Wednesday, August 24, 2016

Datuk Seri Ada 31 Unit Kondo Mewah Di Kuala Lumpur Bernilai RM15.5 Juta


“Suspek dipercayai menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa sebarang pembayaran pendahuluan...suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah dan mendapat untung atas angin.”

 Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini kerana dipercayai terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa dipercayai mempunyai 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta, lapor Utusan Malaysia.

Kesemua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Memetik sumber, Utusan Malaysia menyebut, siasatan SPRM mendapati suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondo­mi­nium tersebut yang harga asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.
Azam Baki...sahkan.

“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur,  hari ini.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan terdapat salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen terutama di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan telah membuat tempahan tanpa membuat pembayaran pendahuluan.

Sebaik sahaja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ oleh pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.


Tambah sumber lagi, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Siasa­tan SPRM, Datuk Azam baki ke­tika dihubungi mengesahkan men­genai perkara itu.

Pada 16 Ogos, SPRM menahan reman Datuk Seri berkenaan bersama dua lagi penjawat awam berpangkat Datuk dari jabatan berbeza di Melaka dan Kelantan. Semua yang ditahan masih dalam tahan reman.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Azam sebelum ini berkata mereka ditahan dalam operasi serentak pada 12.00 tengah hari dan 2.00 petang. Susulan penahanan itu, akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping menyita kondominium mewah seperti penthouse dan banglo, dan kenderaan Maserati, BMW dan Audi.


SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan wujud salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan membuat tempahan tanpa membuat bayaran pendahuluan.


Sebaik saja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.

No comments: