Saturday, June 2, 2012
Tsunami Selatan Akan Berpihak Keoada BN, Bukan Pembangkang
Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak tanggapan PAS kononnya tsunami selatan akan melanda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya, menurut mereka, tsunami yang dikatakan itu akan memihak kepada BN dan yakin dengan sokongan rakyat, BN akan meneruskan penguasaan kerajaan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa tsunami selatan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang apabila pakatan pembangkang yakin akan menang di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata tsunami itu juga akan berlaku di selatan Semenanjung kerana tsunami dari arah utara sudah kering dan tepu.
Anggota Parlimen Jasin Melaka Datuk Ahmad Hamzah ketika menyangkal dakwaan PAS itu berkata pengaruh pembangkang sejak akhir-akhir ini sebenarnya semakin berkurangan dan menurun, tambahan pula rakyat semakin sedar terhadap apa yang dimomokkan kepada mereka sebelum ini hanyalah janji-janji manis belaka.
"Pada saya bercakap soal tsunami ini, tsunami sebaliknya akan berlaku yang mana rakyat akan menyokong parti dan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya memenangi kerusi-kerusi di Melaka dan membentuk kerajaan," katanya.
Katanya kesedaran rakyat adalah berpokok pangkal kepada inginkan kemajuan berterusan dan kesinambungan kepada usaha yang dilakukan kerajaan dengan pelbagai perancangan seperti program transformasi dalam pelbagai aspek dan sudut.
"Rakyat nampaknya tidak mengharapkan pembangkang untuk melakukan semua ini. Perjuangan pembangkang juga nampak tidak jelas langsung," katanya.
Anggota Parlimen BN kawasan Muar, Johor Datuk Razali Ibrahim berkata apa pun boleh diperkatakan oleh parti yang bertanding, tetapi tsunami yang didakwa akan berlaku di selatan itu tidak bersandarkan kepada sebarang alasan yang kukuh.
"Jika dia bersandarkan pada prestasi, saya tak nampak keyakinan rakyat kepada mereka kerana kerjasama mereka (pembangkang) amat rapuh. Mutu kerja pun jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan BN," katanya. Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata pembangkang cuma bersandarkan janji yang tidak pasti, termasuk mainan sentimen, emosi dan fitnah bagi mendapatkan sokongan.
Anggota Parlimen BN kawasan Jempol, Negeri Sembilan Datuk Lillah Yassin berkata jangkaan itu tidak akan berlaku kerana kekuatan BN di selatan adalah sokongan yang bergantung kepada undi orang Melayu.
"Di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan undi teras datang daripada orang Melayu, dengan sokongan masyarakat daripada kaum India dan Cina yang akan berpihak kepada BN.
"Sebahagian besarnya pula terdapat tanah rancangan Felda yang mana majoriti masyarakat Felda iaitu peneroka akan memberi sokongan kepada BN.
"Faktor lain pula, kesemua janji yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk rakyat sudah mula dinikmati oleh mereka. Mereka sangat bersyukur dalam hal ini," katanya.
Lillah berkata rakyat juga sekarang sudah dapat menilai dengan baik apabila pembangkang sendiri menghadapi masalah untuk menguruskan negeri yang mereka menangi pada pilihan raya umum yang lepas.
"Tidak ada jaminan masa depan untuk mereka di negeri-negeri berkenaan, jadi saya tak nampak bagaimana pembangkang dapat menubuhkan kerajaan di negeri-negeri terbabit," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment