Wednesday, December 29, 2010

KES MENTERI PERKOSA AMAH - PUNCANYA SEPUCUK SURAT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.

Surat tanpa tarikh (gambar) yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.

"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.

Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.

Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.

Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.

Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Perjalanan ke Banjarnegara

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.

"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.

Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.

Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.

"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.
Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.

"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.

Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.

Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Pengakuan Robengah

Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.

Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.

Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.

Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.

Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.

Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.

Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.

Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.

Kenyataan media

Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).

Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.

Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.

Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan) (gambar kiri), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.

Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang.

LAPORAN BERKAITAN

Siapakah menteri rogol amahnya?

Saturday, December 11, 2010

SAIFUL BERSERAH KEPADA ALLAH, ANWAR BERSERAH KEPADA SIAPA

Daripada http:hambali1.blogspot.com/

Ramai mempertikaikan sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan apabila dia bersumpah dalam Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008 bahawa dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyokong Anwar termasuk pemimpin PAS menuduh Mohd Saiful berbuat demikian kononnya kerana agenda politik yang bertujuan menjatuhkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Namun apabila dia mengaku di Mekah mengenai kejadian liwat berkenaan, nampaknya tidak ada yang berani mempertikaikannya.

Apakah akan ada orang yang akan mempertikaikan sumpah Mohd Saiful di tanah suci dan mungkin di hadapan Baitullah?

Angkat sumpah yang dibuat Mohd Saiful berlangsung sehari sebelum Anwar umum diri bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh dilihat dan dinilai secara politik oleh banyak pihak.

Malah kata Agendaily, pemimpin PAS yang sudah bersekongkol dalam pakatan rakyat turut mempertikai kaedah sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi macam-macam alasan termasuk kaedah sumpah Mohd Saiful memegang al-Quran juga tidak tepat, bahkan Mohd Saiful dianggap bodoh berbuat demikian.

Hadi yang membuat dakwaan itu turut menghina pegawai agama yang terbabit dalam sumpah laknat itu.

“Ia suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 sebelum ini.

Ada menganggap kes itu menyamai zina dan perlu diadili di Mahkamah Syariah.

Kerana kes itu juga, pegawai Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi diusung PKR berkempen ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan kenyataan beliau hanya diarah hadir ke majlis itu bagi menyempurnakan angkat sumpah Mohd Saiful di hadapannya.

Justeru itu semakin ramai terutama mereka yang taksub kepada Anwar tidak mempercayai kebenaran sumpah laknat Mohd Saiful

Tetapi amat jelas akhir-akhir ini pemimpin PAS seperti Presiden, Musyridum Am dan beberapa pemimpin yang lain nampaknya ‘tidak berani; membuat komen apabila Mohd Saiful mengatakan beliau menggunakan sepenuh peluang di tanah suci untuk mencurah dan mengadu perasaan dan kekesalahannya mengenai kejadian liwat yang berlaku.

Dalam satu entri Zulkifli Nordin dalam blognya mengatakan beliau masih ingat ada di kalangan ‘pak jangoat’ dok bawak cerita Saiful dah lumpuh. Saiful dah kena sopak. Saiful dah tak boleh berjalan. Saiful badan penuh kudis buta. Saiful dah terbaring dengan mulut berbuih. Saiful dok terbaring menyebut-nyebut nama Bang Non..Bang Non. Saiful dok berjalan macam orang tak waras nak mintak ampun dengan pemimpin anugerah tuhan. Semuanya berpunca daripada tohmahan konon Saiful telah terkena laknat ALLAH akibat sumpah muhabbalah yang dibuat Saiful.

Menurut Zulkifli: “Pelbagai cerita dongeng dibawa. Malah pemimpin anugerah tuhan sendiri pernah memberitahu bahawa Saiful ini tinggal masa saja untuk hancur dilaknat, begitu pemimpin anugerah tuhan ceritakan bagaimana golongan agamawan mengkhabarkan kapada pemimpin anugerah tuhan yang menyampaikannya pula kepada teman. Maka ramailah para pak jangoat yang dengan bodoh mengangguk dan mena'amkan patwa pemimpin anugerah tuhan itu; dan menunggulah para pak jangoat untuk laknat itu turun.”

Zulkifli bertanya: “Di mana pemimpin anugerah tuhan? Dengan wajah yang semakin keruh dan kerut. Parti yang semakin hancur. Penyokong yang makin menjauhkan diri. Rakyat yang mula menyedari pembohongannya. Umat yang insaf tembelangnya. Kawan yang makin tersedar kelentongnya. Hanya golongan kafir yang makin merapati. Hanya penyokong antarabangsa termasuk dari golongan gay terus menyokong. Dan hari ini diisytihar oleh bini sendiri sebagai pemimpin anugerah tuhan. Apakah kelak nanti akan mengikut jejak Fir'aun, "ana robbukumul a'laa!!"? Na'uzubillah min zalik!!”

Bagi Mohd Saiful pula, berdoa di dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah menyebabkan beliau tidak melepaskan peluang berdoa dengan harapan Allah akan menunjukkan siapa yang benar!

Bukan mudah untuk seseorang untuk ‘menjatuhkan maruah dirinya sendiri’ dengan mengakui diliwat kerana isu ini mendapat perhatian seluruh dunia.

Berapa ramai yang berani tampil mengatakan perkara yang sebenar tanpa berlindung seperti Mohd Saiful?

Menurut beliau, kesempatan dan peluang berada di tanah suci digunakan secukup-cukupnya untuk beribadah, berdoa dan memohon pada Allah SWT.

Antara tempat-tempat mustajab yang beliau ambil peluang untuk berdoa termasuklah - Wukuf di Arafah, Mina, Makam Rasulullah, Raudah, Multazam, Rukun Yamani, Gua Hira' Jabal Nur dan banyak lagi.

Bagi Saiful, sudah dua tahun setengah dia menanti agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan beliau tabah menghadapinya. Biarpun belum selesai, beliau redha dan bersyukur dengan segala bantuan yang Allah berikan. Banyak hikmah di sebalik kelewatan, penangguhan demi penangguhan, katanya.

“Mungkin ramai yang telah dapat lihat hikmah di sebaliknya. Itulah kebesaran Allah. Dia Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.”

Ujar Saiful, dia tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kuasa, pengaruh, wang untuk berjuang, hanya Allah SWT tempat beliau mohon dan mengadu.

“Walaubagaimanapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah! Kebenaran pasti akan bangkit jua akhirnya,”katanya.

Menurut laporan Agendadailylagi, Saiful yang mengalami berbagai-bagai tekanan berikutan tindakan Anwar suka membuat permohonan tangguh perbicaraan kes liwatnya berkata antara doa yang dipohon - agar terus diberi kekuatan untuk istiqamah dalam menegakkan kebenaran, diampuni dosa-dosa, kesejahteraan dan keselamatan keluarga, agama, umat, bangsa dan tanah air tercinta.
“Juga, mohon rakyat dibukakan Hijjab agar diperlihatkan yang HAQ dan dilenyapkan segala yang batil!,” katanya.
Mendengar dan mengambil pengajaran daripada tindakan Mohd Saiful bermuhabalah atau sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan, keyakinan semakin menyerlah di hati kita bahawa apanya yang diperkata dan diakui Saiful itu memang menimpannya.

Peliknya, sehingga ke hari ini Anwar masih tidak berani melakukan tindakan serupa sebaliknya membawa kes itu ke Mahkamah Syariah supaya Mohd Saiful dikenakan Hukum Qazaf kerana membuat dakwaan diliwat tanpa bukti dan saksi menurut Islam.

Mungkin ada kebenarnya apabila Zulkifli menasihatkan: “Cukuplah para pak jangoat menghina ALLAH dengan memartabatkan manusia yang dituduh meliwat sebagai pemimpin anugerah tuhan. Cukuplah menggadaikan anak isteri untuk dagangan politik. Cukuplah menghina dan meludah bangsa sendiri. Cukuplah dengan menjual nama ALLAH Maha Esa untuk disyirikkan…Beban yang pemimpin anugerah tuhan pun tidak akan dapat menolong kamu. Bertaubatlah sebelum terlambat!