mahathir

Kerajaan Kedah akan memastikan setiap projek yang dirancang memberi manfaat kepada kumpulan sasaran terbesar dan bukan untuk segelintir kecil.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN tidak akan merampas tanah sewenang-wenang seperti yang didakwa setengah pihak sebelum ini, termasuk bagi projek Zon Industri Petroleum Yan (Zippy).

Ini kerana sesuatu projek itu tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

"BN tidak mahu cari pasal dengan rakyat yang boleh menyebabkannya kecundang dalam pilihan raya akan datang. Kita dah belajar dari pengalaman.

“Kalau kita terus cari pasal dengan mereka, tunggulah PRU14. Kita tidak mahu itu berlaku kerana kita tadbir Kedah bukan untuk satu penggal.

Kalau boleh mahu selama-lamanya kerana negeri ini milik BN,” katanya pada majlis pengumuman nama calon BN untuk PRK Dun Sungai Limau, di sini, petang semalam.

Beliau, yang juga Pengerusi BN Kedah, turut membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain.

“Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu. "Tidak perlu melampaui batas jika nak berpolitik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak yang bertanding dalam PRK Sungai Limau melakukannya dalam keadaan sihat dan harmoni agar tidak menjejaskan keselamatan negara.

SH Online

Thursday, October 10, 2013

Pelajar Akan Ketinggalan Jika Bahasa Inggeris Tidak Digunakan Dalam Pengajaran


"Orang Melayu akan ketinggalan jika Bahasa Inggeris terus diabaikan...anda mungkin boleh bercakap fasih dalam bahasa Melayu tetapi anda tidak akan dapat bercakap tentang Sains...buku-buku saintifik dan bahan-bahan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah terhad."
- Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa orang Melayu akan ketinggalan jika kerajaan terus mengabaikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 

"Adalah menyedihkan bagi saya, dan saya tidak bersetuju dengan kerajaan (dasar Bahasa Inggeris). Saya tidak suka melihat orang Melayu yang kurang ilmu," katanya ketika berucap kepada peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan ICT Kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam (9 Oktober 2013).

Katanya, beliau telah membawa perkara itu kepada kerajaan mengenai kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ia tidak didengari. "Adakah anda pergi ke sekolah untuk menimba ilmu atau untuk belajar bahasa?

"Penekanan hari ini adalah lebih kepada pembelajaran bagaimana untuk bercakap bahasa tertentu dan saya rasa ini adalah satu kesilapan," kata Dr Mahathir yang menambah bahawa orang Melayu akan ketinggalan jika Bahasa Inggeris terus diabaikan.

"Anda mungkin boleh bercakap fasih dalam bahasa Melayu tetapi anda tidak akan dapat bercakap tentang Sains," katanya, sambil menambah buku-buku saintifik dan bahan-bahan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah terhad.

"Setiap hari, penemuan baru dibuat dan kertas saintifik diterbitkan dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu."

Beliau kesal keputusan untuk kembali kepada Bahasa Malaysia bermotifkan politik berikutan protes dari Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008 tetapi ia gagal diterjemahkan.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu turut berkongsi sentimen dengan Dr Mahathir dengan berkata bahawa walaupun tanggungjawab rakyat Malaysia menegakkan Bahasa Malaysia, namun bahasa pengantar di universiti harus kekal dalam bahasa Inggeris.

"Hakikatnya, Inggeris telah menjadi alat komunikasi global untuk perdagangan dan profesion," katanya. 

Kedua-duanya merujuk kepada gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap institusi pengajian tinggi baru-baru ini supaya meningkatkan penggunaan Bahasa Malaysia di kampus.

Monday, October 7, 2013

Nasi Kangkang Masih DiAmalkan Di Dungun?

Shamsuri (berdiri tengah) bersama perawat dari Pusat Rawatan Islam At-Tobibi merawat 150 pesakit sempena rawatan perdana di Surau As-Soliheen, Taman Desa Solehah, Kampung Mak Chili Paya di Kemaman, kelmarin.
Masih terdapat wanita Islam yang menggunakan nasi kangkang bukan sahaja untuk menundukkan suami, bahkan ada yang bertujuan memporak-perandakan kebahagiaan jiran tetangga seperti kes yang terjadi di Dungun.

Kisah nasi kangkang bukan cerita dongeng, sebaliknya sihir itu masih lagi menjadi amalan segelintir kecil wanita untuk mencapai matlamat songsang mereka.

Seperti pasangan suami isteri dari Dungun yang dirawat kelmarin, mereka terkena nasi kangkang yang diberikan seseorang sehingga pasangan ini jadi saling membenci dan apa yang kita boleh lihat, matlamat penyihir mungkin untuk merampas suami atau harta atau mahu melihat keluarga ini hancur akibat hasad dengki dengan kebahagiaan keluarga ini.

Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Datuk Shamsuri Safie mendedahka, berdasarkan pengakuan mangsa yang kedua-duanya bekerja sebagai polis, bukan sahaja mereka sekeluarga terkena sihir itu, malah seluruh penghuni di blok sama dengan rumah mereka turut mengalami nasib sama apabila kesemuanya saling berbalah.

Menyedari sesuatu yang aneh, pasangan terbabit masing-masing berumur 43 dan 41 tahun membuat keputusan berpindah dari kawasan perumahan itu sejak dua bulan lalu sebelum mendapatkan rawatan secara Islam sempena Rawatan Perdana Pusat Rawatan Islam At-Tobibi di Surau As-Soliheen, Taman Desa Solehah, Kampung Mak Chili Paya, di Kemaman, kelmarin.

Katanya, perasaan hasad dengki sangat bahaya, justeru masyarakat Islam diingatkan supaya berhati-hati daripada menerima apa-apa termasuk makanan daripada individu mencurigakan, di samping mengamalkan membaca ayat suci al-Quran dan doa pelindung sebelum menjamah makanan.

Bagaimanapun, sepanjang pengalaman beliau merawat ramai pesakit, Shamsuri berkata, tidak ramai yang terkena sihir nasi kangkang berikutan amalan itu hanya dipelajari daripada keturunan dan mempunyai jampi atau mantera khusus.

Shamsuri berkata, ada antara pengamal nasi kangkang sudah insaf seperti yang berlaku pada seorang warga emas di Johor yang bertaubat pada usia 63 tahun selepas dia diuji dengan kematian suami dan enam anaknya silih berganti.

“Kes ini terjadi pada 2005, nenek ini mula menjadi bomoh nasi kangkang sejak berusia 32 tahun dan ketika itu, ramai wanita datang berjumpanya bagi mendapatkan nasi kangkang hingga yang paling dahsyat, ada isteri sanggup meletakkan darah haid ke dalam nasi.

“Suami nenek ini turut terkena sehingga menjadi bodoh dan disepak terajang olehnya, namun selepas diuji dengan kemiskinan dan kematian suami serta anak-anak, nenek ini berfikir selama tiga tahun untuk meninggalkan perbuatan syiriknya dan akhirnya dia bertaubat,” katanya.

Pada program rawatan perdana itu, kira-kira 150 pesakit dari seluruh Terengganu termasuk dari Kuantan, Pahang hadir untuk mendapatkan rawatan dan ramai antaranya mengalami masalah sakit misteri.

Pengerusi Surau As-Soliheen, Mohd Kamal Shafie berkata, program rawatan perdana itu adalah yang kedua diadakan dan dijadikan sebagai aktiviti surau setiap bulan.

Program seterusnya akan diadakan pada 2 November depan bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang dan sehari sebelumnya iaitu pada Jumaat rawatan akan diadakan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Kerteh 6 bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang.

 Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian 013-2898296 untuk maklumat lanjut.

 Sinar Harian