Tuesday, June 9, 2009

SIS – PAS CARI PASAL?

Apakah PAS mula menempah jalan sukar dalam pakatan pembangkang?
Bermula dengan isu kerajaan perpaduan, kini melalut pula kepada isu Sisters in Islam.

Muktamar Tahunan PAS Ke-55 menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya.
Gesaan itu terkandung dalam salah satu yang diterima tanpa bahas kelmarin. Usul itu dikemukakan oleh PAS kawasan Shah Alam.
Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Ternyata apa yang diputuskan oleh PAS bukanlah pendirian sekutunya dalam pakatan pembangkang. SIS tahu pendirian DAP dan PKR dan kerana itu ia berani menempelak PAS.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengecam tindakan PAS meminta parti itu diharamkan jika perjuangannya bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Pengurus Program SIS, Norhayati Karpawi, PAS merupakan sebuah parti politik yang autokratik dan hipokrit dalam perjuagannya.

"PAS bersifat autokratik dan tidak mendokong prinsip demokrasi yang dilaung-laungkannya selama ini. Hal ini jelas bertetangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara yang diamalkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," kata Pengurus Program SIS, Nohayati Karpawi kepada mStar Online kelmarin.

Beliau mengulas berkenaan usul PAS berkenaan sambil berkata, pada ketika PAS sering melaungkan isu mengenai kebebasan bersuara, sebenarnya ia berpersatuan untuk kepentingan parti itu semata-mata.

"Jika mereka tidak setuju dengan perjuangan kita kenapa perlu minta kerajaan SIS. Hanya kerana kami perjuangkan hak wanita, kami dilabel sebagai bersikap 'feminis'..Ini tidak betul dan ada 'double standard' di sini..

"Mereka (PAS) tidak boleh membuat tuduhan melulu, mereka perlu buktikan jika perjuangan kami menyeleweng dari ajaran Islam," katanya.

PAS dianggap 'angkuh' apabila meminta SIS diharamkan.

"Lihatlah mereka (PAS) belum dapat kuasa sudah begini, apa akan jadi bila mereka berkuasa nanti. Mereka akan gunakan nama Islam untuk membuat perkara-perkara lain pula. "Parti gabungan dalam Pakatan Rakyat seperti, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu buat pendirian yang jelas dalam isu ini kerana pendirian PAS terhadap SIS akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Desakan Norhayati mendapat respon yang baik daripada DAP apabila parti itu mengatakan ia memandang serius terhadap usul yang diluluskan oleh muktamar PAS semalam untuk mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan SIS. "Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama," kata Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Dalam satu kenyataan, Teresa berkata sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat Umno dan BN yang patut ditolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

"SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka.

"Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita," katanya.Teresa berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah pakatan pembangkang untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin dan dilindungi.

Semua pihak, tambahnya, menghormati Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.

"Pada masa yang sama, Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

"Selama ini, kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan Umno dan BN.

"Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat," tambahnya.

No comments: