Thursday, June 11, 2009

KALAU DAH ‘DOK ROK SECETUNG’

Sedap sungguh membaca tulisan Malek Saiful Muda dalam http://citra-bangsa.blogspot.com bertajuk “GENG 10 : ADA TIGA CALON MB ‘IN WAITING” bertarikh 7 Jun 2009.

Menurut penulis berkenaan kini di Terengganu gempar kononnya ada tiga puak sedang menjulang pemimpin mereka untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar bagi mengganti Datuk Ahmad Said.

Sebelum ini jika tidak silap Datuk Rasol Wahid sudah menyatakan beliau tidak berminat jadi Menteri Besar.

Apapun baca dulu. Kemudian baca komen selepas membaca apa yang ditulis oleh Malek Saiful Muda:

GEMPAR! Kini terdedahlah cerita yang cukup mengemparkan. Geng 10, iaitu mereka yang terlibat memboikot sidang DUN Terengganu rupa-rupanya sudah mula berpecah.

Dari 10 ADUN ini, rupa-rupanya masing-masing ada ketua sendiri-sendiri, yang mereka rasakan layak menjadi Menteri Besar, sekiranya Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) masih tidak diterima pihak istana.

Dari 10 ADUN ini, sudah mempunyai tiga puak. Mereka bersatu dalam Geng 10 di belakang DSIJ tetapi jika DSIJ kekal tidak dapat menjadi MB Terengganu semula, dari 10 ADUN ini, ada tiga yang sedang memasang badan, mahu menjadi MB Terengganu, menggantikan MB sekarang, Datuk Ahmad Said.

Ada tiga ADUN mahukan Datuk Din Adam (ADUN Bukit Besi) menjadi MB Terengganu, ada tiga lagi ADUN mahukan Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil) dan ada empat ADUN mahukan Alias Abdullah (ADUN Alur Limbat).

Rupa-rupanya, Geng 10 hanya mahu bersatu jika DSIJ dilantik semula menjadi MB tetapi jika tidak, masing-masing ada ‘calon mereka sendiri’.

Din Adam didakwa cukup yakin dia boleh menjadi MB Terengganu kerana hubungan rapatnya dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dialah salah seorang ADUN yang begitu celupar menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said ketika pertemuan ADUN dengan Hishammuddin yang diadakan di KDN, tidak lama dulu. Khabarnya, Hishammuddin enggan mengadakan pertemuan dengan ADUN dan ketua-ketua bahagian di rumahnya walaupun waktu malam, bimbang masing-masing membawa penyokong yang menjadikan situasi sukar dikawal.

Sementara itu, mereka yang menyokong Rosol pula mendakwa, Rosol merupakan ‘proksi’ DSIJ di Terengganu dan jika putih kata DSIJ, maka putihlah kata Rosol dan jika hitam kata DSIJ, maka hitamlah kata Rosol yang menyebabkan mereka yang menyokong Rosol berpendapat, hanya Rosol sahaja yang mampu memulihkan imej DSIJ dalam politik Terengganu, jika dia berjaya menjadi Menteri Besar.

Setakat ini, Rosol merupakan salah seorang dari anggota Geng 10 yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berhasrat menjadi MB Terengganu jika Datuk Ahmad Said mahu digantikan. Kata Rosol, dia sedar, dia tidak akan berhasrat menjadi MB Terengganu kerana sedar kemampuan yang dia ada.

Din dan Rosol kini tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat Umno bahagian. Din tewas dalam usahanya mahu menjadi Ketua Umno Bahagian Dungun manakala Rosol tewas dalam usahanya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Sementara itu, ADUN Alur Limbat, Alias Abdullah didakwa cukup berkeyakinan mampu menjadi MB Terengganu kerana dialah satu-satunya ADUN yang bukan ‘cap ayam’ tetapi orang lain dianggapnya sebagai ‘cap ayam’ termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Seorang penyokong Alias mendakwa, Alias kini sedang berusaha menyaingi populariti Ketua Umno Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan merupakan salah seorang ketua bahagian yang menjadi ADUN, selain dari Datuk Ahmad Said dan DSIJ.

Alias pula adalah timbalan ketua bahagian Marang dan merupakan seorang jurucakap Geng 10 yang agak terkehadapan dan dilihat sanggup berdepan dengan pihak istana, selain dari Rosol dan Din Adam. Khabarnya, Alias didakwa yakin Istana Terengganu tidak akan menolak namanya jika dicadangkan menjadi MB.

Sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat disahkan tetapi Geng 10 kini sudah semakin berpecah, lebih-lebih lagi DSIJ dikatakan tidak berada di dalam negara ketika bekas Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana tuduhan menghantar SMS yang mengancam nyawa tiga ADUN dan memfitnah SUSK Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda.

Dari laporan akhbar, ketika Dr. Ahmad Ramzi dihadapkan ke mahkamah, tidak seorang pun dari anggota Geng 10 yang tampil memberi sokongan moral kepada bekas SetPol MB Terengganu ini menyebabkan banyak pihak mendakwa, masing-masing mahu menyalahkan Dr. Ahmad Ramzi yang ‘tersilap strategi’ ketika isu ini dicipta.

Tidak pula ada mana-mana pihak yang memberitahu apakah ketiga-tiga ‘MB in waiting’ ini sudah menempah sut baru atau membeli tali leher baru untuk persiapan menjadi Menteri Besar Terengganu tetapi ada cerita yang tidak boleh disahkan memberitahu, baju Melayu hitam masing-masing sudah dihantar dobi untuk cucian kering (dry cleaning).

Baiklah, selepas membaca keseluruhan rencana ini, cuba renungkan beberapa persoalan berikut:

1. Kumpulan ini berpadu kerana kepentingan bersama – menuntut Ahmad Said turun;

2. Masing-masing mempunyai kepentingan diri dan masing-masing bercita-cita tinggi;

3. Jelas matlamat mereka mahu Ahmad Said turun bukan kerana kepentingan rakyat tetapi kepentingan diri;

4. Mahu dikatakan Ahmad Said cap ayam, apa kelebihan Din Adam, Rasol atau Alias sendiri (cemerlangkah Alias ketika berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini?)

5. Yang paling penting, siapa mereka ini menawarkan diri jadi Menteri Besar?

Berasaskan kepada cara perlantikan Menteri Besar, apakah calon-calon ini layak? Ketua Bahagiankah mereka? Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin berkenankah dengan mereka?

Seperti Rasol, dia kata tidak hendak jadi Menteri Besar – persoalannya siapa mahu lantik di jadi Menteri Besar?

Atau kalaupun Din Adam amat rapat dengan Hishamuddin, apalah dia akan dicadangkan oleh Perdana Menteri atau Timbalannya? Sekolah tidak tinggi mana, tidak usahlah berangan-angan.

Kalau semua kelayakan dan sokongan tidak ada, janganlah nak tonjolkan diri bagai ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

‘Ukur kot atau baju Melayu di badan sendiri’ dan jangan diri rasa boleh tetapi hakikatnya kesemua mereka ini ‘Dak Rak Secetong’.

Tuesday, June 9, 2009

SIS – PAS CARI PASAL?

Apakah PAS mula menempah jalan sukar dalam pakatan pembangkang?
Bermula dengan isu kerajaan perpaduan, kini melalut pula kepada isu Sisters in Islam.

Muktamar Tahunan PAS Ke-55 menggesa kerajaan mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya.
Gesaan itu terkandung dalam salah satu yang diterima tanpa bahas kelmarin. Usul itu dikemukakan oleh PAS kawasan Shah Alam.
Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Ternyata apa yang diputuskan oleh PAS bukanlah pendirian sekutunya dalam pakatan pembangkang. SIS tahu pendirian DAP dan PKR dan kerana itu ia berani menempelak PAS.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengecam tindakan PAS meminta parti itu diharamkan jika perjuangannya bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Pengurus Program SIS, Norhayati Karpawi, PAS merupakan sebuah parti politik yang autokratik dan hipokrit dalam perjuagannya.

"PAS bersifat autokratik dan tidak mendokong prinsip demokrasi yang dilaung-laungkannya selama ini. Hal ini jelas bertetangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara yang diamalkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," kata Pengurus Program SIS, Nohayati Karpawi kepada mStar Online kelmarin.

Beliau mengulas berkenaan usul PAS berkenaan sambil berkata, pada ketika PAS sering melaungkan isu mengenai kebebasan bersuara, sebenarnya ia berpersatuan untuk kepentingan parti itu semata-mata.

"Jika mereka tidak setuju dengan perjuangan kita kenapa perlu minta kerajaan SIS. Hanya kerana kami perjuangkan hak wanita, kami dilabel sebagai bersikap 'feminis'..Ini tidak betul dan ada 'double standard' di sini..

"Mereka (PAS) tidak boleh membuat tuduhan melulu, mereka perlu buktikan jika perjuangan kami menyeleweng dari ajaran Islam," katanya.

PAS dianggap 'angkuh' apabila meminta SIS diharamkan.

"Lihatlah mereka (PAS) belum dapat kuasa sudah begini, apa akan jadi bila mereka berkuasa nanti. Mereka akan gunakan nama Islam untuk membuat perkara-perkara lain pula. "Parti gabungan dalam Pakatan Rakyat seperti, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu buat pendirian yang jelas dalam isu ini kerana pendirian PAS terhadap SIS akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Desakan Norhayati mendapat respon yang baik daripada DAP apabila parti itu mengatakan ia memandang serius terhadap usul yang diluluskan oleh muktamar PAS semalam untuk mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan SIS. "Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama," kata Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Dalam satu kenyataan, Teresa berkata sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat Umno dan BN yang patut ditolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

"SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka.

"Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita," katanya.Teresa berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah pakatan pembangkang untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin dan dilindungi.

Semua pihak, tambahnya, menghormati Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.

"Pada masa yang sama, Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

"Selama ini, kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan Umno dan BN.

"Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat," tambahnya.

Monday, June 8, 2009

KOLAM RENANG BATU BUROK BERISIKO?

www.kijang-jantan.blogspot.com (7 Jun 2009)

Apabila Datuk Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu, mesti ada sebabnya.

Ia antara tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang selain terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita minggu lalu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Masalah itu didedahkan oleh peniaga kedai berkenaan yang melahirkan kebimbangan keadaan akan bertambah buruk jika ia tidak ditangani dengan segera.

Seorang peniaga, Siti Hajar Nadia Abdullah, 23, berkata, air mula meresap masuk ke dalam kedainya sejak sebulan lalu. ''Masalah ini tidak berlaku bila saya mula berniaga di kedai ini pada April lalu.''Bagaimanapun, sejak bulan lalu, saya dapat lihat air dari kolam renang meresap masuk ke kedai menyebabkan air bertakung di lantai," katanya.

Katanya, pekedai bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka sedang berniaga.
Seorang lagi peniaga, Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata, air meresapi dinding hingga memasuki lorong yang memisahkan kedai dan kolam renang.

Dia bimbang jika masalah itu dibiarkan, keretakan akan berlaku dan membahayakan nyawa peniaga. Beliau meminta kerajaan negeri segera mengambil tindakan sekurang-kurangnya terhadap masalah air meresap ini supaya melegakan peniaga.

Berikutan itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said semalam melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini.

Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.
Sementara itu sebuah blog melaporkan satu sumber yang dipercayai memberitahu MEDIA BYPASS bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Menurut sumber itu, Persatuan Renang Terengganu sejak tahun lepas sudah memaklumkan kepada kontraktor pembinaan terbabit mengenai kewujudan banyak aspek yang tidak menepati spesifikasi yang diperlukan.

"Projek menelan belanja RM18 juta itu mula menampakkan kecacatannya selepas beberapa bulan digunakan, termasuk bumbung bocor sekitar musim tengkujuh November tahun lalu menyebabkan beberapa kelengkapan komputer rosak. Score board yang disimpan dalam bilik stor turut rosak terkena air.

"Masalah teknikal yang amat jelas ialah papan anjal bahagian atas lebih pendek berbanding yang di bahagian bawah. Ini boleh mendatangkan kecederaan kepada perenang.
"Penggunaan bahan binaan tanpa mengambil kira lokasi kompleks di kawasan berhampiran pantai turut menyebabkan banyak palang besi sudah berkarat, Ini baru setahun usia kompleks ini," kata sumber tersebut.

Agak megejutkan ialah pihak persatuan telah banyak kali mengadu kepada kontraktor sejak Mei tahun lalu, tetapi langsung tidak diendah.
Satu siasatan menyeluruh dicadangkan, bukan sahaja menyiasat mutu pembinaan, tetapi juga siasat siapa di belakang kontraktor tersebut.

KUALA TERENGGANU, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.
"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut.

Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh. "Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini. Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.

Ahmad meminta JKR melihat semula pusat akuatik itu kerana banyak struktur binaannya mengalami kerosakan dan bagi mengelak berulang kejadian yang menimpa stadium berkenaan.


Beliau berkata JKR sepatutnya menerima teguran itu dengan hati terbuka dan berasa malu kerana projek berkenaan menelan belanja berpuluh juta ringgit dan tidak sempurna. Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa pusat akuatik tersebut bocor sehingga menyebabkan air daripada kolam renang mengalir ke premis-premis perniagaan di sebelahnya.

"Dakwaan ini tidak betul, sebab kalau kita lihat paras air kolam adalah stabil. Kalau bocor, tentu parasnya surut," katanya.
Beliau berkata air yang dikatakan bocor itu sebenarnya ialah air hujan yang turun melalui tangga dan mengalir ke kawasan premis perniagaan tersebut. "Kita perlu pasang paip besar di setiap penjuru untuk mengalirkan air dari atas bumbung ke longkang," katanya.