Saturday, June 12, 2010

Istana Johor Sahkan Penarikan Balik Darjah Kebesaran Chua Jui Meng

Abdul Rahim Ramli Tunjuk Buku Peraturan Bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia.

Jumaah Majlis Diraja Johor mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk terhadap anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chua Jui Meng tetapi menafikan ia berpunca daripada tekanan politik.

Selain itu, Jumaah turut mengesahkan penarikan balik darjah kebesaran terhadap tiga lagi yang membawa gelaran Datuk.

Tiga lagi ialah wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, dan dua individu lain, Komander Shaftdean Lufty Rusland dan Hassan Yunos.


Shaftdean Lutfy adalah suami kepada Tunku Muna Najiah Sultan Iskandar manakala Hassan seorang peguam.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata kuasa Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran adalah "melampaui politik."

"Tidak wujud keadaan yang dikatakan sebagai tekanan politik untuk menganugerahkan atau menarik balik darjah kebesaran itu. Sultan Johor tidak mempunyai kaitan dengan politik. Ahli politik tidak mempunyai hak dalam perkara ini," kata beliau pada sidang media di Istana Besar.

Sultan Johor katanya, berkuasa penuh terhadap perkara itu di bawah Fasal 12 Undang-undang dan Peraturan bagi Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia dan Fasal 7(f) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895.

Ditanya mengenai sebab disebalik langkah penarikan balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Chua itu, Abdul Rahim berkata, Sultan Johor tidak perlu memberikan sebab kerana itu adalah kuasa baginda.

"Baginda tidak perlu memberikan sebab kerana ia adalah kuasa Raja," katanya dan menambah Chua dianugerah Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) oleh Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar, kedua-dua darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk.

Abdul Rahim berkata tiga pertimbangan utama diberikan dalam penganugerahan darjah kebesaran iaitu kesetiaan, kerajinan dan perkhidmatan terpuji.

Katanya beliau telah memaklumkan tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran itu kepada Chua menerusi satu surat bertarikh 4 Jun dan disusuli panggilan telefon pada 8 Jun dan semalam.

Katanya, surat itu telah dihantar ke kediaman Chua di Damansara, Kuala Lumpur.

Chua, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA, sebelum ini berkata beliau belum menerima sebarang surat rasmi dari Istana Johor tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran itu.

Chua turut berkata, beliau akan hanya memulangkan darjah kebesaran itu jika menerima surat rasmi.

Menurut Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor itu, panggilan telefonnya kepada Chua itu boleh dianggap sebagai satu pemberitahuan rasmi tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran Sultan Johor itu.

"Chua dikhendaki memulangkan kembali darjah kebesaran Sultan Johor itu secepat mungkin," katanya.

No comments: