Wednesday, May 30, 2012

Tarikh Bajet Timbul Spekulasi PRU-13 Diadakan Awal


Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan semula spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan diadakan tidak lama lagi apabila beliau mengumumkan Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen beberapa minggu lagi untuk diadakan pilihan raya pada lewat Jun atau awal Julai.

Bagaimanapun, tarikh Bajet telah menimbulkan banyak cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang.
Dan sebaliknya, ia telah membawa kepada perbandingan terhadap keputusan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999.

“Dr Mahathir membentangkan Bajet pada 15 Oktober tahun itu dan ketika ahli-ahli Parlimen masih lagi memperdebatkan tentang Bajet, beliau pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan telah membubarkan Parlimen pada 11 November,” kata ahli politik yang sudah lama menyertai Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya diadakan pada 29 November pada tahun itu. “Najib boleh melakukan perkara yang sama dengan membentangkan satu bajet pilihan raya dan menggunakan manifestonya untuk mengadakan pilihan raya ke-13, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada PRU-10.”

Najib mengumumkan tarikh Bajet 2013 pada rundingan awal mengenai belanjawan tahunan pada Selasa di mana Kementerian Kewangan telah menerima sebanyak 84 memorandum. Beliau berkata, Bajet 2013 akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Najib mempunyai hak istimewa untuk meminta supaya Parlimen dibubarkan “pada bila-bila masa yang beliau mahu”.

Abdul Aziz berkata, pilihan raya boleh diadakan pada Jun atau Julai, sambil menambah bahawa Suruhanjaya itu telah bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan pada kedua-dua bulan itu.

SPR akan mengazetkan daftar pemilih pada akhir bulan ini apabila tempoh bantahan tamat. “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Parlimen tidak pernah tamat dalam tempoh lima tahun penuh.

“Walaupun berhadapan dengan tugas melaksanakan reformasi pilihan raya untuk pemilihan akan datang, kami bersedia dari segi tenaga manusia, latihan dan logistik sekiranya diumumkan pada Julai,” kata beliau.

Abdul Aziz berkata, Dewan Rakyat ketika ini hanya akan berakhir pada 24 April tahun depan dan pilihan raya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari.

Selain pengumuman mengenai tarikh Bajet, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan Najib akan mengumumkan pilihan raya akan diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan pada 20 Julai.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa “kemungkinan itu juga dilihat sebagai peluang” yang akan dilaksanakan Najib sekiranya mengambil keputusan untuk mendapat nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sejurus selepas satu pertemuan pada 11 Jun ini.

Ketika Dr Mahathir mengumumkan pilihan raya pada 1999, ia diadakan sejurus sebelum bermulanya Ramadan pada Disember tahun berkenaan.

Penganalisis politik berkata, selain petunjuk positif berdasarkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, Najib juga boleh melihat dari aspek agama, yang boleh memainkan peranan dalam masyarakat yang kebanyakannya beragama Islam di negara ini.

Sidang Parlimen yang berikutnya berakhir pada 28 Jun ini dan sekiranya Najib membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen ketika persidangan itu, kempen akan diadakan pada bulan Islam iaitu Rejab, salah satu tempoh yang paling afdal kerana ia mengelakkan dari sebarang ketegangan dan perkara yang tidak baik.

Berkempen sepanjang tempoh ini boleh mengurangkan persaingan politik yang tegang yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Tamatnya pilihan raya akan diikuti dengan Ramadan, sebagai bulan untuk tempoh “bertenang” untuk perdamaian dan menjalinkan hubungan baik.

mStar

Monday, May 28, 2012

BN Lawan ‘Polisi Dengan Polisi’ Dengan Pakatan


Pengerusi baru Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow telah meletakkan fokus untuk menawan negeri tersebut dalam pilihan raya akan datang daripada Pakatan Rakyat (PR) menggunakan kaedah "polisi menentang polisi" berbanding mencari kekurangan perikatan pembangkang tersebut.

Pemimpin Gerakan itu telah merencana rancangan pembangunan komprehensif alternatif yang menjanjikan kepesatan pembangunan ekonomi dan membantu meningkatkan status sosio ekonomi rakyatnya, termasuk merapatkan jurang antara kawasan pulau dan tanah besar.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insider sewaktu temu ramah khas baru-baru ini untuk menggunakan keupayaan BN berbanding mencari kelemahan PR kerana pada masa ini, kaedah itu tidak lagi digunakan kerajaan, lebih-lebih lagi DAP Pulau Pinang.

Teng mengakui kerajaan DAP di bawah Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, berjaya menguruskan negeri itu dengan baik sejak 2008 dan sebarang cubaan BN untuk menafikan perkara itu oleh BN akan memakan diri sendiri.

"Mereka berjaya mentadbir dan menguruskan Pulau Pinang dengan baik dan memberikan gambaran positif oleh rakyat.

Mereka berjaya mengurus ekonomi, kumpulan berpendapatan rendah - gambaran yang ditanamkan di minda rakyat," kata Teng dengan berhati-hati.

Namun Setiausaha Agung Gerakan itu dengan segera menambah "Rome tidak dibina dalam tempoh semalaman", menjelaskan segala kejayaan PR adalah atas hasil usaha BN selama 40 tahun bertapak di negeri tersebut.

Mengambil kira pepatah yang mengatakan politik adalah permainan persepsi, Teng menegaskan pengundi sekarang melihat apa yang BN boleh tawarkan kepada mereka berbanding PR.

"Rakyat mulai melihat kami, bagaimana kami akan memerintah dengan lebih baik dari kerajaan PR, apa yang boleh kami tawarkan kepada mereka," katanya.

Ini jelasnya, adalah petanda positif kerana ia merupakan perubahan yang amat besar sejak 2008 apabila pengundi mula "menutup pintu hati mereka untuk BN."

Salah satu kunci utama adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebahagian pengundi mungkin pro PR di Pulau Pinang, katanya, menyukarkan untuk mereka menerima perubahan yang dilaksanakan Najib sejak 2009, terutamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Najib, jelas Teng, telah membawa perubahan besar terhadap BN yang mana, pengundi sebelum ini anti BN.

"Melihat kepada transformasi Najib, ia menunjukkan perdana menteri ikhlas untuk membantu setiap lapisan masyarakat. Rakyat sedar beliau berusaha yang terbaik untuk memajukan ekonomi negara," katanya.

"Jadi ini adalah caranya kami akan berperang - ia adalah berkenaan apa yang akan kami (BN) tawarkan, berbanding menghina PR. Kami akan lawan polisi dengan polisi, idea dengan idea. Jika kami menggunakan pendekatan sedemikian, ia tidak akan berlarutan."

Teng menjelaskan Pulau Pinang perlu beralih daripada fokus kepada bidang perusahaan, yang mana jelasnya sudah berada di kemuncaknya.

Sektor berkenaan jelasnya telah membantu membina asas yang kukuh bagi ekonomi negeri tersebut, keseluruhannya pada 1960an dan 1970an, negeri itu kini kekurangan kawasan dan tenaga kerja untuk industri menggunakan tenaga buruh ini.

"Apa yang kami ada adalah untuk merubah Pulau Pinang kepada syurga pelancongan antarabangsa; kami mahu menjadikan Pulau Pinang Daerah Kewangan Antarabangsa; kami ingin membina Taman Inovasi Dynamo; meningkatkan pembangunan perikanan pesisir pantai; dan juga menjadikan Pulau Pinang sebagai hub akuakultur," katanya.

Teng turut mengulangi pendiriannya menjadi Pulau Pinang zon pelabuhan bebas jika BN berkuasa, dan berkata ia adalah rancangan komprehensif untuk pembangunan infrastruktur yang terancang, pembangunan perhubungan perniagaan dan keperluan industri lain untuk menyokong status tersebut.

Beliau turut akan menyemak semula sistem pengangkutan dan menggunakan polisi untuk rumah mampu milik bagi penduduk Pulau Pinang dan mengambil kira faktor kenaikan kos dan harga barang di negeri tersebut.

"Sejak dulu lagi di bawah BN, apabila membina perumahan RM25,000 kos rendah menjadi isu kerana pemaju enggan membinanya, kami bercadang pada harga RM42,000 bagi polisi kos rendah dan sederhana.

"Sekarang harga melonjak kepada RM72,000 ... tapi ini tidak membantu menyelesaikan kos harga rumah. Jadi ia kembali kepada perancangan dan isu tanah - bagaimana kami akan mengubah premium tanah, kami memerlukan mekanisme efektif untuk memberikan subsidi terhadap rumah kos rendah bagi kehendak sosial ... dan bagaimana menjadikan ia mampu milik," katanya.

Teng menjelaskan kerajaan cuba untuk tidak meneruskan penggantungan terhadap membersihkan lebih kawasan dan membuka kawasan baru sebaliknya mengutamakan terhadap "pembangunan semula", kawasan skim perumahan kerajaan.

"Tambahan pula, kami memerlukan kunci aktivit utama kepada tanah besar dan menjadikan pulau satu kawasan yang sesuai untuk didiami dan juga pelancongan," katanya menjelaskan jurang yang luas antara tanah besar dan pulau.

Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang; DAP, PAS, PKR sewaktu PRU 12 pada 2008 apabila Gerakan yang memerintah hampir 40 tahun sejak 1969, ditewaskan tanpa memenangi walau satu kerusi. Rakan BN yang lain Umno bagaimanapun menyelamatkan 11 daripada 15 kerusi.

Yang lain, dimenangi DAP (19), PKR (9) dan PAS (1). Walaupun Umno berjaya menawan hati pengundi Melayu, Gerakan dan MCA perlu lebih berusaha gigih untuk menarik undi daripada masyarakat Cina.

Dengan 40 kerusi, 22 daripadanya dikuasai pengundi majoriti Cina.

Dalam pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding di 15 kerusi, Gerakan, 13, MCA, 10 dan MIC, dua.

Sunday, May 27, 2012

PM Lancar Prospektus FGVH Khamis Ini

Mohd Isa merasmikan Hari Kesihatan FELDA Wilayah Terengganu dan sambutan Hari TB Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di FELDA Ketengah Jaya, Dungun, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan prospektus penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) Khamis ini yang dijangka menyaksikan 37 peratus daripada 2.19 bilion saham akan diperuntukkan bagi manfaat peneroka.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, daripada jumlah itu, 20 peratus akan diperuntukkan kepada sebuah tabung amanah yang akan menjaga kepentingan peneroka, manakala 17 peratus lagi akan ditawarkan untuk jualan kepada 112,635 peneroka dan petugas serta kakitangan FELDA.

“Semua peneroka akan mendapat manfaat berpanjangan daripada penyenaraian ini,” katanya sambil menambah penyenaraian FGVH yang dijangka menjadi proses terbitan awam (IPO) terbesar di Asia tahun ini, diunjurkan dijual pada lebih RM4 sesaham.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan FELDA Wilayah Terengganu dan sambutan Hari TB Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Bandar Ketengah Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman.

Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, FELDA sudah menyediakan panel tujuh bank untuk membantu peneroka menguruskan pembelian saham, jika mereka memerlukan pinjaman serta membuka akaun dagangan saham.

Katanya, FELDA juga mengagihkan saham kepada kerajaan negeri dan pelbagai institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji.

Mengikut draf prospektus IPO FGVH kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), daripada 2.19 bilion saham, 1.92 bilion saham yang mewakili 52.5 peratus modal terbitan dan berbayarnya akan ditawarkan untuk langganan pelabur institusi, manakala 273.61 juta saham atau 7.5 peratus lagi akan ditawarkan kepada pelabur awam.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut FGVH yang dijangka disenaraikan pada 28 Jun ini, dianggarkan bakal memiliki modal pasaran berjumlah RM18 bilion. FGVH dijangka melancarkan kempen langganan selepas pelancaran prospektus pada 31 Mei ini dan menentukan harga sesaham untuk pelabur runcit pada 15 Jun.

 Sementara itu, mengulas kempen kesihatan itu, Mohd Isa berkata, ia bertujuan menyuburkan kesedaran kepada peneroka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mencegah penularan gejala penyakit TB.

"Kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan terbaik terutama daripada aspek pencegahan bagi memastikan penularan penyakit dibendung," katanya mengulas peningkatan kes TB di Gugusan FELDA Kertih, sehingga jabatan kesihatan negeri memilih kawasan itu untuk pelancaran kempen berkenaan.

Pada 2009, ada tujuh kes TB di kawasan itu dan meningkat kepada 11 kes pada 2010, 13 kes (2011) manakala sehingga April 2012, 10 kes TB dikesan.

Bagi meningkatkan aspek penjagaan kesihatan terutama kepada warga FELDA dan penduduk Ketengah Jaya yang jauh dari bandar ini, Mohd Isa berkata, Yayasan FELDA turut meluluskan peruntukan RM85,000 untuk pembelian sebuah alat ultrasound untuk ditempatkan Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, selain mencegah penyakit berjangkit, masyarakat termasuk warga FELDA perlu mengelak terkena 'penyakit hati' seperti yang dialami pemimpin pembangkang hingga sanggup berbohong dan memutar belit setiap kebaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi memancing undi.

"Penyakit hati seperti yang ditanggung kalangan pemimpin pembangkang lebih berbahaya daripada penyakit berjangkit seperti TB, sekali pun kerana kerajaan BN menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk mengubat penyakit berkenaan...tetapi penyakit hati dan suka berbohong tidak ada ubatnya,” katanya.

Wednesday, May 16, 2012

Tunku Aziz - "Keputusan Telah Dibuat...Tak Perlu Pujuk Rayu Lagi"


Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sekali-kali mengubah keputusannya dan kembali menyertai parti itu walaupun dipujuk untuk berbuat demikian.

Tegas Tunku Abdul Aziz, sebagai seorang ahli politik yang berprinsip, pendirian beliau untuk meninggalkan DAP dibuat berdasarkan pertimbangan rasional tanpa dipengaruhi emosi

"Tidak..tidak...tidak, saya tak akan pertimbangkan keputusan yang telah saya buat. Ini keputusan muktamad. Lagipun keputusan ini bukan sesuatu yang mudah dibuat. "Saya tidak buat keputusan secara terburu-buru. Ini bukan perkara main-main," katanya ketika dihubungi mStar Online di Petaling Jaya, semalam.

Tunku Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau mengubah keputusannya dan kembali bersama DAP.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyatakan kesedian menghubungi dan menemui Tunku Abdul Aziz dan berbincang agar beliau mengubah keputusan untuk berundur dari parti itu.

 Pada Isnin, dalam satu rancangan televisyen, Tunku Abdul Aziz yang dilantik sebagai naib pengerusi sebaik sahaja menyertai DAP pada Ogos 2008, mengumumkan hasratnya untuk keluar dari parti itu berikutan tiada persefahaman dengan pucuk pimpinannya.

Baru-baru ini beliau menerima kecaman pembangkang termasuk kepimpinan DAP ekoran kenyataan terbukanya membantah perhimpunan Bersih 3.0 yang disokong parti itu pada 28 April lalu.

Malah keputusan DAP tidak menyambung perkhidmatan Tunku Abdul Aziz sebagai Senator dikaitkan dengan kritikannya itu.

Mengulas lanjut mengenai keputusan mengejutnya itu, Tunku Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Lim kerana mengambil berat terhadap keputusannya itu.

"Terima kasih kepada saudara Guan Eng. Tapi keputusan telah dibuat, tidak perlu pujuk atau rayu lagi. Saya kekal dengan keputusan ini iaitu keluar DAP," katanya sambil menegaskan masih belum menerima sebarang panggilan daripada Lim lagi. Berhubung peletakan jawatannya,

Tunku Abdul Aziz berkata beliau sudah menghantar surat kepada ibu pejabat parti.

"Sebenarnya pada semalam (Isnin) lagi saya sudah hantar surat itu menggunakan perkhidmatan pos ekspres ke Ibu Pejabat DAP. Saya harap hari ini mereka sudah menerimanya," katanya.

Tuesday, May 15, 2012

Berapa Juta UMNO/BN Bayar Untuk Pujuk Tunku Aziz Keluar DAP?


Berapa juta UMNO atau Barisan Nasional (BN) bayar Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz yang membuat keputusan mengumumkan keluar dari parti itu?

Nak dengar juga apa kata pemimpin pembangkang khususnya Saifuddin Nasution, Mohd Sabu atau Azmin Ali membuat kenyataan Tengku Aziz keluar DAP kerana dibayar berjuta-juta ringgit oleh UMNO/BN.

Sedangkan bagi Tengku Aziz, beliau membuat kenyataan malam ini: "Saya fikir sudah sampai masa bagi saya mengambil pendirian tegas mengenai kedudukan saya dalam parti. Saya akan berhenti daripada menjadi ahli DAP," katanya lagi.

Perletakan jawatannya dikatakan ekoran perbezaan pendirian dengan pemimpin-pemimpin kanan parti tersebut sejak kebelakangan ini. Malah paling menonjol ialah pandangan beliau yang sangat berbeza tentang Bersih 3.0 bulan lalu.

Beliau menentang perhimpunan Bersih 3.0 bimbang berlaku kekacauan. Ekoran laporan itu, beliau mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatannya sebagai senator yang akan berakhir 31 Mei ini tidak disambung.

Wajah sebenar DAP sudah diperkatakan blog ini sebelum ini!

hambali1

Thursday, May 3, 2012

Perjanjian Tukar Saham MAS-AirAsia Dibatalkan - Khazanah


"Sejak CCF dilancarkan, terdapat kemajuan yang baik dalam memperkukuh usaha sama terbabit...Walaupun pertukaran saham itu dibatalkan, usaha sama sejak lapan bulan lepas telah merapatkan MAS dan AirAsia. Sepuluh tahun tanpa usaha sama dan persaingan tidak perlu antara kami, sudah berakhir dan kami kini dapat memberi tumpuan terhadap pasaran dan teras kecekapan kami." - Kamarudin Meranun

Betapa terbukanya kerajaan dalam menggendali dan menguruskan GLC.
 
Sah sudah, Khazanah Nasional Bhd dalam satu kenyataan lewat petang semalam (2 Mei 2012) mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd.

"Selepas lapan bulan membuat penilaian, pemegang saham bersilang menjejaskan usaha pengurusan untuk memulihkan MAS.

"Pemegangan saham bersilang itu berniat baik untuk menjajarkan kepentingan ekonomi pemegang saham utama MAS (Khazanah) dan AirAsia (Tune Air)," kata cabang pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan.

Setelah gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu, Khazanah berkata pihak terbabit bersetuju untuk menukar semula pemegang saham bersilang dan kembali kepada struktur asal pemegangan saham utama kedua-dua syarikat.

Pembatalan pertukaran saham akan menyaksikan Khazanah memindahkan 10 peratus atau 277,650,600 saham biasa AirAsia kembali kepada Tune Air, yang akan memindahkan pula 20.5 peratus atau 685,142,000 saham biasa dalam MAS kembali kepada Khazanah.

Transaksi ini akan dijalankan berasaskan kepada nisbah pertukaran 2.05 berasaskan harga pada masa pertukaran itu diumumkan pada Ogos 2011. MAS ketika itu RM1.60 sesaham dan AirAsia pada RM3.95. Tiada wang tunai bertukar tangan, kata cabang pelaburan kerajaan itu.

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah MAS manakala Datuk Mohamed Azman Yahya meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah AirAsia.

Pada Ogos 2011, Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) diwujudkan bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.

Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan.

Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata bertetangan sesetengah laporan, CCF tidak menyebabkan atau menyumbang kepada kerugian yang diumumkan MAS baru-baru ini memandangkan kerugian itu sudah wujud sebelum CCF dilaksanakan.

"Begitu juga, kerajaan tiada pada bila-bila masa mengawal MAS menerusi pemegangan 49 peratus saham serta saham emas," katanya.

Selain itu, Khazanah memperoleh pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran umum mandatori ke atas baki saham dalam MAS.

Sementara itu, Pengarah Tune Air Kamarudin berkata sejak CCF dilancarkan, terdapat kemajuan yang baik dalam memperkukuh usaha sama terbabit.

"Walaupun pertukaran saham itu dibatalkan, usaha sama sejak lapan bulan lepas telah merapatkan MAS dan AirAsia. Sepuluh tahun tanpa usaha sama dan persaingan tidak perlu antara kami, sudah berakhir dan kami kini dapat memberi tumpuan terhadap pasaran dan teras kecekapan kami." katanya dalam kenyataan berasingan.

Susulan pengembalian semua perjanjian pertukaran saham itu, AirAsia, AirAsia X Sdn Bhd dan MAS, menjalin Perjanjian Usaha Sama Tambahan (SA) semalam untuk meneroka bidang kepentingan bersama bagi merealisasikan kecekapan dan penjimatan. SA akan memberi tumpuan kepada bidang khusus dan pada masa yang sama terus mematuhi semua undang-undang antikepercayaan berkaitan, kata AirAsia dalam kenyataan lain.

Pemeteraian SA ini juga merupakan sebahagian dariapda persediaan oleh tiga syarikat penerbangan terbesar Malaysia untuk memenuhi cabaran Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.

Menerusi SA, syarikat penerbangan itu mengenal pasti bidang utama kerjasama yang dapat menyumbang kepada kecekapan dan penjimatan kos kepada syarikat penerbangan berkenaan, yang antara lain termasuk pemerolehan, baik pulih komponen pesawat, inisiatif latihan dan kecekapan teknikal dan operasi.

Selain itu, syarikat penerbangan juga akan terus bekerjasama untuk mengenal pasti dan menilai peluang jalinan usaha sama dalam pelbagai bidang operasi dan strategik.

Bagi menggerakkan inisiatif kerjasama ini, ketiga-tiga pihak juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam dua bidang utama - pemerolehan bersama dan penyelenggaran, sokongan dan perkhidmatan baik pulih.

Tony berkata inisiatif pemerolehan antara syarikat penerbangan itu dijangkakan meningkatkan kecekapan dengan meneroka potensi penyumberan luar aktiviti pemerolehan dalam syarikat usaha sama milik bersama, dengan bidang utama yang akan diteroka termasuk barangan perbelanjaan tinggi seperti bahan api, insurans, teknologi maklumat dan komunikasi.

Bagi penyelenggaraan,sokongan dan baik pulih komponen pesawat, beliau berkata sayrikat penerbangan itu akan meneroka bersama-sama penubuhan syarikat usaha sama, termasuk mengenal pasti daya maju dan strukturnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata pemulihan perniagaan merupakan fokus utama syarikat, selain inisiatif bagi mengukuhkan lembaran imbangan dan operasi menerusi peningkatan produktiviti, perolehan dan menurunkan kos.

Beliau berkata usaha ini akan diterjemahkan kepada keputusan kewangan yang lebih baik.

 "Usaha sama itu merupakan perubahan dalam pelan perniagaan untuk membangunkan perniagaan mampan pada masa depan.

"Kami akan terus memacu usaha sama ini dengan AirAsia dan AirAsia X memandangkan ia akan membolehkan MAS mengeksploitasi kelebihan potensi sinergi dan kecekapan.

"Cara menjadikan perniagaan kami lebih cekap sangat penting selain menurunkan kos," katanya.

(Bernama)