Saturday, January 25, 2014

Hina PM: Guan Eng Kena Bertanggungjawab


Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sepatutnya menyelesaikan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebagai ketua menteri, Guan Eng sepatutnya tidak meminta orang lain menyelesaikan isu itu. 

"Sebagai ketua kerajaan negeri, sudah pasti semua Adun Pakatan Rakyat di Pulau Pinang adalah di bawah tanggungjawab Lim walaupun wakil rakyat Machang Bubuk itu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Mereka sebuah pakatan, mengapa bila Adun dari PKR yang buat perkara itu, yang lain (DAP dan Pas) tidak boleh memberi teguran. Adakah ini sebuah pakatan?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kepala Batas di hari ini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang dilaporkan sebagai berkata bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang harus tampil menyelesaikan isu Adun Machang Bubuk itu.

Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang tiada kena mengena dengan perkara itu.

Reputasi Dipertaruh, Mampukah Puteri Reformasi Bertahan?


"Sama ada dilanda krisis peribadi ini ataupun tidak, pengaruh Nurul dalam PKR mampu membolehkannya mempertahankan kedudukannya dengan mudah, tetapi kesan sampingannya kepada PKR merupakan kebimbangan yang lebih besar."

Walaupun ia soal peribadi, namun keputusan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memfailkan petisyen untuk membatalkan perkahwinannya mungkin akan mencetuskan kesan politik dan situasi yang rumit.

Menyorot kembali ketika beusia 18 tahun, imej 'Puteri Reformasi' telah berjaya membantunya mencecah garisan penamat sewaktu pemilihan parti pada 2010 dan dua pilihan raya umum.

Tetapi suasana yang menyelebungi isu petisyen tersebut, yang dihebahkan dalam laporan berita dan blog, mungkin boleh mencalarkan reputasinya itu.

Dalam melaporkan mengenai petisyen tersebut, beberapa organisasi berita mengaitkan Nurul dengan lelaki lain, dengan sebuah portal berita mencungkil bahan gosip, tetapi kemudian membuangnya dari artikel asalnya.

Ada yang menyifatkan ibu kepada dua orang anaknya mempunyai potensi menjadi perdana menteri wanita pertama di negara ini.

Tetapi apakah dia dapat mengharungi keributan ini?

Dan sebagai peneraju utama dalam PKR, apakah bentuk kesannya terhadap parti itu?


Satu sumber dalaman parti yang rapat dengan Nurul, yang tidak mahu namanya disebut, bersetuju - sama ada ianya betul atau tidak - bahawa petisyen itu difailkan tidak sesuai langsung dengan masanya.

Dengan pencalonan untuk pemilihan parti dijangka berlangsung Mac ini, Nurul telah menghulurkan "peluru" kepada pengkritiknya - di dalam dan luar PKR - apabila dia memilih untuk memfailkan petisyen tersebut akhir bulan lalu.

"Apabila (rekahan dalam perkahwinannya) muncul, kami telah menjelaskan risikonya kepadanya. Kami memberitahunya: 'Jika anda tidak dapat menyelesaikannya, lambat laun ia akan terbongkar juga'.

"Ya, dia memang mempunyai masalah dalam perkahwinannya, tapi selalunya ada dua pihak...

Dia mungkin perlu membersihkan namanya.

"Kami telah memberitahunya bahawa dia perlu sedar bahawa jika dia memfailkan (pembatalan perkahwinannya), ia akan memberi kesan kepada kerjayanya dan parti," kata seorang pemimpin PKR. 

Menurut pemimpin tersebut, sama ada dilanda krisis peribadi ini ataupun tidak, pengaruh Nurul dalam PKR mampu membolehkannya mempertahankan kedudukannya dengan mudah, tetapi kesan sampingannya kepada PKR merupakan kebimbangan yang lebih besar.

Seorang ahli yang mengkaji sokongan pilihan raya untuk PKR berkata bukan petisyen perceraian itu yang dibimbangi, tetapi dakwaan wujudnya orang ketiga, boleh menjejaskan sokongan terutamanya di kalangan orang Melayu.

Menurutnya, masyarakat Melayu mempunyai standard yang berbeza untuk ahli politik lelaki dan perempuan - dan seorang wanita yang dianggap sedemikian, akan diadili dengan lebih keras.

"Akan berlaku hakisan teruk (sokongan) dan kita bukan hanya bercakap tentang Kerinchi atau Pantai Dalam (kawasan majoriti Melayu berpendapatan rendah dalam kawasan pilihan rayanya Lembah Pantai)," katanya. 

Terdapat juga kekecewaan di kalangan ahli parti kerana selepas begitu banyak serangan terhadap karektor Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini muncul pula satu lagi dakwaan 'skandal' yang perlu diperjelas dan dipertahankan.


Mereka berkata serangan juga boleh datang dari rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat yang menggunakan isu moral sebagai kayu pengukur untuk mengukur kepimpinan.

Mereka juga bimbang perkara itu boleh diseret menjadi tatapan awam melalui proses mahkamah.

"Sama ada kita suka padanya atau tidak, dia adalah simbol parti.

Orang akan kaitkan ini dengan Anwar, dia adalah anak perempuannya. Kita perlu melindungi Anwar," kata seorang pekerja parti.

Malaysiakini