Penulis merasakan ada benarnya pendapat AWANG SELAMAT dalam Mingguan Malaysia hari ini mengatakan kenapa pihak berwajib takut bertindak.
Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai penghinaan terhadap Raja, khususnya Sultan Azlan Shah.
Kita pun tidak faham dengan kerajaan sekarang. Apa yang mahu dijaganya?
Telah banyak pandangan daripada banyak pihak yang mahukan tindakan diambil tersmasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.
Penulis seperti juga Awang - amat bimbang kerana ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu.
Janganlah terlalu memberikan muka, nanti kepala kita sekali dipijaknya.
Kenapa takut bertindak?
(Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009)
Gelombang kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Sah dalam isu peralihan kerajaan negeri itu, adalah mesej yang cukup jelas. Banyak demonstrasi di seluruh negara diadakan bagi mempertahankan raja.
Awang percaya para pemimpin pembangkang khususnya tiga watak utama dalam kemelut tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah faham mesej yang disampaikan oleh rakyat.
Belum terlambat bagi mereka semua memohon maaf kepada Sultan Perak. Begitu juga kepada perusuh di hadapan istana dan kenderaan raja.
Seandainya ada yang ingkar dan terus berdegil, inilah masa untuk bertindak. Tidak guna lagi kita bercakap banyak dan hanya memberi peringatan. Jika pihak berkuasa membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja (sebagaimana kes kenyataan Karpal yang didakwa menghina Sultan Perak pada tahun lalu), ia juga secara tidak langsung adalah penghinaan kepada raja.
Sebagai negara raja berperlembagaan, tiada sesiapa boleh dibenarkan menghina dan memperlekehkan raja. Jika kita berlembut, ia akan membawa isyarat yang salah dan mendorong banyak pihak melakukan perkara lebih dahsyat ke atas institusi raja negara ini pada masa depan.
Pada hari ini pun, sudah banyak reaksi liar dan memburukkan raja berlegar menerusi internet akibat daripada tindakan secara terbuka mencabar Sultan Azlan. Nizar sanggup menderhaka, Anwar berdasarkan kenyataannya mahu Nizar terus menjadi MB walaupun tidak lagi sah (berlawanan dengan titah raja) dan Karpal terus mempersoalkan Sultan Perak selain mahu menyaman baginda.
Awang setuju dengan pandangan banyak pihak yang mahukan tindakan diambil. Antaranya melucutkan kewarganegaraan, dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.
Dalam kita perlu bijaksana melaksanakan hukuman, kita juga tidak boleh kelihatan takut dan teragak-agak. Susah sangatkah mahu melucutkan kewarganegaraan? Seperkara lagi, apa guna ada ISA, jika orang yang menghina raja, tidak boleh ditahan? Anehnya, ada kes yang ditafsir ramai tiada kewajaran dikenakan ISA, diambil pula tindakan. Banyak pengajaran daripada isu ini tetapi apakah kita semua mengambil pengajaran?
Sudah tentu juga banyak persoalan yang timbul antaranya mengapa hanya orang Melayu tampil berdemonstrasi menyokong raja sedangkan baginda juga menaungi rakyat semua kaum sebagaimana terbukti dengan penganugerahan darjah kebesaran saban tahun.
Awang bimbang jika kita tidak berani bertindak, ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
No comments:
Post a Comment