Saturday, September 26, 2009

Isu Selcat boleh menjatuhkan kerajaan Selangor

Daripada mStar

Dewan Pemuda PAS Pusat memberi amaran kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah" berikutan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat).

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu.

Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Pada 12 November 2007, kerajaan negeri ketika itu pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri," kata Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Nasrudin melahirkan pendiriannya ini ketika banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali keluar Pakatan Rakyat negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

"Walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, jangan sampai beliau dipancung, jangan beliau dibuang.

"Perbezaan pandangan ini mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Hasan telah melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).

Malah, pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

Ketika diminta mengulas lanjut, Nasrudin memberitahu, sekiranya pegawai-pegawai kerajaan negeri merasakan mereka diaibkan dengan sesi soal siasat secara terbuka dan tidak mengikut kesusilaan, ia boleh menyebabkan perasaan membenci terhadap kerajaan negeri.

"Kalau mereka sudah menanam perasaan benci... mereka diperlekeh, dipersenda, saya bimbang mereka yang ada pengaruh ini (kakitangan kerajaan), mereka akan menyebabkan pulangan yang negatif kepada keraajan negeri.

"Tidak keterlaluan saya boleh katakan ia akan mengancam kemantapan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Saya minta jangan hanya menuding jari atas konflik yang berlaku ini, tetapi kita perlu mendengar pandangan semua pihak secara terbuka," kata beliau sambil menambah, "kita mahu satu pasukan kerajaan yang mesra pemerintah."

"Walaupun Selcat adalah satu jawatankuasa yang sah dan ada hak untuk memanggil kakitangan tetapi ia perlu dibuat secara adab dan susila yang sesuai supaya tidak aibkan dan memalukan mereka," katanya lagi.

Khalid akan mempengerusikan mesyuarat khas Isnin ini bagi menangani isu Selcat membabitkan anggota Selcat, Exco dan pegawai-pegawai daerah yang disoal siasat oleh jawatankuasa itu.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ia kini menyiasat penggunaan dana oleh wakil-wakil rakyat BN Selangor beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Sebelum 1 Syawal lalu, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim itu dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

No comments: