Wednesday, December 29, 2010

KES MENTERI PERKOSA AMAH - PUNCANYA SEPUCUK SURAT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.

Surat tanpa tarikh (gambar) yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.

"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.

Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.

Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.

Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.

Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Perjalanan ke Banjarnegara

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.

"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.

Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.

Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.

"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.
Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.

"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.

Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.

Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Pengakuan Robengah

Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.

Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.

Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.

Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.

Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.

Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.

Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.

Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.

Kenyataan media

Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).

Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.

Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.

Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan) (gambar kiri), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.

Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang.

LAPORAN BERKAITAN

Siapakah menteri rogol amahnya?

2 comments:

Tenang Lautan Biru said...

Mohon promosikan blog kami untuk PRK Tenang.

http://tenangprk.blogspot.com/

Terima kasih.

Klik Di Sini said...

Salam tuan..

Saya blog baru yang masih merangkak2.. Mohon link ke blog tuan untuk menumpang kepopularan blog tuan..

Sekiranya tuan dah link.. maklumkan kepada saya melalui komen.

segala kerjasama didahului ribuan terima kasih...

selamat berjuang,daripada mimview.blogspot.com..