Monday, May 2, 2016

Jawatankuasa Konsultatif Nasional Tambah Baik Rangka Kerja Pembiayaan Politik


Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik telah menambah baik rangka kerja pembiayaan politik sebagai sebahagian pembaharuan anti rasuah, menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015.

Laporan itu berkata jawatankuasa dijangka menunjukkan kemajuan dalam membina momentum bagi menangani isu pembiayaan politik.

Bertajuk "Breaking the vicious cycle of corruption" laporan itu yang didedahkan kepada media pada 26 April lalu berkata sekteratiat telah bermesyuarat dengan pihak-pihak berkepentingan tempatan, parti-parti politik, kumpulan masyarakat sivil seperti Majlis Belia Malaysia, Solidariti Anak Muda Malaysia, dan ahli-ahli Parlimen Belia Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan sokongan mereka terhadap inisiatif tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Tahunan NTP 2015 yang menangani cabaran transformasi Malaysia termasuk dalam beberapa bidang sosio ekonomi di bawah NTP sejak enam tahun lepas.

Laporan itu menegaskan keperluan penginstitusian sistem pembiayaan politik yang lebih telus untuk menangani masalah rasuah besar secara berterusan.

Laporan Tahunan NTP berkata rangka kerja tadbir urus yang dicadangkan merangkumi tiga elemen wajib iaitu derma perlu dibuat atas nama parti, semua derma perlu ditulis resit sebaik sahaja diterima, dan rekod semua sumber dana politik hendaklah diaudit oleh pihak luar.

"Sepanjang tiga tahun lepas, meskipun beberapa cadangan telah dikaji termasuk untuk meminda Akta Pertubuhan Syarikat, Namum inisiatif ini masih gagal menarik perhatian disebabkan oleh kekangan politik yang kuat," kata laporan itu.

Pada Ogos 2015, dengan berlatarkan isu sensasi tentang pembiayaan politik, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan politik (JKNMPP) untuk mencadangkan struktur peraturan bagi pembiayaan politik dalam masa setahun.

Laporan itu menekankan betapa pentingnya untuk menambah baik kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan mempengaruhi persepsi rasuah di kalangan pelabur asing terhadap negara.

Pada 2015, Malaysia mencapai skor sebanyak 50 daripada 100 dalam CPI, sekali gus menekankan betapa perlunya bagi semua pihak untuk "mengotakan janji" dan mempercepatkan penerimaan pembaharuan anti rasuah yang dicadangkan oleh kerajaan.

Selain daripada pembiayaan politik, kerajaan telah mencapai kemajuan dalam penubuhan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) melalui rangka kerja kebangsaan yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU), yang diwakili oleh Ketua-ketua Setiausaha, unit integriti dan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Ketua Audit Negara, kata laporan itu.

Ia berkata matlamat utama JITU ialah untuk mewujudkan budaya ketelusan, kejujuran dan integriti dalam perkhidmatan awam dan unit-unit integriti diwujudkan untuk memantau memantau kepatuhan kepada semua projek bernilai tinggi dan agensi-agensi keselamatan kawalan sempadan.

Bernama

No comments: