Saturday, June 2, 2012

Tsunami Selatan Akan Berpihak Keoada BN, Bukan Pembangkang


Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak tanggapan PAS kononnya tsunami selatan akan melanda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, menurut mereka, tsunami yang dikatakan itu akan memihak kepada BN dan yakin dengan sokongan rakyat, BN akan meneruskan penguasaan kerajaan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa tsunami selatan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang apabila pakatan pembangkang yakin akan menang di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata tsunami itu juga akan berlaku di selatan Semenanjung kerana tsunami dari arah utara sudah kering dan tepu.


Anggota Parlimen Jasin Melaka Datuk Ahmad Hamzah ketika menyangkal dakwaan PAS itu berkata pengaruh pembangkang sejak akhir-akhir ini sebenarnya semakin berkurangan dan menurun, tambahan pula rakyat semakin sedar terhadap apa yang dimomokkan kepada mereka sebelum ini hanyalah janji-janji manis belaka.

"Pada saya bercakap soal tsunami ini, tsunami sebaliknya akan berlaku yang mana rakyat akan menyokong parti dan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya memenangi kerusi-kerusi di Melaka dan membentuk kerajaan," katanya.

Katanya kesedaran rakyat adalah berpokok pangkal kepada inginkan kemajuan berterusan dan kesinambungan kepada usaha yang dilakukan kerajaan dengan pelbagai perancangan seperti program transformasi dalam pelbagai aspek dan sudut.

"Rakyat nampaknya tidak mengharapkan pembangkang untuk melakukan semua ini. Perjuangan pembangkang juga nampak tidak jelas langsung," katanya.

Anggota Parlimen BN kawasan Muar, Johor Datuk Razali Ibrahim berkata apa pun boleh diperkatakan oleh parti yang bertanding, tetapi tsunami yang didakwa akan berlaku di selatan itu tidak bersandarkan kepada sebarang alasan yang kukuh.

"Jika dia bersandarkan pada prestasi, saya tak nampak keyakinan rakyat kepada mereka kerana kerjasama mereka (pembangkang) amat rapuh. Mutu kerja pun jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan BN," katanya. Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata pembangkang cuma bersandarkan janji yang tidak pasti, termasuk mainan sentimen, emosi dan fitnah bagi mendapatkan sokongan.

Anggota Parlimen BN kawasan Jempol, Negeri Sembilan Datuk Lillah Yassin berkata jangkaan itu tidak akan berlaku kerana kekuatan BN di selatan adalah sokongan yang bergantung kepada undi orang Melayu.

"Di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan undi teras datang daripada orang Melayu, dengan sokongan masyarakat daripada kaum India dan Cina yang akan berpihak kepada BN.

"Sebahagian besarnya pula terdapat tanah rancangan Felda yang mana majoriti masyarakat Felda iaitu peneroka akan memberi sokongan kepada BN.

"Faktor lain pula, kesemua janji yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk rakyat sudah mula dinikmati oleh mereka. Mereka sangat bersyukur dalam hal ini," katanya.

Lillah berkata rakyat juga sekarang sudah dapat menilai dengan baik apabila pembangkang sendiri menghadapi masalah untuk menguruskan negeri yang mereka menangi pada pilihan raya umum yang lepas.

"Tidak ada jaminan masa depan untuk mereka di negeri-negeri berkenaan, jadi saya tak nampak bagaimana pembangkang dapat menubuhkan kerajaan di negeri-negeri terbabit," katanya.

Wednesday, May 30, 2012

Tarikh Bajet Timbul Spekulasi PRU-13 Diadakan Awal


Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan semula spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan diadakan tidak lama lagi apabila beliau mengumumkan Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen beberapa minggu lagi untuk diadakan pilihan raya pada lewat Jun atau awal Julai.

Bagaimanapun, tarikh Bajet telah menimbulkan banyak cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang.
Dan sebaliknya, ia telah membawa kepada perbandingan terhadap keputusan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999.

“Dr Mahathir membentangkan Bajet pada 15 Oktober tahun itu dan ketika ahli-ahli Parlimen masih lagi memperdebatkan tentang Bajet, beliau pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah membubarkan Parlimen pada 11 November,” kata ahli politik yang sudah lama menyertai Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya diadakan pada 29 November pada tahun itu. “Najib boleh melakukan perkara yang sama dengan membentangkan satu bajet pilihan raya dan menggunakan manifestonya untuk mengadakan pilihan raya ke-13, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada PRU-10.”

Najib mengumumkan tarikh Bajet 2013 pada rundingan awal mengenai belanjawan tahunan pada Selasa di mana Kementerian Kewangan telah menerima sebanyak 84 memorandum. Beliau berkata, Bajet 2013 akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Najib mempunyai hak istimewa untuk meminta supaya Parlimen dibubarkan “pada bila-bila masa yang beliau mahu”.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya boleh diadakan pada Jun atau Julai, sambil menambah bahawa Suruhanjaya itu telah bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan pada kedua-dua bulan itu.

SPR akan mengazetkan daftar pemilih pada akhir bulan ini apabila tempoh bantahan tamat. “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Parlimen tidak pernah tamat dalam tempoh lima tahun penuh.

“Walaupun berhadapan dengan tugas melaksanakan reformasi pilihan raya untuk pemilihan akan datang, kami bersedia dari segi tenaga manusia, latihan dan logistik sekiranya diumumkan pada Julai,” kata beliau.

Abdul Aziz berkata, Dewan Rakyat ketika ini hanya akan berakhir pada 24 April tahun depan dan pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Selain pengumuman mengenai tarikh Bajet, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan Najib akan mengumumkan pilihan raya akan diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan pada 20 Julai.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa “kemungkinan itu juga dilihat sebagai peluang” yang akan dilaksanakan Najib sekiranya mengambil keputusan untuk mendapat nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sejurus selepas satu pertemuan pada 11 Jun ini.

Ketika Dr Mahathir mengumumkan pilihan raya pada 1999, ia diadakan sejurus sebelum bermulanya Ramadan pada Disember tahun berkenaan.

Penganalisis politik berkata, selain petunjuk positif berdasarkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, Najib juga boleh melihat dari aspek agama, yang boleh memainkan peranan dalam masyarakat yang kebanyakannya beragama Islam di negara ini.

Sidang Parlimen yang berikutnya berakhir pada 28 Jun ini dan sekiranya Najib membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen ketika persidangan itu, kempen akan diadakan pada bulan Islam iaitu Rejab, salah satu tempoh yang paling afdal kerana ia mengelakkan dari sebarang ketegangan dan perkara yang tidak baik.

Berkempen sepanjang tempoh ini boleh mengurangkan persaingan politik yang tegang yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Tamatnya pilihan raya akan diikuti dengan Ramadan, sebagai bulan untuk tempoh “bertenang” untuk perdamaian dan menjalinkan hubungan baik.

mStar

Monday, May 28, 2012

BN Lawan ‘Polisi Dengan Polisi’ Dengan Pakatan


Pengerusi baru Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow telah meletakkan fokus untuk menawan negeri tersebut dalam pilihan raya akan datang daripada Pakatan Rakyat (PR) menggunakan kaedah "polisi menentang polisi" berbanding mencari kekurangan perikatan pembangkang tersebut.

Pemimpin Gerakan itu telah merencana rancangan pembangunan komprehensif alternatif yang menjanjikan kepesatan pembangunan ekonomi dan membantu meningkatkan status sosio ekonomi rakyatnya, termasuk merapatkan jurang antara kawasan pulau dan tanah besar.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insider sewaktu temu ramah khas baru-baru ini untuk menggunakan keupayaan BN berbanding mencari kelemahan PR kerana pada masa ini, kaedah itu tidak lagi digunakan kerajaan, lebih-lebih lagi DAP Pulau Pinang.

Teng mengakui kerajaan DAP di bawah Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, berjaya menguruskan negeri itu dengan baik sejak 2008 dan sebarang cubaan BN untuk menafikan perkara itu oleh BN akan memakan diri sendiri.

"Mereka berjaya mentadbir dan menguruskan Pulau Pinang dengan baik dan memberikan gambaran positif oleh rakyat.

Mereka berjaya mengurus ekonomi, kumpulan berpendapatan rendah - gambaran yang ditanamkan di minda rakyat," kata Teng dengan berhati-hati.

Namun Setiausaha Agung Gerakan itu dengan segera menambah "Rome tidak dibina dalam tempoh semalaman", menjelaskan segala kejayaan PR adalah atas hasil usaha BN selama 40 tahun bertapak di negeri tersebut.

Mengambil kira pepatah yang mengatakan politik adalah permainan persepsi, Teng menegaskan pengundi sekarang melihat apa yang BN boleh tawarkan kepada mereka berbanding PR.

"Rakyat mulai melihat kami, bagaimana kami akan memerintah dengan lebih baik dari kerajaan PR, apa yang boleh kami tawarkan kepada mereka," katanya.

Ini jelasnya, adalah petanda positif kerana ia merupakan perubahan yang amat besar sejak 2008 apabila pengundi mula "menutup pintu hati mereka untuk BN."

Salah satu kunci utama adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebahagian pengundi mungkin pro PR di Pulau Pinang, katanya, menyukarkan untuk mereka menerima perubahan yang dilaksanakan Najib sejak 2009, terutamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Najib, jelas Teng, telah membawa perubahan besar terhadap BN yang mana, pengundi sebelum ini anti BN.

"Melihat kepada transformasi Najib, ia menunjukkan perdana menteri ikhlas untuk membantu setiap lapisan masyarakat. Rakyat sedar beliau berusaha yang terbaik untuk memajukan ekonomi negara," katanya.

"Jadi ini adalah caranya kami akan berperang - ia adalah berkenaan apa yang akan kami (BN) tawarkan, berbanding menghina PR. Kami akan lawan polisi dengan polisi, idea dengan idea. Jika kami menggunakan pendekatan sedemikian, ia tidak akan berlarutan."

Teng menjelaskan Pulau Pinang perlu beralih daripada fokus kepada bidang perusahaan, yang mana jelasnya sudah berada di kemuncaknya.

Sektor berkenaan jelasnya telah membantu membina asas yang kukuh bagi ekonomi negeri tersebut, keseluruhannya pada 1960an dan 1970an, negeri itu kini kekurangan kawasan dan tenaga kerja untuk industri menggunakan tenaga buruh ini.

"Apa yang kami ada adalah untuk merubah Pulau Pinang kepada syurga pelancongan antarabangsa; kami mahu menjadikan Pulau Pinang Daerah Kewangan Antarabangsa; kami ingin membina Taman Inovasi Dynamo; meningkatkan pembangunan perikanan pesisir pantai; dan juga menjadikan Pulau Pinang sebagai hub akuakultur," katanya.

Teng turut mengulangi pendiriannya menjadi Pulau Pinang zon pelabuhan bebas jika BN berkuasa, dan berkata ia adalah rancangan komprehensif untuk pembangunan infrastruktur yang terancang, pembangunan perhubungan perniagaan dan keperluan industri lain untuk menyokong status tersebut.

Beliau turut akan menyemak semula sistem pengangkutan dan menggunakan polisi untuk rumah mampu milik bagi penduduk Pulau Pinang dan mengambil kira faktor kenaikan kos dan harga barang di negeri tersebut.

"Sejak dulu lagi di bawah BN, apabila membina perumahan RM25,000 kos rendah menjadi isu kerana pemaju enggan membinanya, kami bercadang pada harga RM42,000 bagi polisi kos rendah dan sederhana.

"Sekarang harga melonjak kepada RM72,000 ... tapi ini tidak membantu menyelesaikan kos harga rumah. Jadi ia kembali kepada perancangan dan isu tanah - bagaimana kami akan mengubah premium tanah, kami memerlukan mekanisme efektif untuk memberikan subsidi terhadap rumah kos rendah bagi kehendak sosial ... dan bagaimana menjadikan ia mampu milik," katanya.

Teng menjelaskan kerajaan cuba untuk tidak meneruskan penggantungan terhadap membersihkan lebih kawasan dan membuka kawasan baru sebaliknya mengutamakan terhadap "pembangunan semula", kawasan skim perumahan kerajaan.

"Tambahan pula, kami memerlukan kunci aktivit utama kepada tanah besar dan menjadikan pulau satu kawasan yang sesuai untuk didiami dan juga pelancongan," katanya menjelaskan jurang yang luas antara tanah besar dan pulau.

Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang; DAP, PAS, PKR sewaktu PRU 12 pada 2008 apabila Gerakan yang memerintah hampir 40 tahun sejak 1969, ditewaskan tanpa memenangi walau satu kerusi. Rakan BN yang lain Umno bagaimanapun menyelamatkan 11 daripada 15 kerusi.

Yang lain, dimenangi DAP (19), PKR (9) dan PAS (1). Walaupun Umno berjaya menawan hati pengundi Melayu, Gerakan dan MCA perlu lebih berusaha gigih untuk menarik undi daripada masyarakat Cina.

Dengan 40 kerusi, 22 daripadanya dikuasai pengundi majoriti Cina.

Dalam pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding di 15 kerusi, Gerakan, 13, MCA, 10 dan MIC, dua.