Saturday, January 25, 2014

Reputasi Dipertaruh, Mampukah Puteri Reformasi Bertahan?


"Sama ada dilanda krisis peribadi ini ataupun tidak, pengaruh Nurul dalam PKR mampu membolehkannya mempertahankan kedudukannya dengan mudah, tetapi kesan sampingannya kepada PKR merupakan kebimbangan yang lebih besar."

Walaupun ia soal peribadi, namun keputusan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memfailkan petisyen untuk membatalkan perkahwinannya mungkin akan mencetuskan kesan politik dan situasi yang rumit.

Menyorot kembali ketika beusia 18 tahun, imej 'Puteri Reformasi' telah berjaya membantunya mencecah garisan penamat sewaktu pemilihan parti pada 2010 dan dua pilihan raya umum.

Tetapi suasana yang menyelebungi isu petisyen tersebut, yang dihebahkan dalam laporan berita dan blog, mungkin boleh mencalarkan reputasinya itu.

Dalam melaporkan mengenai petisyen tersebut, beberapa organisasi berita mengaitkan Nurul dengan lelaki lain, dengan sebuah portal berita mencungkil bahan gosip, tetapi kemudian membuangnya dari artikel asalnya.

Ada yang menyifatkan ibu kepada dua orang anaknya mempunyai potensi menjadi perdana menteri wanita pertama di negara ini.

Tetapi apakah dia dapat mengharungi keributan ini?

Dan sebagai peneraju utama dalam PKR, apakah bentuk kesannya terhadap parti itu?


Satu sumber dalaman parti yang rapat dengan Nurul, yang tidak mahu namanya disebut, bersetuju - sama ada ianya betul atau tidak - bahawa petisyen itu difailkan tidak sesuai langsung dengan masanya.

Dengan pencalonan untuk pemilihan parti dijangka berlangsung Mac ini, Nurul telah menghulurkan "peluru" kepada pengkritiknya - di dalam dan luar PKR - apabila dia memilih untuk memfailkan petisyen tersebut akhir bulan lalu.

"Apabila (rekahan dalam perkahwinannya) muncul, kami telah menjelaskan risikonya kepadanya. Kami memberitahunya: 'Jika anda tidak dapat menyelesaikannya, lambat laun ia akan terbongkar juga'.

"Ya, dia memang mempunyai masalah dalam perkahwinannya, tapi selalunya ada dua pihak...

Dia mungkin perlu membersihkan namanya.

"Kami telah memberitahunya bahawa dia perlu sedar bahawa jika dia memfailkan (pembatalan perkahwinannya), ia akan memberi kesan kepada kerjayanya dan parti," kata seorang pemimpin PKR. 

Menurut pemimpin tersebut, sama ada dilanda krisis peribadi ini ataupun tidak, pengaruh Nurul dalam PKR mampu membolehkannya mempertahankan kedudukannya dengan mudah, tetapi kesan sampingannya kepada PKR merupakan kebimbangan yang lebih besar.

Seorang ahli yang mengkaji sokongan pilihan raya untuk PKR berkata bukan petisyen perceraian itu yang dibimbangi, tetapi dakwaan wujudnya orang ketiga, boleh menjejaskan sokongan terutamanya di kalangan orang Melayu.

Menurutnya, masyarakat Melayu mempunyai standard yang berbeza untuk ahli politik lelaki dan perempuan - dan seorang wanita yang dianggap sedemikian, akan diadili dengan lebih keras.

"Akan berlaku hakisan teruk (sokongan) dan kita bukan hanya bercakap tentang Kerinchi atau Pantai Dalam (kawasan majoriti Melayu berpendapatan rendah dalam kawasan pilihan rayanya Lembah Pantai)," katanya. 

Terdapat juga kekecewaan di kalangan ahli parti kerana selepas begitu banyak serangan terhadap karektor Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini muncul pula satu lagi dakwaan 'skandal' yang perlu diperjelas dan dipertahankan.


Mereka berkata serangan juga boleh datang dari rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat yang menggunakan isu moral sebagai kayu pengukur untuk mengukur kepimpinan.

Mereka juga bimbang perkara itu boleh diseret menjadi tatapan awam melalui proses mahkamah.

"Sama ada kita suka padanya atau tidak, dia adalah simbol parti.

Orang akan kaitkan ini dengan Anwar, dia adalah anak perempuannya. Kita perlu melindungi Anwar," kata seorang pekerja parti.

Malaysiakini

Wednesday, October 23, 2013

Laluan Mudah Bawa Kemajuan Di Sg Limau Jika Pilih BN - Muhyiddin


"Kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat."
- Tan Sri Muhyiddin Yassin 

Daripada teganuku

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau jika calon Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Timbalan perdana menteri berkata ini juga akan mewujudkan hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN, bagi membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk Sungai Limau.

"Kalau mereka lihat masa depan kawasan Sungai Limau ini, kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di Yan, hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat. Kerusi DUN Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 Sept lepas.

Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995. "Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS, yang kita (BN) dilihat sebagai underdog, dan peluang tidak secerah PAS, tapi kami (BN) yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.

Muhyiddin dipetik Bernama berkata jika calon BN Ahmad Sohaimi diberi peluang, "maka ini akan beri satu laluan yang lebih mudah untuk kita laksanakan apa saja agenda untuk majukan penduduk Sungai Limau."


Timbalan Pengerusi BN itu berkata BN telah memilih calon paling layak dengan latar belakang pendidikan dan pengurusan yang baik. Malah Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau, kata Muhyiddin.

Menyentuh pendekatan kempen, beliau berkata wakil-wakil BN sama ada dari peringkat negeri mahupun pusat akan menemui semua pengundi dan menjelaskan sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang menjelang hari pengundian 4 Nov ini.

Muhyiddin berkata isu-isu itu akan dijelaskan secara terperinci baik soal pembangunan, belanjawan, harga barangan dan apa sahaja perkara berbangkit termasuk peningkatan harga padi dan infrastruktur. "Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama," katanya.

Tambahnya: " Sebab itu wakil rakyat adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan," katanya.

Ditanya sama ada pertembungan dua calon itu akan memberi lebih peluang kepada BN memenangi pilihan raya kecil itu berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada Mei lepas yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, Muhyiddin berkata ia mungkin memberi peluang lebih baik kepada BN.

"Pada PRU dulu kita kalah dengan majoriti 2,774 undi tetapi ini bukan mustahil untuk kita perbaiki," jelas beliau. Timbalan perdana menteri turut ditanya mengenai cadangan mewujudkan manifesto baharu bagi pilihan raya kecil ini, dan beliau berkata manifesto PRU-13 masih ada dan boleh terus dilaksanakan di Sungai Limau.

Bagaimanapun, katanya, Mukhriz boleh merangka strategi baharu jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas.

"Apa yang kita lihat adalah masa depan (dan) apa yang boleh kita buat untuk perbaiki kekurangan. Ini komitmen kita," katanya.

Sementara itu, menyentuh suasana harmoni yang tergambar semasa proses penamaan hari ini khususnya dengan kehadiran banyak pemimpin utama dari BN dan PAS, Muhyiddin berharap ia dapat diteruskan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan rasional mengikut tertib agama selain memberi ruang yang luas untuk pengundi memilih wakil rakyat mereka.

"Suasana harmoni ini adalah satu petanda baik. Saya percaya mereka (Pakatan Rakyat) mempunyai tujuan yang sama tetapi kita harap rakyat pilih kita kerana kita yakin mampu laksanakan tanggungjawab," katanya.

Tuesday, October 22, 2013

Mukhriz - Tidak Perlu Melampaui Batas Jika Mahu Berpolitik


“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain....Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu. "
- Datuk Mukhriz Mahathir

Kerajaan Kedah akan memastikan setiap projek yang dirancang memberi manfaat kepada kumpulan sasaran terbesar dan bukan untuk segelintir kecil.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN tidak akan merampas tanah sewenang-wenang seperti yang didakwa setengah pihak sebelum ini, termasuk bagi projek Zon Industri Petroleum Yan (Zippy).

Ini kerana sesuatu projek itu tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

"BN tidak mahu cari pasal dengan rakyat yang boleh menyebabkannya kecundang dalam pilihan raya akan datang. Kita dah belajar dari pengalaman.

“Kalau kita terus cari pasal dengan mereka, tunggulah PRU14. Kita tidak mahu itu berlaku kerana kita tadbir Kedah bukan untuk satu penggal.

Kalau boleh mahu selama-lamanya kerana negeri ini milik BN,” katanya pada majlis pengumuman nama calon BN untuk PRK Dun Sungai Limau, di sini, petang semalam.

Beliau, yang juga Pengerusi BN Kedah, turut membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain.

“Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu. "Tidak perlu melampaui batas jika nak berpolitik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak yang bertanding dalam PRK Sungai Limau melakukannya dalam keadaan sihat dan harmoni agar tidak menjejaskan keselamatan negara.

SH Online