Saturday, January 3, 2009

BANK SABOTAJ PROTON?

(Utusan Malaysia, 2 Jan 2009)

Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) hari ini meminta kerajaan segera campur tangan berhubung polisi sewa beli kenderaan oleh institusi perbankan untuk memastikan industri automotif negara terus bernyawa dalam menghadapi krisis ekonomi global.
Timbalan Presiden Peda, Armin Baniaz Pahamin mendakwa, pada masa sekarang profail risiko pinjaman bagi kereta Proton yang ditetapkan oleh bank adalah lebih tinggi berbanding kereta lain.

‘‘Banyak kes-kes pinjaman kereta Proton telah ditolak oleh bank tetapi permohonan bagi kenderaan lain oleh pemohon pinjaman sama diluluskan pula,’’ katanya di sini hari ini.
Menurutnya, campur tangan itu perlu ketika ini kerana industri automotif, khususnya kereta Proton, amat memerlukan sokongan bank untuk mengelak daripada mengalami kerugian besar atau kemungkinan ‘gulung tikar’.

Bagaimanapun, katanya, impak kegawatan dalam industri itu dapat dikurangkan jika kemerosotan jumlah jualan kereta dapat dikawal.

Tambah beliau, jualan kereta di Malaysia pada hari ini dipengaruhi hampir sepenuhnya oleh institusi perbankan, baik vendor, pembekal, pengedar-pengedar kereta mahupun pelanggan, semuanya bergantung kepada kemudahan sewa beli yang disediakan oleh bank.

‘‘Industri automotif adalah unik kerana pasarannya tidak memihak kepada pengedar atau pembeli sebaliknya dikuasai sepenuhnya oleh bank melalui pembiayaan pinjaman kenderaan.
‘‘Memang benar kualiti, teknologi enjin dan juga reka-bentuk kereta adalah penting untuk mempasti melariskan jualan tetapi kereta yang mempunyai kualiti, reka bentuk dan teknologi yang terbaik sekalipun, tidak menjamin apa-apa untuk mendapat pembiayaan daripada bank,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, Peda merayu agar kerajaan dapat campur tangan dalam polisi pinjaman sewa beli kenderaan untuk mengawal jualan kereta nasional itu daripada merosot.

‘‘Memang kita tidak dapat mengelak daripada masalah kegawatan ekonomi sedunia dan industri automotif juga akan merosot tetapi kita akan dapat kurangkan impak tersebut dengan adanya campur-tangan dari kerajaan dalam institusi perbankan,’’ jelasnya.

Pada masa yang sama, Peda turut menyarankan agar Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar pinjaman sehingga 100 peratus dengan jangkamasa pinjaman selama 12 tahun.

Selain itu, persatuan berkenaan juga meminta profail risiko diubah bagi memudahkan kelulusan pinjaman sewa beli oleh pelanggan.

Dalam pada itu, Armin Baniaz berkata, ketiadaan badan tertentu yang diiktirafkan untuk menilai harga kereta terpakai seolah-olah membenarkan institusi perbankan melakukan penindasan kepada pemilik kenderaan.

Katanya, pada masa ini, harga kereta terpakai di Malaysia ditetapkan oleh bank melalui peratusan pinjaman yang dibenarkan.

Menurut beliau, dengan tidak ada penilaian rasmi untuk kereta terpakai, pelanggan yang membeli kereta dengan tempoh pinjaman yang panjang, tidak akan dapat menjual kereta tersebut dan kereta yang ditarik kerana bayaran tertunggak akan dilelong pada harga yang lebih murah menyebabkan peminjam diiktiraf bankrap.

‘‘Keadaan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan industri automotif kerana pelanggan tidak dapat menukar kereta sedia ada dan disenaraihitamkan apabila peminjam tidak dapat membayar baki pinjaman kereta yang ditarik, dilelong dengan harga yang lebih murah dari baki pinjaman,’’ katanya.

Armin Baniaz menambah, institusi bank juga mendiskriminasi pengedar-pengedar kereta dengan mengkategorikan pengedar-pengedar yang mengambil kemudahan bank dan melalui perbezaan caj dan penalti yang dikenakan.

‘‘Keadaan pengedar-pengedar kereta akan menjadi lebih teruk jika aktiviti institusi perbankan yang membebankan pengguna dan industri automotif tidak dikawal terutama pada krisis ekonomi ini,’’ katanya.

Thursday, January 1, 2009

Pemimpin India mahu kekal dalam PKR walaupun Manika letak jawatan parti

ANTARA pemimpin India dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengetuai pertemuan di Kuala Lumpur petang tadi. Dari kiri Datuk Ravi Dharan, P. Jenapala, S. Manikavasagam dan S. Jayathas. - foto The Star oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Pertemuan kira-kira 50 pemimpin India Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesaikan segera masalah-masalah yang menyentuh kepentingan masyarakat India.

Justeru, mereka memutuskan untuk kekal dalam PKR sementara mengambil usaha untuk mencari mencari jalan penyelesaian ke atas isu dan masalah yang memerlukan perhatian mendalam kepimpinan parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Perkara itu diputuskan dalam pertemuan anjuran badan informal - Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India PKR - lebih sejam di sini.

Pengerusi jawatankuasa itu, P. Jenapala berkata, pihaknya masih yakin dapat mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang wujud dengan mengatur pertemuan dengan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Pertemuan itu memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa diketuai ahli sepanjang hayat PKR, Datuk Ravi Dharan untuk mengatur perbincangan dengan Anwar.
Ravi, ahli perniagaan berkata, beliau telah diminta oleh Anwar untuk menghadiri mesyuarat petang ini.

"Kami berpendapat ada isu-isu yang belum diselesaikan, tetapi kami tidak akan keluar parti (PKR)," kata Jenapala pada sidang media selepas pertemuan itu.

Tanpa menyebut sama ada memberi kata dua kepada pucuk kepimpinan PKR, Jenapala berkata, "kita tunggu (buat sementara) untuk mencari jalan penyelesaian... kita memerlukan perbincangan dan dialog."

"Kita yakin ia boleh dilakukan... kita tunggu dulu," katanya.
Pertemuan itu berlangsung kira-kira empat jam sebelum mesyuarat bulanan Biro Politik PKR malam ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Dr. Syed Husin Ali.

Sebelum ini, Jenapala berkata, pertemuan terbesar sejak pilihan raya umum Mac lalu diadakan bagi menentukan ala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.
Pertemuan yang dilihat sebagai "amat penting" akan membincangkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan ekoran dakwaan bahawa masyarakat India juga terus 'didiskriminasi dan dipinggirkan' oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu.

Forum hari ini yang berpusatkan isu Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, yang sebelum ini berhasrat untuk keluar PKR, diadakan untuk membincangkan beberapa opsyen.

Antara opsyen ialah keluar beramai-ramai daripada Pakatan Rakyat dan menubuhkan parti sendiri yang bagi mewakili kepentingan masyarakat India ataupun kekal dalam Pakatan Rakyat dengan terus mendesak agar tuntutan masyarakat India dibela dengan adil dan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam selepas Manikavasagam mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor.

Malah Manikavasagam juga hadir dalam pertemuan itu.
Beliau satu-satunya wakil rakyat masyarakat India dalam PKR yang hadir.

Sebahagian besar pemimpin yang hadir hari ini merupakan pemimpin masyarakat India di peringkat negeri.

Selepas mengumumkan keputusannya di sebuah hotel di Petaling Jaya, Manikavasagam menghadiri pertemuan itu yang diadakan di sini.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, beliau telah menjelaskan pendirian dalam isu melepaskan jawatan negeri pada pertemuan itu.

Ketika ditanya pendiriannya memandangkan pertemuan hari ini memutuskan tiada ahli yang akan keluar PKR, Manikasagam berkata:

"Buat masa sekarang saya keluar sebagai Timbalan Pengerusi negeri, tunggu hingga 15 Januari, saya akan balik dari Chennai dan akan cuba untuk menemui Anwar pada 15 Januari dan berbincang."

"Tunggu, tunggu (sehingga pertengahan Januari," kata beliau apabila ditanya sama ada akan keluar jika masih tiada penyelesaian selepas menemui Ketua Pembangkang di Parlimen itu.