Saturday, February 4, 2012

PAS Banyak 'Lebong', BN Bantu Rakyat - Najib

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pilihan raya umum ke-13 akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

Beliau berkata, masa untuk mengadakan pilihan raya umum kali ke-13 berkenaan bergantung kepada banyak faktor,namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

“Buat masa ini, saya turun padang berjumpa rakyat, bukan sahaja saya tapi semua pemimpin kerana ini tanggungjawab sebagai pemimpin supaya rakyat tambah yakin kepada Barisan Nasional (BN),” katanya di Marang semalam.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya Parlimen akan dibubar pada minggu hadapan untuk memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-13.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan baucer kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, di sini.

Mengenai bantuan BRIM tersebut beliau berkata, kerajaan BN melaksanakan dasar dan program yang terbukti mampu membela kebajikan rakyat termasuk bantuan berkenaan yang memberi manfaat kepada 80 peratus isi rumah di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, BR1M juga tidak dilaksanakan mana-mana kerajaan lain di seluruh dunia namun ia diberikan kepada seluruh rakyat yang layak tanpa `memilih bulu’ dan parti.

“Kita tidak memilih bulu (seperti) kata Datuk Yahya (Khatib Mohamad) dalam ungkapan pantunnya tadi, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Walaupun mukanya barangkali tebal agaknya. Yang kutuk, maki hamun kita, apabila nampak duit (BR1M) lima keping, dia yang pertama sekali berbaris.

“Hak puak-puak kita dalam panas, dalam hujan berjuang untuk menegakkan kerajaan. Tetapi saya kita tidak mengapa, jika kita tidak mendapat undi, di akhirat nanti insya-Allah kita akan menerima ganjaran daripada Allah s.w.t,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Dalam tempoh tiga tahun peralihan kuasa di tangan Perdana Menteri, katanya, pelbagai bantuan sudah dilaksanakan kerajaan BN dan jika diberi masa lima tahun lagi pastinya lebih banyak yang boleh dilakukan demi kepentingan rakyat.

Selain itu, beliau juga mengingatkan rakyat supaya dapat menilai secara bijak kepimpinan Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi sanggup memecat ahlinya dan pemimpin sendiri semata-mata bagi menjaga kepentingan pakatan dengan DAP.

“Pas tidak boleh pakai, kerana banyak `lebong’. Sebab itulah Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sudah condong, bunyi-bunyinya (sudah) tidak mahu bertanding. Tidak tahulah kalau dia `pelawok’ (menipu).

“Pas juga berkecamuk. Orang yang baik, imannya kuat, orang yang memperjuangkan Islam, orang yang nak pertahankan akidah, nak menegakkan akhlak, orang ini yang dipecat oleh Pas. Di mana perjuangan untuk Islam? Kalau orang yang menegakkan Islam dan akhlak dibuang oleh Pas,” katanya.

Sinar Harian

No comments: