Sunday, May 22, 2016

Laporan PAC Negeri Pulau Pinang Dicadang Dijadikan Dokumen Tatapan Umum


Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Pulau Pinang dijadikan sebagai dokumen bagi tatapan umum.

Dalam kenyataan semalamm  beliau berkata ini susulan perbincangan hangat pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang minggu lalu telah mendedahkan bahawa laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri itu telah dua kali ditangguhkan.

"Ini membuktikan bahawa jawapan yang benar masih tidak lengkap," katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai jemputan kerajaan DAP Pulau Pinang bagi beliau melihat sendiri dokumen projek tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu pada 12 Mei lalu.

Abdul Rahman yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun menolak jemputan tersebut kerana baginya dalam keadaan ini ia tidak memberi banyak kelebihan.

"Sedikit sahaja matlamat akan tercapai apabila kertas ini ditunjukkan kepada saya sahaja, katanya. Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang sepatutnya menawarkan tawaran yang sama kepada yang lain terutamanya mereka yang berada di Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata antara pihak tersebut adalah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) serta pertubuhan bukan kerajaan yang bertapak di Pulau Pinang iaitu Penang Citizen Awareness Chant Group dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

"Sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang dan lima ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga telah menimbulkan persoalan mengenai projek terowong ini.

"Setakat ini, tiada seorang pun daripada mereka telah menerima jawapan yang memuaskan," kata Abdul Rahman.

No comments: