Monday, September 7, 2009

POLITICAL COMEBACK UNTUK TAN SRI MOHD ISA

Sumber: Berita Harian/Utusan Malaysia

Umno dijangka meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sumber berkata, pemilihan itu berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki Mohd Isa yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.
Laporan Berita Harian menyebut, Badan Perhubungan Umno negeri dilaporkan akan meminta pucuk pimpinan parti untuk mencalonkan Mohd Isa yang amat dikenali dan disenangi penduduk Bagan Pinang.

"Umno negeri dan bahagian Teluk Kemang pada prinsipnya bersetuju untuk memilih Mohd Isa sebagai calon BN. Beliau mempunyai karisma dan pengalaman yang luas sebagai pemimpin di peringkat parti serta pentadbiran kerajaan," katanya ketika dihubungi.

KETUA Penerangan Umno, Ahmad Maslan (tiga dari kiri) berkata sesuatu Mohd Isa sebelum Mesyuarat Jentera Penyelarasan Umno Bahagian Telok Kemang di Port Dickson, semalam.

Mohd Isa ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu kerana menghormati
pemergian Azman yang juga rakan karibnya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (HPS), kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Azman dari BN mendapat 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Ramli memperoleh 4,097 undi.

Kira-kira 64 peratus pengundi di DUN Bagan Pinang adalah Melayu manakala pengundi India 20 peratus, Cina (10.8 peratus) dan lain-lain pengundi 5 peratus.

Mohd Isa, 60, yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Umno antara 2004 hingga 2007, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai 1982 sehingga 2004 dan pernah dilantik menjadi Menteri Kabinet pada 2004.

Sumber itu berkata lagi, BN berpeluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil itu berdasarkan sokongan akar umbi Umno terhadap Mohd Isa walaupun pernah digantung daripada parti kerana dikatakan terbabit politik wang.

Satu analisis dalam Utusan Malaysia kelmarin pula menyebut, setelah kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Nor pada Jumaat lalu, tumpuan seluruh negara beralih pula ke kawasan Port Dickson untuk menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil.

Di Negeri Sembilan ketika ini, khususnya di sekitar Parlimen Teluk Kemang, nama Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi Barisan Nasional (BN).

Selain Mohd. Isa yang pernah menjadi Menteri Besar selama 23 tahun dan Naib Presiden UMNO, seorang calon lain ialah anaknya sendiri, Mohd. Najib - Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Teluk Kemang.

Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Ismail Taib adalah ADUN Pasir Panjang dan exco kerajaan negeri. Naib Ketua bahagian pula kosong berikutan kematian Azman.

Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Faizal Ramli yang juga Exco Pemuda UMNO pusat pula pernah menjadi wakil rakyat Bagan Pinang sebelum tempatnya digantikan oleh Allahyarham. Seorang lagi pimpinan yang tidak boleh dilupakan ialah Ketua Wanita UMNO bahagian, Rohani Yaakob.

Mengambil kira sentimen tempatan dan sokongan akar umbi dalam konteks UMNO bahagian itu, pemilihan Mohd. Isa sebagai calon mungkin keputusan terbaik.

Faktor Ketua UMNO bahagian dan statusnya sebagai bekas menteri besar menjadikan Mohd. Isa sebagai pemimpin paling berpengaruh di Teluk Kemang ketika ini.

Dominasi kepimpinannya tidak pernah terjejas mahu pun luntur walaupun pernah digantung keahlian parti.

Kekuatannya di Teluk Kemang boleh diukur apabila keseluruhan cawangan UMNO memberi pencalonan kepadanya untuk menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO bahagian dalam pemilihan lalu. Sedangkan ketika itu beliau baru tamat penggantungan keahlian UMNO.

Semua anggota barisan kepimpinan di bahagian itu termasuk dalam Pemuda, Wanita dan Puteri merupakan anak didik beliau. Jadi, jika Mohd. Isa menjadi calon BN, soal kekuatan jentera pilihan raya BN sudah pasti tidak akan menjadi masalah.

Difahamkan, Mohd. Isa telah menyatakan 'kesediaannya' memikirkan perkara itu apabila diajukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu pertemuan di Port Dickson kelmarin.

Perkiraan Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilah mudah untuk dibaca. Beliau bukan hanya mahu calon terbaik malah dipersetujui pemimpin dan akar umbi serta diyakini akan menang. Dan, paling penting sudah tentulah Mohamad mahu calon yang dipilih nanti tidak disabotaj oleh jentera BN atau orang UMNO sendiri.

Beberapa pemimpin bahagian itu secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Mohd. Isa sebagai calon untuk membolehkan beliau 'dikembalikan' semula dalam arena politik Negeri Sembilan.

Seorang ahli jawatankuasa bahagian itu memberitahu, UMNO Teluk Kemang akan hanya menghantar nama tunggal - "Mohd. Isa" - kepada kepimpinan UMNO Negeri dan Pusat.

Seorang pemimpin Pemuda di bahagian itu turut sependapat.

"Semua kepimpinan bahagian setuju untuk hantar nama tunggal kepada pucuk pimpinan UMNO iaitu Mohd. Isa. Beliau telah menabur jasa bukan saja di Teluk Kemang malah di seluruh negeri.

"Isu politik wang sudah berakhir kerana penggantungan keahliannya sudah lama berakhir, beliau tiada kes lain. Ada juga pemimpin yang terbukti bersalah tetapi masih pegang jawatan penting dalam parti. Bagi kami itu bukan isu di sini," katanya.

Seorang sumber lain pula mengakui bahawa sekiranya Mohd. Isa menolak tawaran, pilihan terbaik ialah Mohd. Najib.

"Sejak hampir 30 tahun memimpin kami, semua orang di kawasan ini kenal baik bukan saja dengan Tan Sri (Mohd. Isa) malah anak-anaknya termasuk Mohd. Najib yang aktif dalam Pemuda," kata sumber itu.

Mengenai peluang Mohd. Faizal untuk dicalonkan semula, sumber dari UMNO bahagian itu berkata, Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut sendiri menyatakan bahawa adalah lebih tepat jika Mohd. Isa atau Mohd. Najib dicalonkan.

"Mohd. Faizal sendiri lebih suka kalau Mohd. Isa yang pernah menjadi Naib Presiden 'dikembalikan' semula ke arena politik negeri dan tanah air.

"Beliau masih mampu untuk bekerja membantu rakyat di Teluk Kemang khususnya di DUN Bagan Pinang. Jika beliau menolak, Mohd. Najib adalah pilihan kedua," katanya.

Perlu dinyatakan bahawa, kekalahan tiga daripada lima kerusi DUN dalam Parlimen Teluk Kemang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu Chuah, Lukut dan Port Dickson adalah ketika Mohd. Isa tidak mengetuai UMNO Bahagian kerana keahliannya masih digantung.

Bagi BN, ini adalah kekosongan ketiga kerusi milik parti itu sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRU12.

BN yang kalah dalam tujuh pilihan raya kecil selepas PRU12 terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada Pas apabila kalah pada 17 Januari lalu. Bagaimanapun, BN mempertahankan DUN Batang Air di Sarawak pada 7 April.

Selain itu, BN kalah di Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan lima lagi pada tahun ini - Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau (7 April), DUN Penanti (31 Mei), DUN Manek Urai (14 Julai) dan DUN Permatang Pasir (25 Ogos).

Sebab itulah pertandingan di Bagan Pinang bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya lebih besar maknanya buat BN.

Di Negeri Sembilan nampaknya, kepimpinan negeri khususnya dalam UMNO sudah menyedari bahawa BN tiada pilihan kecuali memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Ada dua sebab utama iaitu pertama, kekalahan tentu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri goyang dan tidak selamat.

Ini kerana BN sebelum ini hanya mempunyai 20 kerusi iaitu kelebihan empat kerusi berbanding 16 wakil pakatan pembangkang.

Dari segi hakikat suara dalam DUN Negeri Sembilan sebelum ini, hanya 19 wakil rakyat BN boleh mengundi. Ini kerana seorang lagi ADUN, Datuk Razak Mansor dilantik sebagai Speaker DUN yang hanya boleh memberi undi pemutus ketika keputusan seri.

Sebab itu, peringatan kepada BN ialah jika kalah di DUN Bagan Pinang, pakatan pembangkang akan meningkat suaranya kepada 17 undi dalam DUN manakala suara BN kurang satu kepada 18 undi iaitu hanya kelebihan satu undi.

Sebab kedua yang tidak kurang pentingnya demi kelangsungan BN dan UMNO ialah kemenangan di Bagan Pinang bakal menamat atau menghentikan momentum di pihak pakatan pembangkang yang menang berterusan dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini.

BN harus sedar dalam suasana politik semasa, faktor jaminan "calon mampu menang" amat penting dan majoriti 2,333 yang diperoleh dalam PRU12 bukanlah jaminan untuk mengekalkan kerusi itu.

Pas menerusi calonnya, Ramli Ismail telah membuktikan parti itu semakin diterima di Bagan Pinang apabila memperoleh 4,097 undi. Undi majoriti untuk BN merosot berbanding majoriti 4,411 undi pada PRU11.

Dengan tidak meletakkan Mohd. Isa atau Mohd. Najib sebagai calon, bukanlah bermakna BN bakal berdepan kesukaran mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Sebaliknya, pemilihan Mohd. Isa atau Mohd. Najib bagi memenuhi sentimen dan kehendak kepimpinan UMNO serta rakyat di Bagan Pinang atau Teluk Kemang khususnya sudah pasti mempermudahkan jentera BN.

Pada masa yang sama, ia juga memberi lebih jaminan untuk usaha BN mengekang kemaraan pakatan pembangkang.

Apa pun kini, selain keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan parti, soal siapa calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang kini terletak di tangan Mohd. Isa sendiri selaku Ketua UMNO bahagian dan pimpinan bahagian yang sentiasa menyokongnya selama ini.

No comments: