Saturday, February 26, 2011

BN TERUSKAN MOMENTUM, PAS MAHU TEBUS MARUAH

Sebaik sahaja pemandu melepasi Plaza Tol Ayer Keroh, di jajaran itulah paling banyak lampu isyarat yang perlu direntasi.

Dengan sistem melepaskan kenderaan secara bersaat, ada 30 saat, 60 saat dan suatu ketika mencecah 160 saat, situasi deretan lampu isyarat itu seakan-akan menyamai kehidupan di Putrajaya khusus dari Wisma Putra menghala ke pejabat-pejabat kerajaan di Presint 2.

Berbeza di Temerloh, lampu isyarat kurang bilangannya tetapi di situ terkenal dengan kelazatan ikan patinnya yang kalau tidak berjaga-jaga, boleh ‘terpukul’ selepas menikmatinya dengan harga jenis ikan yang ada kalanya ‘tidak masuk akal’.

Namun orang luar kena bertanya dulu kepada orang tempatan - perbezaan harga sekilo ikan patin sangkar (RM14) dan patin liar (sehingga mencecah RM70) sebelum menjamu selera.

Dua negeri ini, Melaka dan Pahang menyaksikan dua pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau yang kempen lapan harinya bermula sebaik saja urusan penamaan calon selesai 12tengah hari ini.

Pas dipercayai begitu menagih kemenangan di salah satu kerusi terbabit setelah imej tercalar di Galas dan Tenang. Dengan rekod kemenangan empat dari lima kerusi dalam setahun ini , Barisan Nasional (BN) pastinya mahu meneruskan momentum melakar kemenangan bergaya di Merlimau dan Kerdau.

Kejayaan itu nanti akan menjadi pembakar semangat dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang, tidak lama selepas pengundian dua kerusi berkenaan pada 6 Mac ini.

Jika dua kerusi ini berhasil, maka pertemuan BN dengan pihak pembangkang adalah seri lapan sama dalam siri 16 pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Meskipun dikatakan di Merlimau setakat ini ‘hingga tiang elektrik’ pun dijadikan isu (hakikatnya, tidak ada isu), BN wajar berwaspada. Hujah dan penjelasan perlu digerakkan dengan pantas dan sampai ke akar umbi. Bak kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengundi adalah ‘raja’.

Setakat ini Pas dan sekutunya cuba mengadu-domba memainkan isu ‘ada lapangan terbang tapi kapalnya tak turun’, penutupan Eye On Malaysia dan gelanggang go kart. Sedangkan semua orang Melaka terutama di ‘Melemau’ (sebutan anak Melaka) maklum Boeing 737 penerbangan Melaka-Riau mendarat tiga kali seminggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, syarikat penyewa Eye On Malaysia mungkir janji membayar kepada pemilik asal di Belgium dan isu go kart yang masih dalam pertimbangan mahkamah.

Setakat ini, hanya isu-isu luar Melaka dijangka dibangkitkan termasuk kononnya belum ada keputusan kerajaan negeri untuk menaja penghantaran balik pelajar ke Mesir. Begitupun Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dikatakan mampu menangani semua ini.

Di Kerdau pula, selain isu status kelulusan calon BN yang cuba dipolitikkan oleh Pas, beberapa isu sampingan dipercayai akan menjadi ‘buah tangan’ Pas ke atas jentera BN. Antara tumpuan Pas adalah di Felda Jengka 22 membabitkan isu kelewatan bayaran ses kepada peneroka dan geran tanah yang belum dimiliki.

Bagaimanapun, Pas juga dikatakan agak kurang bersemangat untuk mencabar kedudukan BN di Kerdau sehingga hanya menurunkan ‘ayam patah sayap’ , Hasanuddin Salim, 43, di sana. Dikatakan individu yang sebelum ini diuar-uarkan untuk menyaingi Syed Ibrahim Syed Ahmad iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man dan Hassan Tantawi tidak mahu menanggung risiko tewas bagi mengelakkan imej diri tercalar.

Ini kerana mereka akan memberi tumpuan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13, lebih-lebih lagi buat Tuan Ibrahim yang dipercayai menaruh minat di Jengka.

Begitupun isu-isu luar dijangka ‘merajai’ kempen pilihan raya di Merlimau dan Kerdau. Ini termasuk sentimen Hindraf yang cuba menghuru-harakan keharmonian kaum. Dan tidak kira parti mana yang membangkitkan sesuatu isu, yang penting jentera pilihan raya siapa yang paling pantas, cekap dan bijak mematikan hujah, mencernakan isu dan mendekati hati pengundi dalam hari-hari mendatang sehingga ke penghujung tengah malam 5 Mac ini.

Selamat berkempen.

Oleh Zulkifli Jalil (Utusan Malaysia Online, 26 Feb 2011)

No comments: