Saturday, July 18, 2009

KEMELUT INTEGRASI UIGHUR - HAN
















(Utusan Malaysia)

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

BERBANDING Tibet, kemelut etnik di Xinjiang tidak begitu mendapat perhatian media antarabangsa. Meskipun krisis itu sudah berpanjangan kira-kira lima dekad lamanya, namun nasib yang menimpa penduduk Xinjiang seolah-olah terpinggir.

Malah, Beijing sendiri tidak begitu serius dalam menangani permasalahan sebenar yang membelenggu wilayah tersebut. Bagaimanapun rusuhan etnik antara Uighur dan Han yang mengorbankan tidak kurang 180 nyawa di bandar Urumqi, Xinjiang minggu lalu membuka mata banyak pihak.

Agak menarik, Beijing membuka pintu yang luas kepada wartawan asing untuk membuat liputan mengenai konflik tersebut. Keadaan itu sangat berbeza dengan dasar China sebelum ini yang mengenakan kawalan ketat kepada media asing.

Ramai yang menilai tindakan Beijing itu kerana cuba menarik simpati masyarakat antarabangsa. China tidak mahu dilihat sebagai pemerintah yang gagal menguruskan hal dalaman sendiri ketika negara itu sedang menuju sebagai kuasa ekonomi baru dunia.

Beijing juga sangat berhati-hati menangani konflik ini kerana bimbang ia akan dilihat sebagai krisis agama memandangkan etnik Uighur merupakan penganut Islam.

Sentimen agama sekiranya terus dimainkan boleh mendedahkan wilayah itu kepada ancaman puak pemisah dan rangkaian kumpulan militan.

Terletak bersempadan dengan negara-negara seperti Mongolia, Rusia, Kazakhtan, Kirgistan, Tjikistan, Afganistan, Pakistan dan India, ancaman puak militan itu tidak boleh dipandang mudah.

Justeru, dasar buka pintu terhadap permasalahan yang berlaku di Xinjiang antara lain diharapkan dapat memberi gambaran sebenar situasi yang berlaku kepada masyarakat dunia.

Namun dalam keterbukaan itu, China tetap menolak permintaan antarabangsa yang mahukan krisis itu dibincangkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Turki adalah antara negara yang lantang mendesak China menyelesaikan konflik itu mengikut lunas-lunas antarabangsa.

Sebagai salah sebuah negara bersempadan, rusuhan etnik di Xinjiang turut memberi kesan kepada Turki.

Sejak krisis itu meletus, ramai penduduk Uighur merentas sempadan mencari perlindungan di negara itu. Bagaimanapun, China menempelak desakan antarabangsa itu dengan mendakwa Beijing mampu mengurus isu dalaman sendiri.

Namun China dilihat agak terlewat dalam menangani kemelut etnik di Xianjiang apabila rasa tidak puas hati antara dua kaum majoriti iaitu Uighur dan Han mula diluahkan di jalanan.

Sewaktu kerajaan komunis China pimpinan Mao Zedong dibentuk pada 1949, etnik Uighur merupakan penduduk majoriti di Xinjiang iaitu sebesar kira-kira 76 peratus. Etnik Han pula hanya sekitar enam peratus dan selebihnya merupakan etnik-etnik kecil yang lain.

Bagaimanapun, dasar Go West kerajaan komunis China ketika itu telah membawa masuk penduduk Han ke wilayah berkenaan dalam jumlah yang besar.

Etnik Uighur dan Han ketika ini menempati jumlah penduduk yang seimbang di kalangan 21 juta penduduk di Xinjiang.

Meskipun etnik Uighur merupakan masyarakat pribumi, namun dasar-dasar kerajaan China lebih mengutamakan etnik Han.

Penduduk Uighur dilayan seperti masyarakat kelas kedua dan terpinggir daripada dasar-dasar pembangunan kerajaan China. Mereka juga tidak bebas menggunakan dialek daerah Turki, melaksanakan ibadah agama dan meneruskan budaya hidup sendiri.

Kerajaan China juga dibayangi ketakutan terhadap penduduk Uighur kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan pemberontak dan menyokong gerakan pemisah.

Kerana krisis kepercayaan itu juga, China tidak mahu meletakkan kekayaan gas dan hasil bumi di Xinjiang ke tangan orang Uighur. Wilayah yang terletak kira-kira 4,000 kilometer dari Beijing itu kaya dengan minyak, timah dan emas lebih-lebih lagi di lembah sungai Tarim.

Sikap prejudis terhadap penduduk Uighur itu juga menyebabkan wilayah Xinjiang dikawal ketat. Komunikasi di wilayah ini dihadkan kerana bimbang berlakunya penyebaran maklumat yang berbahaya.

Dasar ketat Beijing itu sebenarnya ada kaitan dengan kedudukan strategik Xinjiang untuk China untuk ke Timur Tengah.

Kawasan tandus dan kering yang luas di Xianjiang juga menjadi tapak bagi ujian percubaan nuklear dan latihan tentera.

Xianjiang juga merupakan wilayah pertahanan di sebelah Barat sewaktu China mengekang ancaman tentera negara Kesatuan Soviet selama kira-kira 40 tahun.

Bagaimanapun dasar yang keterlaluan itu telah menekan penduduk Uighur. Dalam masa yang sama, ia turut memuncak rasa curiga terhadap etnik Uighur di kalangan penduduk Han.

Sentimen itu tidak memerlukan sebab yang besar untuk mencetuskan rusuhan etnik yang dahsyat.

Rusuhan yang membunuh kira-kira 180 orang di Urumqi baru-baru ini misalnya, hanyalah berpunca daripada pertengkaran yang berlaku di sebuah gudang kain.

Meskipun keadaan kini kembali tenang dengan kehadiran lebih ramai anggota keselamatan, namun kejadian itu pastinya menimbulkan implikasi yang berpanjangan.

Perkara yang sama turut mendapat perhatian Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Suffian Mansor.

Menurut Suffian, konflik di Urumqi membabitkan isu yang lebih besar iaitu soal integrasi nasional dan ekonomi.

Ia juga membabitkan soal masa depan serta pengembalian hak kepada penduduk asal yang seolah-olah dipinggirkan daripada dasar-dasar kerajaan China.

Dasar Go West kerajaan China telah menimbulkan kebimbangan di kalangan etnik Uighur mengenai nasib dan masa depan mereka serta wilayah mereka.

Isu ini tidak hanya tertumpu di Urumqi di mana tercetusnya tragedi berdarah itu, tetapi lebih besar lagi iaitu di seluruh Xinjiang itu sendiri.

Dari sudut ekonominya, penduduk Uighur sangat jauh ketinggalan berbanding etnik Han. Kadar kemiskinan di kalangan penduduk Uighur juga lebih tinggi.

Majoriti penduduk Uighur yang miskin juga tidak mampu membayar yuran persekolahan menyebabkan mereka semakin ketinggalan.

Etnik Uighur juga terpaksa bersaing dengan kaum Han untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, mereka berasa ditindas apabila golongan cerdik pandai tidak mendapat layanan dan diberi tempat yang sewajarnya dalam tingkat sosial di Xinjiang.

Dasar pembangunan di Xinjiang juga secara beransur-ansur menyaksikan pembukaan tanah untuk industri dan perlombongan terutamanya minyak.

Ia banyak membabitkan tanah-tanah pertanian dan kawasan penternakan milik penduduk Uighur yang majoritinya merupakan petani dan penggembala.

Perkara inilah yang ditakuti penduduk Uighur kerana mereka tidak pasti di manakah kedudukan mereka di dalam rancangan pembangunan itu.

Kerana itu juga, etnik Uighur melihat dasar Go West sebenarnya menindas mereka dan hanya menguntungkan etnik Han.

Dalam membincangkan pendekatan yang boleh diambil bagi merungkai kemelut itu, Suffian berkata, antara penyelesaian yang boleh diambil ialah dengan memberikan status autonomi dalam erti kata yang sebenar kepada wilayah itu.

Menurut beliau, Xinjiang pada dasarnya memang sudah diberikan status autonomi. Wilayah itu merupakan wilayah istimewa bagi etnik Uighur.

Namun, status autonomi itu tidak jelas dan tidak diberikan sepenuhnya memandangkan masih dikawal oleh kerajaan China.

Mereka juga tidak pernah menaruh harapan yang tinggi terhadap Gabenor Xinjiang meskipun beliau dipilih daripada etnik Uighur.

Ini kerana kuasa yang lebih besar terletak di tangan Setiausaha Agung Parti Komunis China wilayah iaitu Wang Lequan yang merupakan seorang etnik Han.

Dalam erti kata yang lain, status autonomi dan keistimewaan yang diberikan terhadap Xianjiang itu langsung tidak memanfaatkan penduduk Uighur.

Sebaliknya dengan status autonomi yang jelas tambah Suffian, penduduk Xinjiang boleh menentukan hala tuju wilayah mereka sendiri dan membangunkan wilayah berkenaan seiring dengan wilayah China yang lain.

Dalam masa yang sama, kerajaan China perlu lebih adil dalam merencana pembangunan ekonomi di Xinjiang supaya dapat dimanfaatkan oleh semua kaum.

Hak berbahasa dan beribadat yang dijamin oleh Beijing juga perlu diberikan kepada penduduk Uighur.

Paling utama jelas Suffian, kerajaan China perlu membuang imej pengganas dan memberi kepercayaan kepada pemimpin Uighur untuk bersama-sama dalam kerancakan pembangunan negara itu.

''Isu di Xinjiang adalah berkaitan dengan isu-isu kepercayaan, keadilan, pembelaan dan masa depan. Selagi isu-isu ini tidak diselesaikan dengan baik masalah Xinjiang ini akan menjadi momokan kepada China sampai bila-bila," ujar beliau.

No comments: